Showing posts with label family. Show all posts
Showing posts with label family. Show all posts

Wednesday, June 24, 2009

Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul s.a.w

Cinta Allah, cinta Rasulullah saw.. cinta yang takkan pudar ditelan dek masa dan usia. Cinta agung yang pasti membuah wangian sepanjang permusafiran menuju syurga.

Aku manusia biasa, punya hati dan perasaan, dan aku adalah seorang hamba yang hina, yang juga dititipkan secebis rasa cinta, kurnia Ar-Rahman, Ar-Rahim. Cintaku ini, cinta yang setulusnya. Cinta yang aku harapkan kekal selamanya.. Siapakah pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul? Adakah masih punya insan yang selayaknya aku cintai sebanyak itu? Aku belum berkahwin, jadi pasti bukan suamiku! Tetapi cukup untuk aku katakan pemilik cintaku ini, adalah insan yang punya maqam tertinggi selagi mana aku belum bergelar isteri...


DIA AYAHKU!

Yang aku sebut selalu dalam doa..
Yang aku ingat selalu di kepala..
Yang aku rindui selalu jika tidak bersua..
Yang memberiku semangat saat berduka..
Yang akan mengingatkan andai terleka..
Yang mentadbir keluarga dengan penuh keikhlasan..
Yang memberi dengan penuh ihsan..
Yang sering menolong insan di dalam kesusahan..



Yang tidak kenal erti penat..
Yang akan meringankan pada yang berat..
Yang menyayangi kami dengan sepenuh hati..
Yang kepada Tuhan hidup diabdi..
Yang akan aku cintai selamanya..
Yang akan aku taati perintahnya..
Yang akan aku hormati permintaannya..

DIA AYAHKU!

Punya maqam yang tinggi di hati
Redhanya, redha Illahi Rabbi
Pemilik cintaku setelah Allah
Pemilik jiwaku setelah Rasulullah
Semoga selamanya hingga ke Jannah!

Ameen

SELAMAT HARI LAHIR
SELAMAT HARI BAPA,

Ayah..
(Mohd Jamel bin Ismail)

Ayah and aunty/mama Timah
from left: Fath, dD and Me!
(We three are sisters! we were all born in the same year! Wonderful rite??Huu)


(anak-anak perempuan ayah! cepat isi borang semua!!huu)
-"sape cepat, ayah bagi 30% discount!" -ayah-


Wednesday, June 10, 2009

"Mak Uda, nenek mana??" Warna Warni Hidupku (Siri 2)

Petang itu, aku merancang untuk pulang ke kampung (sg petani, kedah) seorang diri memandangkan perlu ada orang dewasa yang harus memantau adik-adik di rumah. Ayah akan menyusul keesokan harinya. Memandangkan aku antara cucu yang rapat dengan nenek, aku diutamakan ayah untuk menziarah nenek di Hospital Sultan Abdul Halim. Aku iyakan aja perintah ayah yang mahu aku pulang sendirian dengan menaiki bas malam itu juga.

Haih, adikku Adam, susah mahu berenggang. Menangis-nangis mahu ikut aku pulang ke kampung...Mid term exam menantinya minggu depan. Aku tidak mahu Adam ponteng sekolah. Kesian juga pada Kuyah yang akan menghadapi paper Chemistry pagi esok. Setelah berbincang semula dengan ayah, dan selepas menghubungi keluarga di Kedah, mereka maklumkan keadaan nenek yang mulai stabil, mereka juga menasihati aku agar pulang esok sahaja. Bahaya jika menaiki bas ke utara pada sebelah malam. Para pemandu suka memandu secara berbahaya. Lalu, ayah mengambil keputusan muktamad untuk pulang ke kampung esok pagi sahaja bersamaku.
Adam & Kuyah

Malam itu, aku sempurnakan kehendak adik-adik sesempurna mungkin. Adam mahu beli benang kait, untuk pendidikan seni. Kuyah pula teringin nak jalan-jalan. Malam itu, kami pusing-pusing sebentar, menikmati keindahan malam (sambil menghabiskan minyak kereta ayah!) ngee.. Sekali lagi, setelah aku menemani Adam sampai tidur, aku mengajar Kuyah Chemistry form 4 yang tak la susah mana. Di matrik dulu, Chem 2 dapat B+..huhu..oklah.. Malam itu, aku menemani Kuyah sehingga jam 2 pagi. Dia sudah keletihan, aku pula sedang bertungkus lumus menyiapkan assignment Ulum Qur'an, bimbang kalau-kalau terlajak cuti di kampung esok. Namun tanpa sedar, aku tertidur..

" Ya Allah, kiranya ini saat aku bertemuMu Tuhan, berikanlah peluang untuk kaum keluargaku melunaskan hutang-hutangku.."

Beban di dada semakin berat. Nafasku turun naik. Pandanganku kian kabur. Sepenuh kekuatan aku kumpul, cuba untuk melawan kuasa luar biasa yang sedang bertindak ke atasku. Aku berjaya! Lantas aku terjaga dari lena.

"Astaghfirullah...astaghfirullah... Ya Allah, kenapa ni.." dadaku seakan mahu meletup. Berdebar-debar sahaja. Aku kumpulkan kekuatan untuk mengambil wudhuk di bilik air, mudah-mudahan aku sedikit tenang. Kakiku bergerak perlahan. Seluruh tubuhku menggeletar ketakutan. Aku rasakan seolah-olah ada sesuatu yang sedang memandang ke arahku.

"Ya Allah, andai benar ini masaku bertemuMu, aku harapkan kasih-sayangMu yang ku peroleh, ketenangan, bukan ketakutan...agar aku gembira dapat melihat wajahMu..." aku berdoa di dalam hati.
Selesai berwudhuk, aku bertahajjud. Alhamdulillah, lega kerana berjaya menghabiskan solat 2 rakaat itu. Tiba-tiba, bayangan nenek menyapa fikiran. Aku toleh ke kanan, sebuah surah yasin pemberian arwah mama betul-betul di hujung jariku. Sayu dan hiba betalu-talu menyelubung hati. Aku lantas mengalunkan kalam suci Khaliq dengan sesempurna mungkin. Air mataku mengalir tanpa henti. Aku tidak sedar tulisan surah yasin semakin mengembang dek titisan air mata yang jatuh. Aku merasakan keindahan kasih sayang Ar-Rahman dalam seolah-olah memujukku agar aku tidak gentar andai benar saat kematian menghampiriku. Aku menangis lagi. Mengenangkan beban hutang yang bertimbun. Dadaku kembali berombak kencang. Selesai membaca Surah Yasin, aku terdiam sebentar.

"Ya Allah, mungkinkah keresahan yang aku lalui ini sedang di lalui nenek??" aku bertanya di dalam hati. Air mataku mengalir lebih laju dari tadi. Aku berdoa semahu-mahunya, agar urusan nenek dimudahkan..

kenangan bersama nenek di pada aidilfitri yang lalu

Selesai bermunajat, aku cuba untuk baring..mudah-mudahan mataku terlelap. Ya, tubuh badanku benar-benar letih! Sedari pagi semalam tidak berhenti menjalankan tugas. Namun, mataku tidak mahu lelap, dan mindaku masih mahu berfikir mengenai nenek. Debaran di dada juga tidak berhenti sedari tadi, lalu tidak memungkinkan langsung untuk aku tidur pada malam itu. Aku lantas beralih ke laptop, dan memainkan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an dendangan Mashari dan Saad Sa'id Al-Ghamidi. Alhamdulillah, seketika kemudian, aku terlena..

"Astaghfirullah..Astagfirullah..Laa ilahaillallah..Allah..." bibirku mengucapkan kata-kata itu tanpa henti. Ya Allah, apakah semua ini? Mengapa aku resah begini...dan sepanjang malam itu, tidak sesaatpun aku terlelap dengan nyenyaknya. Keresahan demi keresahan sehinggalah memaksaku untuk menggenggam Al-Qur'an, dan membaca beberapa surah-surah hafazan sehinggalah seketika kemudian, azan subuh berkumandang...

Usai solat subuh, aku kejutkan Adam untuk bersiap ke sekolah. Mataku semakin berat, tubuh badan tidak dapat lagi menanggung beban keletihan. Sekali lagi, kesabaranku di uji..
"Kakak, kite tak siap kerja sekolah kite lagi..."

