Sunday, June 22, 2008
Kematian...Sesuatu Yang Pasti!
“..Katakanlah ( wahai Muhammad); Nyawa kamu akan diambil oleh Malakul-Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)..”As-Sajdah;11
Aku teringat seraut wajah comel yang pucat lesu dan sedikit kekuningan, terbujur kaku di pembaringan beralaskan sehelai kain batik di ruang tamu rumahnya. Saat itu juga, seluruh ruang kediamannya itu dipenuhi oleh para manusia yang rata-ratanya berwajah muram kusam, malah ada sekolompok manusia yang menahan sendu-sedan, dan ku lihat air mata mereka tidak berhenti-henti mengalir.
“ Syahirah… anak Kak Shidah dah meninggal pukul 1.10 tengah hari tadi,” suara mama yang berbaur kejutan itu masih terngiang-ngiang di fikiranku. Aku tahu mama sedih dengan berita pemergian anak rakan sepejabatnya yang baru sahaja lima tahun menikmati keindahan bumi milik Tuhan ini. Ku lihat jam menunjukkan tepat pukul 1.30 tengah hari. Masih baru lagi, getus hatiku.
“ Innalillahi waiina ilaihi raaji’uun. Arwah meninggal sebab sakit apa, ma?” aku cuba berlagak tenang, walaupun aku sedikit tersentak kerana sesaat sebelum mama mengkhabarkan padaku berita tersebut, aku baru sahaja berkira-kira untuk merancang sedikit perancangan tambahan berkisarkan kehidupanku sehingga ke usia 63 tahun. Pemergian anak kecil semuda itu benar-benar menggegarkan hatiku! Ya, kerana mana mungkin aku mampu bekira-kira sendiri setiap perancangan