"La...kenapa semalam kakak suruh buat, adik tak buat...pagi-pagi ni suka nak suruh kakak marah kenapa?"

"semalam kite ngantuk...sikit je lagi.. tolongla..."

"Ish...........adik ni...lain kali boleh tak tolong dengar cakap kakak..tolongla faham ape orang nasihat tu!"

"Ye..okay..." dan aku tahu jawapan itu sekadar untuk menyedapkan hatiku!Adam-adam..

Aku harus bersabar. Teringat pula zaman sekolah dulu, selalu sangat bila pagi-pagi, arwah mama sedang bersiap ke tempat kerja, waktu itulah aku sibuk menyuruh mama sain borang itu-ini, nak bawak bekal itu-ini, padahal semalamnya boleh saja aku maklumkan awal-awal..Tapi, sedikit pun mama tak pernah memarahi kami..

Kesian Adam, dengan mata yang masih melekat, kain pelekat yang hampir terlondeh, bertungkus lumus dia menyiapkan kerja sekolahnya.
"Wa'alaikumussalam..ya.. Bila? Innalillah.." ayah sedang berbual di telefon. Berderau darahku saat itu..

"Kenapa ayah?"
"Tok dah meninggal pukul 5am lebih tadi.."
"Innalillah..." aku sebak..namun, aku harus tenang. Kerana sedari semalam lagi aku sudah bersedia. Ya, barangkali tekaanku tepat. Keresahanku malam tadi, mungkin lebih kurang sama dengan apa yang arwah nenek alami..Aku terus membantu Adam menyiapkan tugasannya.

Ya Allah, betapa hebatnya sakit yang kurasakan malam tadi, pastilah sakaratul maut itu lebih berganda lagi sakitnya. Ya Allah, tempatkanlah arwah nenek di kalangan para solihin..Ameen.


Kami bertolak pulang ke kampung kira-kira jam 8 pagi. Jenazah akan dikebumikan selepas 'Asar. Sepanjang perjalanan kira-kira 4 jam lebih itu, sedikitpun aku tidak terlelap. Sesampainya di rumah Mak, jenazah nenek sedang dimandikan. Aku sempat untuk membantu memandikan jenazah nenek. Dalam perjalan ke kubur, kira-kira setengah jam dari rumah mak, anak saudaraku bertanya;

"Mak Uda...nenek pegi mana? Nenek da mati ke?"

"Nenek pegi jumpa Tuhan.."

"Kakak nak nenek.."

"Nenek da takkan balik lagi, sebab nenek da pergi ke tempat yang sangat cantik..."

"Kenapa Mak Uda baca Qur'an?"

"Nanti nenek dapat pahala...baru nenek masuk syurga.."

"Kakak pun nak bacalah..."

Ain Dhameeya. Baru berusia 4 tahun. Pemergian nenek sangat ditangisi para cicitnya yang masih kecil. Nenek sangat gemar memanjakan mereka. Seringkali Dhameeya tersilap, mencari neneknya..
asyraf dan ariff paling manja dengan nenek mereka


cicit kesayangan nenek( hero belaka)

Malam itu, dengan berbekalkan 1/10 tenaga yang ada, aku 'pengsan' selama 7 jam......hmm..

TAMAT

Sunday, June 7, 2009

Warna-warni Hidupku! Siri 1..

Assalamu'alaikum buat semua pembaca yang budiman.. Huhu, syira buat gaya tulisan baru yang pelik! Taklah..sengaja aku tulis begitu. Sudah lama memendam rindu pada laman blogku yang aku kira sudah hampir sebulan tidak mendapat sentuhan.. Inilah aku, manusia hamba yang cukup-cukup hina di sisi Allah. Dek kerana kesempitan masa yang bertamu dalam ruang hidupku, itupun sudah buat aku tidak menang tangan untuk menguruskan laman maya ini..Humm..

Aku memang agak sibuk semester pendek ni. Macam- macam hal yang perlu diuruskan..Dugaan, biasalah. Arwah nenek kesayanganku kembali ke rahmatullah pun dalam semester pendek ini. Saat yang betul-betul buat aku down selepas pemergian arwah mama...

" Iah tu bila nak balik kampung..dia takdak cuti ka?" - arwah nenek (3 hari sebelum meninggal dunia)

"tak cuti lagi la kot..kalau cuti, dia balik la..mana pernah tak balik.." - mak (makcik yg aku panggil 'emak')

"Tok dok buat apa mak? Tak tidoq lagi? Cek tak boleh call lama-lama ni, kredit tak berapa nak ada..kirim salam tok na.." -aku (seminggu sebelum pemergian arwah)

ISNIN: 25/Mei/2009
Minggu itu minggu peperiksaan. Walaupun hanya 2 hari peperiksaan berlangsung, sudah cukup untuk kepala ini serabut. Hari isnin, setelah selesai kertas terakhir, aku 'rehat' secukup-cukupnya. Huhu..tapi..aku kesal dengan 'rehat' itu..kerana 'rehat' itulah yang membuatkan aku terlepas peluang untuk bertemu nenek.

'Rehat'. Saat menjelmanya waktu itu, aku tidak mahu langsung bertemu dengan apa-apa bentuk perhubungan fizikal dengan manusia lain. Samada percakapan atau perbualan dua mata. Handphone akan aku matikan, atau put on silent mode, lalu aku akan menela'ah buku-buku tarbiyah mahupun yang berbentuk haraki kerana hanya itulah masa untuk aku melakukan leisure reading. Mata yang semakin kuyu aku biarkan saja, kerana nikmatnya bila ia terlena, fuhh..hanya Allah yang tahu! (kerana aku cukup susah untuk tidur sebenarnya..)

Tanpa sedar, aku telah put on silent mode sehingga keesokan harinya..dan tanpa sedar, aku punya 25 missed call dari 4 orang yang berbeza. AYAH, KAK TEH(sepupu), dan selebihnya, unknown..

Selasa, 26/Mei/2009
Aku pulang ke rumah. Melampiaskan rindu pada adik-adik, dan ahli keluarga yang lain.Menguruskan 'rumahtangga', dan mengambil alih tugas mama bukannya mudah. Hampir kesemuanya perlu aku lakukan, baik daripada menghantar adik kesekolah, pusat tuisyen, ataupun memenuhi keperluan barangan sekolah mereka sehinggalah kepada menyediakan makanan kegemaran mereka! Malah, kalau kena buat OT (hehee) , terpaksalah aku melayan Adam untuk tengok mana-mana match yang melibatkan Chelsea dan Man U...ataupun menemani Kuyah belajar sehingga jam 4 pagi..

Aku semakin merasai berat beban tugas yang harus dipikul oleh seorang ibu! Saat terpaksa bersengkang mata, melayani kerenah adik-adik, kadang-kadang hiba sesekali bertamu tanpa undang. Sedar tidak sedar, sudah hampir setahun mama pergi meninggalkan kami..Mama pergi pada Ramadhan tahun lepas. Kini, tak lama lagi Ramadhan aku datang menemui kita. Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza! Sekali lagi, tugasan kian berat.. Aku perlu bangun awal untuk menyediakan sajian sahur dan pastinya untuk sajian berbuka juga.

Along perlu ke kursus PTD selama 9 bulan. Mujurlah seorang lagi kakakku sedang menghabiskan cuti semesternnya. Kadang-kadang, kalau bukan aku yang memasak, dialah yang mengambil alih tudgas itu. Ahhh...sunyinya rumah kalau adik-adik ke sekolah...namun gamatnya saat pagi menjelma, kerana hingar dek bebelanku pada Adam yang liat untuk bangun pagi!

RABU: 27/Mei/2009
"Salam...dok buat apa? tengah exam lagi ke?"

"Tak..dah habis exam dah...kenapa? kak teh kat mana?"

"La..awat tak bagitau awal-awal..Tok masuk wad.."

"Ha?? Innalillah...bila..??"

"Kelmarin.. ingatkan exam lagi...sebab tu tak bagitau semalam.."


"La..ye ke..semalam silent phone...." ya Allah, menyesalnya aku!!

"Dr. kata..suruh panggil waris terdekat...."

"Hah??.. Ya Allah..malam ni jugak iah balik sg petani!"

"takpalah..takyah kelam kabut...doa la..balik esok pun takpa. Malam-malam payah.."

dan perbualan kami tamat seketika kemudian...

Macam mana ni! Adam exam miggu depan, kuyah tengah mid term exam..sape nak tengokkan mereka? Ya Allah, tok...bukankah baru tiga hari lepas kita berbalas salam...

Sunday, March 8, 2009

Doa Untuk Ayah..=)

Entahlah..sayu je semalam bila tengok ayah buat kerja. Pertama kali tulis entri mengenai ayah..Ya, tanpa ayah, aku pun tak lahir ke dunia.

Sampai je rumah petang Jumaat, lega ayah ada. Hehe, balik naik teksi, ayah la yang bayarkan tambang. RM7.20..Agak mahal.. Tapi ayah bagi RM8,

"Bagi Rm8 kt pakcik tu..kesian dia kena tunggu lama.."
"ok.."

Ayah kemudian bersiap-siap ke surau untuk ke masjid menunaikan fardhu maghrib. Semua tingkahlaku dan kata-kata ayah sebenarnya terlalu membuatkan hati aku sayu. Tak taulah kenapa. Saat aku lihat wajah ayah, sungguh, aku terasa dadaku cukup-cukup lapang. Segala masalah seolah-olah tidak pernah singgah dalam hidupku. Bagiku, pengorbanan ayah terlalu istimewa. Terlalu berharga dan perlu untuk aku selalu syukuri, terima kasih Allah kerana anugerah seorang ayah..

Ayah tidur di ruang tamu malam itu. Menunggu kepulangan kakak dari UiTM, Segamat. Tapi, ayah tertidur sebelum kakak sampai. Kasihan ayah. Teringat pula pada suatu masa saat tugasan menunggu anak pulang dilakukan arwah mama.

Pagi Sabtu, aku terjaga untuk solat subuh agak lewat. Jam menunjukkan 6.34am..Aduhh, inilah yang selalu terjadi bila di rumah. Enaknya dingin 'air cond' selalu membuatkan aku terlajak tidur. Usai mengambil wudhuk, dari jauh dengkuran ayah aku dengari.

"Kuya, tolong kejut ayah subuh.."
"ok.."

..dan beberapa minit kemudian bunyi percikan air dari tandas di bahagian bawah rumah kami. Ayah dah bangun..=) Tiba-tiba, aku terdengar bunyi pagar dikuak. Hmm, ayah lah tu. Mungkin ke pasar borong, atau ada urusan yang harus diselesaikan. Ayah suka berpagi-pagian. Atas tiket itulah, aku percaya pada keterusan rezeki Allah s.w.t buat kami sekeluarga. Dari jauh, aku doakan semoga urusan ayah dimudahkan Allah.

Sabtu, 7 mac 2008, 9.30 am..
Ayah sudah balik. Ada plastik di tangan ayah dan terus saja ayah hulurkan padaku. Ada 3 ekor ikan siakap besar dan sederhana, dan 7 ekor sotong yang sederhana besarnya. Ayah mahu membakar ikan kot. Itulah ayahku, CHEF kami di rumah. Ayah memang pakar! Kari kepala ikan kegemaran..fuhh!

Tapi, ayah tidak terus ke dapur. Namun menyambung kerja-kerja mengangkut barang dan membersihkan kawasan rumah kami yang berhabuk akibat daripada 'construction & renovation' yang berlaku di rumah. Inilah aku..suka mendiamkan diri. Bila melihat ayah begitu, aku jadi sayu..basah baju ayah dilimpah keringat. Tapi, itu kerja lelaki. Hendak menghulur bantuan, aku tahu kerjaku di dapur..membersihkan ikan dan sotong tadi. Jadi aku biarkan saja ayah di luar.

Selesai semuanya, aku lihat ayah termengah-mengah. Penat sungguh aku lihat ayah. Kesian ayah. Selesai mandi dan solat zohor, barulah aku sedikit lega melihat ayah sudah bersisir rapi. Haih, adikku pulak. Hendak dimakannya ikan bakar! Sedangkan ayah mahu makan nasi lemak. Aku hanya memasak sambal sotong dan telur rebus untuk dimakan bersama nasi lemak. Tapi, bila Adam mahu juga untuk makan ikan siakap bakar, ayah turutkan sahaja. Satu kerja lagi untuk ayah..kesian ayah. Sudahlah penat, kemahuan anak diturutkan juga. Inilah ayahku, tidak pernah merungut. Lalu, cepat-cepat aku menyinting lengan membuat air asam untuk dimakan bersama ikan bakar. Jadi, hidangan makan tengahari+malam kami (kerana jam sudah menunjukkan pukul 5pm) ialah Nasi Lemak, sambal sotong, telur rebus, air asam dan ikan siakap bakar..huhu..

"Ini kalau letak kepala, mesti terlena.." kata ayah

Sekilas pandang sahaja, aku dengar ayah sudah mengangkat takbir untuk solat asar. Dan setengah jam kemudian.....ZzzZzzZz..dengkuran tidur ayah pula yang kedengaran.. Pasti ayah penat. Biarlah. Semoga tidur itu memberi sedikit tenaga buat ayah untuk berjuang keesokan hari yang pasti mengundang seribu macam lagi perkara.

Doaku untuk ayah...

"Ya Allah, bahagiakanlah Ayahku. Limpahkanlah maghfirahMu ke atas Ayahku. Jadikanlah kami, anak-anak yang tahu mengenang budi. Ya Allah, aku hamba yang hina, penuh dosa. Seringkali aku melukai hati ayah, ampunkan dosaku. Ya Allah, berikan kekuatan dari asma'MU yang Maha Agung, Maha Gagah, Maha Perkasa kepada Ayahku, agar kehidupannya yang penuh ujian tidak sekali dia berasa lemah..Semoga Jannah untukmu, ayah..."

Tetapi...aku risau andai perkataan "Iah sayang ayah.." hanya menjadi lafaz yang tersimpan..Kerana itulah aku. Suka memendam rasa...

Monday, February 23, 2009

Manchester United vs ISRAEL???

"Adik..mandi..dah pukul berapa dah ni!"

"Jap..kite nak main PSP jap..jap je.. 5 minit!"

"Mana bole camtu..dari tadi kakak suruh, lima minit je! Cepat..."

"Kejap la..jap je. Betul 5 minit. Lillahita'ala.."

Aku sudah fed up. Ini memang punca untk aku dan adik bertikam lidah. Bila disuruh mandi, pasti ada saja alasan. Dia sedang leka bermain PSP. Dia memang gilakan bolasepak. Setiap sekali seminggu, Adam akan bermain futsal bersama rakan sekolahnya. Aku juga sukakan bolasepak. Dulu, I was a big fan of CHELSEA!! (sekarang ni tetiba je minat Liverpool pulak..uhu..) Kalau time worldcup, I WAS A BIG FAN OF ENGLAND & FRANCE!. Tapi, sejak dah masuk IPT, aku sudah jarang update pasal bola lagi. Adam akan meng'update' aku tanpa disuruh..huhu

" Malam ni nak tengok match Liverpool lagi! PSP pun nak main bola jugak..mandi la dulu.."

Adam diam. Hisy budak ni. Aku terkenangkan kanak-kanak di Palestin. Pastinya, tidak terlintas pun di hati dan fikiran mereka untuk bermain PSP apatah lagi untuk memilikinya. Aku naik ke bilik dan menunaikan solat maghrib. Selesai semuanya, aku turun ke bawah kembali.

"Tak mandi-mandi lagi???"

" Jap-jap..serius! Dah nak menang dah ni. Kite Man U lawan dengan ISRAEL..kite nak belasah ISRAEL 8-0 ni...dapat pahala jugak ape.."

Aku terdiam.

"Hah? Man U lawan ISRAEL? Match ape plak camtu? Club vs country?"

" Ye ar..PSP, suka hati lah nak lawan cara macam mana pun..yang penting, kite nak kalahkan ISRAEL.."

Aku melangkah ke dapur sambil memikirkan perbualan aku dan Adam tadi. Lalu, aku tertawa kecil. Rupa-rupanya, Allah telah terbitkan satu lagi cara jihad yang paling halus dalam diri adikku itu. Tidak pernah aku terfikir bahawa Adam akan melepaskan marahnya terhadap Israel dengan cara itu. Justeru, aku malu dengan diri sendiri kerana, aku sendiri tidak se'kreatif' Adam..

" Yes! Hah..dah menang dah. Okay ye..kite nak mandi. Nak tuala!!!"

Huhu..Adam oh Adam.. Nanti, form 1, masuk Sekolah Menengah Islam Al Amin ye..=)

p/s: Esoknya, abangku pula yang melepaskan marahnya terhadap team Israel..

Sunday, February 15, 2009

Mamaku Seorang Srikandi!

Mama pulang dari kerja. Aku, Dayah dan Adam masih bermain-main. Adam ketika itu masih bersekolah tadika.

"Assalamualaikum.."

Ada suara di balik pintu kaca. Derap tapak kaki kasut mama yang bertumit itu membuatkan kami terkejut. Tapi aku sudah dapat meneka itu suara mama. Memang kebiasaan mama, sebaik sahaja pulang dari pejabat, mama akan menyorok di balik pintu sambil memberi salam. Itu cara mama bermesra dengan kami, terutamanya Adam yang masih lagi kecil.

"Adik! Sape balik tu? Takut.." usikku. Adam memeluk Dayah kuat-kuat.
"Huarghh.."mama menyergah!
"Arghhh...mama!!!" Adam menjerit sambil ketawa besar, dan kami semua akan sama-sama ketawa.
"Ni kenapa belum mandi ni...penat mama balik, sampai rumah tak mandi-mandi lagi..." tanya mama pada aku dan Dayah.

Huhu..sekolah petang. Biasalah. Cukup culas untuk mandi awal! Kini, leteran itu yang sangat kami rindui. Sampai sekarang, setiap kali bangun tidur dan saat jam menunjukkan pukul 7 malam, aku akan pastikan aku sudah mandi!

Selepas mandi dan solat maghrib, kami akan turun ke dapur. Hmm..wangi! Mama memang sangat rajin memasak. Walaupun nasi goreng cincai, tapi itulah nasi goreng tersedap yang pernah aku makan.=) Mama aku lihat sangat betah menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri. Walau sesibuk macam manapun, mama akan pastikan perut kami beralas. Bukan setakat beralas, tetapi sudah sampai ke tahap ber'kusyen' dah pun!

Saat mama memasak, tugas kami adalah untuk bermain dengan Adam. Huh, Adam yang tersangat 'aktif'.. Permainannya jauh berbeza daripada permainan yang aku main sewaktu zaman kanak-kanak dulu. Sudah tiada 'teng-teng', 'galah panjang', dan sebagainya. Adam suka main jual-jual CD, buat roti canai (mandi dalam bilik air lama-lama, sambil 'basuh baju' . Baju itulah roti canai. Habis kuali periuk dibawa masuk dalam bilik air..), main tembak-tembak org dengan pistol air..hehe. Walaupun yang mengelilingi hidupnya adalah kaum wanita, namun alhamdulillah, tidak seinci pun perangainya yang serupa dengan kami!

Mama hanya bersabar dengan tingkahlaku kami. Kadang-kadang kami sangat nakal. Mengusik Adam sampai akhirnya dia menangis. Huhu..mama jugak yang kena pujuk. Dan yang pasti, kami yang kena marah. Tapi mama hebat..sekelip mata Adam akan diam kembali, dan kami akan makan bersama-sama. Malamnya, mama akan melipat kain baju, dan menyelesaikan beberapa tugasan rumah dan pejabat yang masih belum selesai. Kami tahu mama penat. Kadang-kadang sambil melipat baju pun mama boleh tertidur. Adam pula suka menyuruh orang bercerita padanya. Kesian mama. Melayan karenah anak-anak memang tidak akan habis! Kami pula, akan terperap di bilik, menyiapkan tugasan sekolah yang bertimbun-timbun. Esoknya, mama akan bangun jam 5 pagi walaupun pada sebelah malamnya, mama terpaksa melayan Adam bermain atau menonton bola sehingga jam 2 pagi..Hebatkan mama!

Kami tidak suka makan di sekolah. Lantaran itu, mama akan menyediakan kami bekal makanan. Setiap hari bawa bekal. Jimat belanja. Pernah suatu masa, Hidayah menjual nasi goreng mama di sekolah. Huhu..seronok! Bayangkan kesabaran mama melayan karenah kami..Aku tidak tahu adakah aku mampu melayani karenah anak-anakku kelak sebagaimana mama. Pukul 7 pagi selalunya ayah akan menjemput mama untuk ke pejabat. Tapi, mama tidak akan pernah meninggalkan rumah tanpa bersalaman dengan kami. Mama juga akan pastikan duit belanja sekolah dan harian tersedia di bawah kain alas meja. Baju yang akan dipakai oleh Adam dan ayah pun mama akan sediakan di atas meja sekali. Aku benar-benar mengkagumi mama.

Entahlah teman-teman..ini semua coretan apa yang dapat aku lihat. Belum lagi pada tanggungjawab mama yang kami tidak tahu dan lihat. Apa yang pasti..Inilah arwah mamaku..Sesungguhnya, dia srikandi di hatiku..Ya Allah, ampunkan dosa-dosa mama..Ameen..

Thursday, January 29, 2009

Bicara Sang Puteri

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini semakin ramai di kalangan sahabat-sahabat yang berbicara soal ibu mereka, sedang aku sudah tidak punya ibu untuk aku bicarakan. Apa yang tinggal hanya cebisan kenangan yang Allah Taala tinggalkan buat bekalan untuk aku terus mengingati siapa ibuku. Tahniah buat Akh Naim (kipasterbang) dan Akh Nuruddin atas artikel yang benar-benar menyentuh hati.

Bicara Sang Puteri,
Buat Ratu di hati,
Andai waktu di hujung jari,
Pintaku Ratu di sisi..

Mama bagiku Sang Ratu. Mama juga Srikandi. Tabahnya mama mengharungi dugaan yang diberi Illahi. Tika ini, aku sedikit emosi. Barangkali jemari tidak tertahan lagi untuk meneruskan rentak tari pada papan kekunci. Ingatanku pada Sang Ratu membuatkan hatiku sayu. Tiba-tiba, lagu INSPIRASI HATI nyanyian DE-HEARTY singgah di telinga.

Seringkali aku berdoa padaNya
Agar tabah menghadapi hidup ini
Ya Allah beri aku kekuatan
Untuk tempuhi dugaan yang mencabar..

Sekiranya aku mendapat pengganti
Ku harapkan insan sepertimu oh kasih
banyak membantu, dan mendorongku,
menjadi hamba yang taat kepadaNya..

Ya, aku selalu berpesan kepada arwah mama agar terus bersabar. Namun Allah lebih menyayangi mama...

" Syahirah..kenapa mama sakit sangat macam ni... "-arwah mama

"Ma.. Allah sayang pada mama. Sebab tu Dia bagi ujian macam ni.. Mama kuat, Tuhan pun tau mama kuat.."-aku

Dialog di atas tidak akan aku lupakan. Kata-kata mama yang sayu yang pernah arwah luahkan padaku. Aku terlalu sedih untuk menjawab soalannya. Tuhan..terima kasih kerana menyayangi mama.

Jemariku tiada daya lagi untuk terus mengetik. Namun banyak lagi yang akan aku kongsikan dengan kalian pada entri seterusnya. Apa yang pasti bagiku, Ratu hatiku ini tiada ganti.

" Ya Allah, sayangilah arwah mama seperti mana arwah menyayangi kami sewaktu kami kecil.. cintailah arwah mama seperti mana arwah mencintai kami sewaktu kami kecil..lindungilah arwah mama seperti mana arwah melindungi kami sewaktu kami kecil.. lembutlah terhadap arwah mama seperti mana arwah lembut terhadap kami sewaktu kami kecil.. Ameen"

ENTRI SETERUSNYA: Mamaku Seorang Srikandi!

Friday, December 19, 2008

HIGH EXPECTATION!!

"Wahh...Result SPM gempak! Errmm, dik, kenapa awk tak minta U?"

"Fuyyoo...banyaknya A1, awk mesti boleh dpt 4.oo flat la dik..."


Itulah ungkapan para pekerja di pejabat administration and marketing sewaktu aku mendaftar di Kolej Islam Antarabangsa, 1 Disember yang lalu. Aku semakin terasa hina sewaktu kata-kata itu mereka lemparkan namun jauh di sudut hati, aku aminkan saja kata-kata yang mereka titipkan itu. Barangkali menjadi doa buatku. Ya, di sini, segala-galanya baru. Aku hadir di sini pun berbekalkan semangat yang ku peroleh daripada keluarga dan sahabat handai yang benar-benar mengenali diriku. Jenuh jugak sebenarnya hendak mengatur langkah dengan jiwa yang besar. Aku mohon pada Allah, mudah-mudah permusafiran di sini dipermudah dan sentiasa dalam redhaNya.

Kolej Islam Antarabangsa merupakan subsidi daripada IIUM Property iaitu anak syarikat milik Universiti Islam Antarabangsa. Lokasinya juga tidaklah jauh mana dengan kediamanku dan UIAM sendiri. Kira-kira 20 minit mungkin. Alhamdulillah, di sini dapatlah aku kerap pulang ke rumah dan berehat-rehat bersama keluarga. Aku masih ingat pesan ayah..

" Ada hikmahnya Allah letak Syahirah di sini..."

" Dekat dengan rumah, dekat dengan Adam.. Adam tu manja dengan semua orang. Kita bukan setakat kena ajar Adam, tapi kena didik dia.."


Ya, aku teringat arwah mama teringin benar untuk menghantar adikku Muhammad Adam Taufeeq ke sekolah aliran agama. Bagiku, adikku seorang ini cepat menangkap dalam ilmu keagamaan, lebih-lebih lagi hafazan. Kini, dalam usia 10 tahun dia sudah berjaya menghafaz beberapa surah pendek seperti Al-Taariq, Al-Mutaffifin, Al-Insyiqaq, Al-Buruj dan beberapa lagi yang aku sendiri sudah lupa. Sememangnya aku sewaktu umur ini baru sahaja khatam al-Quran. Tiada langsung surah yang dihafaz. Kadang-kadang iri juga pada budak kecik ni! Alhamdulillah. Selalunya sebelum tidur, kami berdua akan berbual panjang mengenai beberapa persoalan agama yang dia keliru. Adam sering memanggilku Ustazah! Haha. Namun, kadang-kadang sedikit kepenatan melayan persoalan yang tidak pernah terlintas di benak fikiran.

" Kak Iah, mama mesti tengah best giler jumpa Allah kan?

" ha'ah.."

"Kite kan kadang-kadang fikir, macam mana ek MATI? Macam tak percaya semua orang akan MATI. Kite sendiri akan MATI..fuhh..mama bestla..dapat masuk syurga.."

Aku kelu.

" Adik, memang pun. Sebab tu kite kena doa banyak2 supaya Allah bagi kita Husnul Khatimah.. Mama dapat husnul khatimah tu.."

"Husnul Khatimah tu ape? Husnu dzhon kite tau la.."

"Pengakhiran yang baik..adik esok kite sambung eh. Kakak mengantuk sungguh ni..."

"Pengakhiran yang baik? Oh ha'ah.."

"kak Iah, husnu dzhon tu baik sangka kan?"

"Kak Iah, kite kena baik sangka kan... hehe.."

"kak Iah.."

"Tidur.."

"Hehe..kak Iah, kalau sakit mati tu macam mana? hehe..syoknye kacau.."


"Adik!! Esok ek.."


"Hehe..kak Iah..hehe"


Begitulah keadaan kami setiap malam sebelum tidur! Ada sahaja celoteh dan gurauan dari adikku ini. Ya Allah, makbulkanlah doa mama. Aku meletakkan high expectation kepadanya dan juga pengharapan kepada Allah s.w.t agar Adam dapat menjadi anak yang soleh.

High expectation orang kepada kita kadang-kadang buat kita semakin resah. Begitu juga aku di IIC. Disebabkan faktor usia dan apa yang aku perolehi sewaktu di matrik dan SPM, membuatkan ramai yang memandang tinggi kepadaku. Sukar untuk aku melalui keadaan ini sebenarnya. Aku gusar andai semua ini bakal menjadikan aku manusia yang riak. Alhamdulillah, aku lulus dalam peperiksaan EPA (English Placement Assesment). Satu-satunya yang lulus. Keadaan ini membuatkan aku sedikit terkenal di kalangan guru bahasa Inggeris. Oleh kerana itu, aku berjaya exempted dalam subjek English For Islamic Studies Level One. Kesempatan ini aku gunakan untuk membantu sahabat-sahabat yang lemah dalam matapelajaran Bahasa Inggeris. Bagiku, bahasa ini perlu dikuasai tanpa meremehkan bahasa Melayu kerana dengan kelebihan ini jugalah, kita pasti akan mampu menaikkan martabat Islam lebih-lebih lagi dalam menyebarluaskan dakwah. Alhamdulillah.

Di sini, aku senang bergaul dengan 2 orang adik yang sama jurusan denganku. Kami sering kemana-mana bertiga. Sabarina dan Asmaliza. Maaf, aku belum sempat mengetik gambar kami bertiga. InsyaAllah, aku akan kenalkan mereka dengan sahabat akhawat yang lain. Alhamdulillah, semoga ukhwah yang hadir ini, terjalin kerana cinta padaNya..

ENTRI SETERUSNYA: HALAQAH CINTA

Saturday, October 4, 2008

Salam Aidil Fitri


"..Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan yang akan datang...ameen.."


Pejam celik-pejam celik, sudah empat hari Ramadhan berlalu meninggalkan kita. Bagi diriku, ramadhan kali ini terlalu terkesan sehinggakan aku tidak berapa mahu menyambut Aidilfitri. Begitu juga dengan adik beradikku yang lain. Terutamanya abangku. Selalu sahaja dia katakan "dah tak bestlah bulan puasa dah habis....syaitan dah datang.." Kami akan ketawa besar selepas setiap kali dia ungkapkan kata-kata itu, sambil mengiyakan sahaja. Ya, kata abangku itu memang benar. Malah aku sendiri risau, kalau-kalau semua bekalan yang dikumpul sepanjang Ramadhan punah begitu sahaja dek datangnya kembali syaitan..hmm


Benarlah seperti apa yang diajar oleh baginda Rasul s.a.w, bahawa Ramadhan adalah medan mentarbiyyah nafsu. Malah, Ramadhan juga adalah masa terbaik untuk kita mengikat kembali hati kita dengan Sang Pencipta. Cumanya, tahun ini, sedikit berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Tahun ini, Ramadhan kami sekeluarga tanpa kelibat mama tersayang! Tiada lagi lembut suara mama mengejutkan kami untuk bangun bersahur. Kali terakhir ku jamah masakan arwah mama pun sudah tidak ku ingat bila. Tiada lagi riuh rendah suara mama saat berbuka puasa. Paling tidak dapat ku lupakan ialah nasi goreng cincai mama yang selalu ku pinta arwah sediakan saat bersahur. Sedap! Tapi, kini tiada lagi tanpa sempat ku pelajari resipi makanan kegemaranku itu...

(kenangan sewaktu sambutan Aidilfitri 2007 bersama arwah mama sebelum menghidap kanser. Aku tiada di dalam gambar)


Suatu malam, Abg Suhail bercerita tentang amalan beriktikaf di masjid. Katanya, tahun ini dia ingin habiskan sepuluh malam terakhir di masjid as-syakirin KLCC. Sebaik sahaja aku pelajari tentang amalan itu, sering pula ku dengar di corong radio dan kaca televisyen tentang amalan ini. Seolah-olah memanggil untuk aku turut sama memeriahkan amalan yang sangat disayangi Rasulullah s.a.w. Tetapi, bagaimana? Kehidupan sebagai pelajar asasi sedikit terbatas. Kami tidak dibenarkan keluar selepas pukul 8.00 malam. Aku cemburu sungguh apabila Abg Suhail ceritakan tentang kehebatan para imam saat qiyamullail dijalankan bersama-sama dengan para makmum yang hadir. Puas ku pujuk sahabat-sahabat dan adik-adik usrah untuk turun bersamaku untuk beriktikaf di masjid, tetapi kesibukan mengatasi masa yang ada.


(keindahan beribadat di masjid pada bulan Ramadhan sangat sukar untuk digambarkan!)

Aku berdoa agar Allah pertemukan aku dengan kasihNya. Aku berdoa agar aku terpilih untuk turut sama menikmati kemanisan amalan iktikaf ini. Alhamdulillah. Allah beri bantuan melalui turunnya sahabatku Athirah dari UIA Kuantan yang kebetulan hadir pada malam 26 & 27 Ramadhan untuk menziarah kami di Pusat Asasi UIAM bersama-sama Siti Fatimah. Mudah sahaja aku memujuk Athirah untuk beriktikaf bersama-sama di masjid KLCC. Tidak ku lupakan sahabat-sahabat di UIA Gombak yang tinggal berdekatan. Tetapi mereka memilih untuk beriktikaf di masjid UIA sahaja. Tidak mengapa. Kerana di mana-mana pun sama sahaja. Alhamdulillah. Allah memilih kami berdua untuk menjadi tetamunya pada malam itu. Mudah-mudahan amalan kami diterima. Walaupun pelbagai kesusahan yang terpaksa kami hadapi untuk sampai ke KLCC, tetapi kami puas! Walau hanya satu malam setelah penat meredah hujan, ditambah pula dengan berduyun-duyun penumpang LRT dengan kami yang termengah-mengah membawa beg balik kampung!


Aku dan Athirah sudah lama tidak bertemu. Jadinya, satu hari satu malam yang ada pada waktu itu kami manfaatkan sepenuhnya. Saat paling indah ialah ketika berbuka di hadapan pertunjukkan air pancut di Taman KLCC. Sengaja kami pilih untuk berbuka di situ. Makan sambil menikmati keindahan malam di Kuala Lumpur. Setelah selesai semuanya, kami pulang ke rumah pada keesokan harinya. Selang sehari, ku bawa pula sahabatku saat di bangku sekolah, Dizyana untuk menikmati perkara yang sama ku lakukan dengan Athirah. Cumanya, kami tidak sempat untuk qiyamullail di sana. Biasalah, perempuan. Walau hanya sempat menunaikan fardhu maghrib, sudah cukup untuk mengubati kerinduan ku pada masjid itu.. Alhamdulillah.


Malam itu malam raya. Sibuk juga aku dan makcik menyediakan ketupat dan rendang. Sekali lagi, tanpa kelibat mama. Pertama kali dalam sejarah keluarga kami untuk beraya di Kuala Lumpur sahaja. Aku juga tidak lupa untuk menonton rakaman takbir raya di TV9. Ada Abg Suhail, geng-geng GPTD dan adik-adik PAUIAM yang amat ku kenali. Sudahpun mereka khabarkan awal-awal lagi untuk menonton, makanya aku pun terpacak di kaca tv menunggu. Tetapi, hiba di hati mengenangkan berlalunya Ramadhan dan tibanya 1 Syawal tidak dapat ku tahan-tahan lagi! Air mataku jatuh juga akhirnya...ya, 1 Syawal kami sekeluarga tanpa mama....Alhamdulillah, keesokan harinya, kami sekeluarga meluangkan masa untuk berkunjung ke pusara mama. Nisan sudahpun ditegakkan. Sedikit pelik membaca nama mama sendiri terukir indah pada nisan itu. Tetapi, kami harus menerima kenyataan bahawa inilah kehidupan yang akan dan perlu kami lalui pada hari-hari yang mendatang...Semoga, kami sekeluarga hidup bahagia. Semoga kami anak-anak mama akan terus berjasa pada arwah meski jauh dibatasi bumi. Doa kami, semoga mama tenang di sana...Ameen..


Akhir kata, ilal liqa' ya Ramadhan... Selamat Hari Raya Aidilfiri 1429 Hijrah. Maaf Zahir Batin...

Friday, September 12, 2008

Al-Fatihah...Buat Mama Tercinta

"..sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepada(Nya) jualah kita kembali.."

Tanggal 6 September 2008, (6 Ramadhan 1429 Hijrah) tepat jam 3.43 pm, mamaku menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan kami enam beradik, dan puluhan saudara mara serta sahabat handai yang lain di kediaman kami yang terletak di Taman Melawati. Mama pergi dijemput Khaliq setelah hampir 24 jam nazak sebaik sahaja arwah selesai melakukan pemeriksaan kesihatannya yang terakhir, (jumaat; 4.00pm). Arwah mama adalah di antara puluhan juta korban penyakit kanser yang menyerang hampir seluruh organ-organ utamanya. Semoga arwah mama berbahagia setelah kembali ke sisi Pencipta. Doa kami, semoga Allah pertemukan kita di syurga kelak... Ameen.

Di kesempatan ini juga, aku ingin merakamkan jutaan terima kasih buat insan-insan ini:

1. Ayah
2. Adik- beradikku
3. Saudara-maraku
4. Dizyana
5. Abg Suhail
6. Kak Nadzifah
7. Kak Puteri
9. Kak Jihan
10. Abg Hanif
11. DJ
12. Kak Shams
13. Syed Izad
14. Abg Naim
15. Kak Mariati
16. Kak Akmariah
17. Zahirah
18 Nur Aida
19. Mu'iz

(semua insan yang ku sebutkan di atas amat membantu aku untuk terus kuat)

Al-Fatihah.

entri terdahulu berkaitan mama yang ku tulis sebelum pemergian arwah...

Kematian...Sesuatu Yang Pasti

Harapan Baru...Ameen ya Rabbal 'Alamin..
Aku Kembali
Nak Ke Tak Nak?

Sunday, June 22, 2008

Kematian...Sesuatu Yang Pasti!


“..Katakanlah ( wahai Muhammad); Nyawa kamu akan diambil oleh Malakul-Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)..”As-Sajdah;11

Aku teringat seraut wajah comel yang pucat lesu dan sedikit kekuningan, terbujur kaku di pembaringan beralaskan sehelai kain batik di ruang tamu rumahnya. Saat itu juga, seluruh ruang kediamannya itu dipenuhi oleh para manusia yang rata-ratanya berwajah muram kusam, malah ada sekolompok manusia yang menahan sendu-sedan, dan ku lihat air mata mereka tidak berhenti-henti mengalir.

“ Syahirah… anak Kak Shidah dah meninggal pukul 1.10 tengah hari tadi,”
suara mama yang berbaur kejutan itu masih terngiang-ngiang di fikiranku. Aku tahu mama sedih dengan berita pemergian anak rakan sepejabatnya yang baru sahaja lima tahun menikmati keindahan bumi milik Tuhan ini. Ku lihat jam menunjukkan tepat pukul 1.30 tengah hari. Masih baru lagi, getus hatiku.

“ Innalillahi waiina ilaihi raaji’uun. Arwah meninggal sebab sakit apa, ma?” aku cuba berlagak tenang, walaupun aku sedikit tersentak kerana sesaat sebelum mama mengkhabarkan padaku berita tersebut, aku baru sahaja berkira-kira untuk merancang sedikit perancangan tambahan berkisarkan kehidupanku sehingga ke usia 63 tahun. Pemergian anak kecil semuda itu benar-benar menggegarkan hatiku! Ya, kerana mana mungkin aku mampu bekira-kira sendiri setiap perancangan yang ku sediakan itu mampu ku capai andai sebenarnya maut hanya selangkah sahaja akan menghampiriku! Mungkin hari ini, anak kecil itu yang dijemput Khaliq, tetapi siapa tahu, esok lusa mungkin tiba giliranku?

“ Dia baru saja baik daripada demam campak. Tiba-tiba, semalam dia demam panas balik. Bila sampai di Damai Service Hospital, ( tmn melawati), doctor kata memang dah tak ada harapan… Kak Shidah pun cakap yang mata anak dia dari pagi tadi tak focus. Asyik melilau je mata hitam tu…” suara mama semakin perlahan. Sekali lagi, mama tidak dapat menyembunyikan keresahan yang terbuku di hatinya. Mama sendiri, adalah penghidap penyakit kanser serviks, tahap 3 yang kini, sel-sel kanser itu telahpun merebak ke bahagian hati. Seluruh tubuh mama kekuningan. Bahagian mata putih mama pun, turut sama kekuningan. Tanda-tanda jaundice ( kekuningan) yang terdapat pada tubuh badan mama sememangnya akibat daripada kegagalan hati, iaitu antara organ terpenting di dalam tubuh untuk berfungsi dengan baik. Mama mengeluh sahaja sedari tadi. Aku tidak tahu bagaimana untuk menenangkan mama. Mama pasti berkira-kira dialah sepatutnya yang dijemput Khaliq terlebih dahulu, tetapi nampaknya anak kecil ini yang lebih disayangiNya. Ku lihat mama sibuk menghubungi teman sepejabatnya yang lain untuk mengkhabarkan berita sedih itu.

“ Mama, kita nak pergi ziarah arwah?” tanyaku perlahan
“ Mestilah. Tapi ayah tak balik lagi. Nanti lambat pulak kita..” mama berkata perlahan. Kata ayah, insyaAllah, dalam pukul 2.00 pm, kami akan bertolak ke rumah arwah yang terletak di Taman Maluri. Aku pantas mengambil jubah dan tudung hitam milik mama untuk digosok. Mujur, semalam aku sudah pun menggosok dua pasang baju kurung dan jubah hitam untuk ku bawa pulang ke kolej. Maka dapatlah aku mengejar masa. Alhamdulillah, tepat jam 2.15 pm, kami berempat ( aku, ayah, mama dan naquiah) memulakan perjalanan. Dalam perjalanan, kami masing-masing tercari-cari lokasi sebenar rumah Kak Shidah. Beberapa minit kemudian, ekor mataku tertancap pada sebuah rumah yang dipenuhi oleh ramai lelaki berkopiah putih. Berduyun-duyun kereta tersusun di sepanjang Jalan Pertiwi. Lantas, aku maklumkan pada ayah, dan kami akhirnya tiba di rumah yang dimaksudkan.

Suasana sedih menyelubungi seluruh rumah Kak Shidah. Alhamdulillah, kami sempat sampai sebelum jenazah anaknya dikebumikan. Sewaktu itu, jenazah arwah baru sahaja selesai dimandikan. Entah mengapa, aku dapat duduk berdekatan dengan jenazah allahyarham. Jarak kami hanya kira-kira sedepa sahaja. Ku tenung dalam-dalam jasad yang kaku di hadapanku itu, sambil bibirku tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan rohnya. Ah, wajah dihadapanku itu sangat tenang sekali! Seolah-olah, arwah sedang tidur nyenyak dibuai mimpi. Ku kira, pasti saat itu rohnya berada dalam kebahagiaan yang hakiki. Anak kecil itu terlalu muda untuk menimbunkan beban diri dengan dosa yang menggunung tinggi. Bibir dan mata arwah sedikit terbuka, membuatkan hatiku semakin meruntun sayu. Alangkah bahagianya engkau, wahai anak kecil.. Pergimu menghadap Khaliq begitu mulia. Rohmu terlalu suci untuk disakiti dengan hukuman dan ‘azab Al-Qahar.

“ Beruntung Kak Shidah… Dia ada aset yang tak ternilai yang akan menyambutnya di pintu syurga nanti..”
aku bisikkan pada mama. Mama mengangguk tanda setuju. Dalam hatiku berdoa, agar aku juga dapat menjadi aset buat mama dan ayah seandainya mereka sudah tiada nanti.

Aset bagi orang paling kaya di dunia pasti bernilai berbilion-bilion ringgit dan inilah yang akan dibanggakan oleh pemiliknya. Semakin mereka kaya harta, semakin mereka berkuasa! Aset di akhirat pula boleh dilihat keberkatannya di dunia, tapi hasilnya hanya dapat dituai di akhirat sahaja. Maka, anak-anaklah harta kita yang tak ternilai. Andai kita mampu menjalankan perniagaan dengan baik, pasti pulangannya juga besar. Mereka inilah modal yang akan dipusing dan akan dilaburkan sebagai saham akhirat kelak. Sering sahaja aku mengingatkan diri ini dan juga adik-adikku, bahawa nasib mama dan ayah di mata Allah, bergantung kepada kami semua, dan inilah yang akan membanggakan mama dan ayah di padang masyhar nanti. Malah, bukan hanya mama dan ayah, tapi juga baginda Rasul s.a.w. Tanpa ku sedari, air mata ku turut sama bergenang. Mujur aku sempat untuk menyekanya daripada dibiarkan terus menitis.

Kini, tiba giliran ahli keluarga terdekat untuk mencium jenazah arwah sebelum dikapankan. Ramai kanak-kanak kecil, yang ku kira sepupu sepapat arwah memandang sayu ke arah arwah. Malah ada yang berkali-kali bertanya kepada ibu bapa mereka, ke mana arwah akan di bawa. Ada pula yang masih berlari-lari anak dan berhurau senda, kerana mereka sememangnya masih belum kenall, apa itu erti sebuah kematian. Kak Shidah dan suaminya ku lihat mencium pipi dan dahi jenazah arwah berkali-kali tanpa jemu. Sesekali, ku lihat suaminya mengurut perlahan bahu Kak Shidah agar bertenang, kerana bimbang kesihatan bayi di dalam kandungannya. Alhamdulillah, Allah itu Maha Adil. Kak Shidah sedang hamil tujuh bulan. Patah tumbuh hilang berganti. Mudah-mudahan, seorang lagi hamba dan khalifah yang bakal lahir kelak, akan mengisi semula ruang kosong di kamar hati ayah dan ibunya. Juga barangkali dapat menyambung perjuangan abangnya. Mungkin ia wirawan, atau mungkin juga ia wirawati. Namun buat permata ayah dan bonda, apa yang diharapkan pasti sang anak dapat menjadi insan yang berguna buat agama, ummat dan mampu membanggakan mereka saat bertemu Allah kelak. Kemudian, ku lihat seorang tua, ( dalam 80-an, barangkali) sedang memeluk kemas jenazah arwah. Cakap-cakap orang sekeliling, beliau ialah datuknya, yakni ayah kepada Kak Shidah. Ah, pasti dia juga tidak menjangkakan bahawa kematian ini akan berlaku. Pasti, dia berkira-kira sama seperti mama. Menjangkakan jika mengikut hukum alam, hanya si tua yang lazimnya meninggal dunia terlebih dahulu. Namun, inilah yang dimaksudkan oleh Allah, bahawa kematian itu sungguh hampir kepada anak Adam.

Aku termenung sebentar saat jenazah disembahyangkan oleh jemaah lelaki yang hadir. Jika aku punya masa dan kekuatan untuk menjadi aset bernilai buat ayah dan mama, alhamdulillah. Namun, suatu hati nanti, pasti aku juga akan berkahwin dan berkeluarga, dengan izin Allah. Jika aku yang menjadi mama buat anak-anakku kelak, apakah aku punya daya untuk mentarbiyyah mereka agar menjadi aset yang sama buatku? Adakah aku mampu untuk melahirkan zuriat yang cintakan Khaliq, cintakan baginda Rasul s.a.w dan cintakan kedua ibu ayah mereka? Adakah anak-anakku mampu untuk mendoakan kesejahteraan aku dan suami saat pergantungan kami berdua hanya pada amal soleh, sedekah jariah dan doa anak-anak soleh milik kami di akhirat nanti? Mampukah mereka menjadi soleh? Menjadi manusia acuan Al-Quran? Mampukah, aku dan suami mendidik mereka sebegitu rupa? Maha Suci Allah, kurniakanlah padaku, sahabat handaiku, dan kaum kerabatku kesenangan di dunia dan di akhirat.

Satu perkara yang pasti, aku tidak seharusnya membiarkan diri ini terabai daripada tidak berfikir tentang soal kematian. Kerana mungkin, saat artikel ini ku tebitkan di blog, telah terulis di Lauh Mahfuz, bahawa aku akan didatangi oleh Malaikat Izrael dan seterusnya meneruskan jalanan permusafiran di alam kedua selepas alam dunia fana. Juga, buat setiap langkah yang dicatur, aku harus mengambil kira seandainya maut yang akan mendahului, dan hanya dengan itulah, aku bisa melembutkan hati yang kian mengeras dan membatu. Cuma, bagaimana, bila dan di mana pengakhiran kehidupan ini, semua itu adalah di sebalik tabir rencana Khaliq. Sebagai hamba yang hina, aku bermohon belas ihsan milik Ar-Rahman agar pergiku menghadapNya nanti dalam dakapan iman dan pengakhiran yang baik. Agar pergiku, bersama-sama iringan doa yang tiada putus, dan semoga dipermudahkan segala-galanya.

“Anak-anak ayah, entah siapalah yang akan doakan ayah bila ayah mati nanti…” ujar ayah dengan sedikit getar pada nada suaranya sewaktu kami dalam perjalanan pulang.

Ayah, mama, selagi hidupku ini dalam jagaan kasih sayang Allah, selagi hayatku ini dalam lindungan hidayah Allah dan selagi umurku dalam keberkatanNya, insyaAllah, demi jiwa yang berada di dalam genggamanNya, akan aku berusaha menjadi anak yang solehah dan doaku senantiasa buat kalian berdua… bukan hanya aku, tetapi cucu-cicit kalian yang bakal lahir dari rahimku, semuanya sekali akan turut sama mendoakan kesejahteraan kalian! InsyaAllah. Tetapi, persoalan buat diriku, jika aku yang pergi dahulu, maka siapakah yang akan mendoakan kesejahteraanku? Ya Allah, mudahkanlah urusan dunia dan akhiratku...Ameen Ya Rabbal ‘Alamiin.

Wallahu’alam..

Sunday, June 15, 2008

Harapan Baru..Ameen Ya Rabbal 'Alamin

Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian.
Melainkan yang beriman dan yang beramal soleh..

Pejam celik, pejam celik tanpa aku sedari, cuti semester telah pun sampai ke penghujungnya. Hari ini, Ahad; 15 Jun 2008 merupakan hari pendaftaran bagi semester pertama, sesi 2008/09. Setelah hampir dua hari dua malam aku bersengkang mata mengemas segala keperluan, akhirnya aku tiba di perkarangan Mahallah Zainab Al-Jahsyi, Pusat Asasi UIAM tepat jam 4.32pm bersama-sama ayah, mama dan adikku, Naquiah. Sebenarnya, mata ini tidak dapat lelap sedari semalam lagi. Berbalam-balam kenangan yang mengisi kotak fikiranku. Segala macam peristiwa semenjak awal cuti bermula sehinggalah ke penghujungnya, semuanya tidak berhenti-henti mengisi lamunanku. Sungguh! Segalanya bagai mimpi sahaja!

Sepanjang 2 bulan permusafiranku di teratak indah yang didiami HEWI-HEWI PKPIM, juga sepanjang berjasa di bumi Anjung Rahmat, pelbagai perkara baru yang dapat aku pelajari!. Segala macam ilmu yang telah ku timba. Syukran buat Abang Hilmi, kerana tugasan yang diberikan. InsyaAllah, buku PKPIM akan siap tidak lama lagi. Sepanjang menyiapkan tugasan ini, alhamdulillah, ia telah membuka peluang untuk aku lebih memahami dasar perjuangan yang dibawa oleh PKPIM dan yang paling utama, dasar perjuangan Islam yang sebenar-benarnya. Juga,pengalaman bertemu dengan tokoh-tokoh intelektual dan para pemikir, seperti Abang Asyraf Wajdi, Prof. Wan Mohd Nor, Cikgu Sidek Baba, Nurul Izzah Anwar Ibrahim, para pejuang PERTIWI, para mujahidah NISA' (..dan ramai lagi yang pasti tidak mampu untuk aku catatkan di sini) pastinya tidak bisa luput daripada ingatan.

Permusafiran di bumi indah milik Khaliq ini pasti menuntut pengorbanan yang besar. Tidak mungkin jalanan ke syurga itu dihampar permaidani merah. Lalu, aku yakin, aku tidak seharusnya mengalah dan tidak seharusnya aku membiarkan diri terus sahaja dihantui bayangan mehnah yang gelap gelita. Aku seharusnya melangkah dan tidak mustahil untuk aku kembali berlari lalu berkejaran untuk menggapai nikmat yang dijanjikan Ar-Rahman! Apatah lagi beban mehnah yang terpaksa ku pikul ini, benar-benar merobek dan meluntur segala kekuatan yang ku bina selama ini. Pasti, tanpa iman di dada, aku mungkin bisa saja untuk terkulai layu lalu membiarkan saja syaitan ketawa riang. Lalu, hari-hari yang ku lalui, aku jalani dengan penuh yakin diri. Aku tidak seharusnya menangis, dan terus menyesali takdir Illahi yang telah sejak azali lagi tertulis di Lauh Mahfuz. Syukran buat dua orang insan yang benar-benar membantuku membina kembali kekuatan diri ini. Kalian benar-benar berjasa! Aku kira, inilah amal jariah kalian buatku dan doaku buat kalian, agar sentiasa dirahmati dan diredhai Allah..( you know who you are)

Di pejabat, alhamdulillah, kesibukan mengatasi masa yang ada. Sehinggakan minda tidak berupaya hendak memikirkan masalah yang bersarang di kepala. Terkadang itu, aku terpaksa ikut serta dalam tugasan di luar, untuk menyiapkan gerakerja temuramah dan menghadiri jemputan kem-kem ibadah mahupun pihak luar, sehinggakan pernah sekali aku terpaksa dan dipaksa memandu kereta manual milik SUA dari Damansara ke Gombak setelah hampir setahun lebih aku tidak menyentuh kereta manual! ( dah la kereta baru..subhanallah..betapa takutnya aku! bimbang kalau-kalau terjadi perkara yang tak diingini) Habis, kecut perut sahabat- sahabat yang lain. ( Maaf abg naim, abg kerol, lina..n...ustaz..ape tah..hu2..asif!) Huh, kenangan yang pasti membuatku ketawa sendiri memikirkan kelemahan diri! Riuh rendah teman- teman di pejabat juga kadang-kadang bisa membuatku tertawa! Uhh..memang benar lawak mereka menjadi! Lebih-lebih lagi bila geng Perak dan Sarawak bertemu..Ah, memang gamat dibuatnya! Loghat mereka, sedikit sebanyak dapat aku pelajari. Kadang-kadang penyamaranku menjadi! Alhamdulillah. Minda ini sebenarnya cepat benar menangkap pelajaran bahasa. Impianku, untuk belajar bahasa mandarin dan france suatu hari nanti. Ameen!

Dua bulan, menjadi penghuni Rumah HEWI, benar-benar mengajarku erti kehidupan. Saat segalanya perlu dikongsi, dan berjimat-cermat menjadi amalan utama kami berlima! Pulang saja dari pejabat, masing-masing riuh rendah, berebut-rebut menunding jari antara satu sama lain siapa yang akan menjadi tukang masak pada malam itu. Malamnya, biasalah...masing-masing sibuk dengan menelaah buku yang tersusun rapi di rak. Ada juga yang akan menjahit baju, dan ada yang akan berbual bicara mengenai aktiviti seharian yang baru sahaja berlalu. Paginya pula, masing-masing sibuk bersiap untuk ke pejabat seawal jam 7.00am selepas melelapkan mata sebentar usai solat subuh yang selalunya pada jam 6.00am. Dapur kami itu, sering aja berasap. Buat yang perlu punch card, kelam kabut dibuatnya! Buat kami aktivis PKPIM, masih boleh berlengah-lengah, tapi buat Kak Mariati, oh...pasti, dia yang akan awal ke pejabat! Kadang-kadang, tibanya 'mood' rajin memasak, habis satu sekretariat PKPIM dijamu kami! Ah...aku terlalu rindukan kalian dan pasti kenangan kita bersama akan terus segar di ingatan...=)

Buat teman-teman seperjuangan...jazakumullah atas sokongan yang tak berbelah bahagi. Sewaktu diri ini hampir-hampir sahaja rebah, sehingga pernah juga muncul rasa tidak akan bangun semula! Tapi, berkat kasih sayang Ar-Rahman, pertolonganNya hadir bersama-sama kalian. Betapa mulianya hatimu, wahai sahabat-sahabatku! ( Terima kasih tak terhingga; Athirah, Kak Ira, Aida, Lina, Imtinan, Fika, Dj, Ct, Mu'iz, Jijan) Tidak ketinggalan juga buat abang-abang dan kakak-kakak sepermusafiran yang benar-benar meringankan beban yang ditanggung. Rasanya, pasti aku tidak bisa berdiri tanpa belas ihsan kalian. ( Syukran; akhie naim, abg saifullah, abg hanif, abg kemey, abg zaidi, abg suhail, kak mariati, kak akmar, kak mila, kak asma, kak liza, kak zai, kak mija..)

Kini, aku tidak seharusnya menoleh ke belakang lagi! Aku perlu membina semula semangat yang kian pudar, dan aku yakin, aku pasti akan beroleh kejayaan. Membuka sebuah restoran yang bertemakan makanan yang menepati syarat-syarat piawai kesihatan sedunia, siap dengan khidmat kaunseling pemakanan-impianku! Dietician yang berjasa demi Islam tercinta- cita-citaku. Membuka sebuah taski buat para jundiy - amal jariah yang kuharap akan tercapai! ( saat sudah berkeluarga kelak, ape2pun kena minta izin suami juga)...Semoga, harapan baru dan doa ini, akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.. Ameen...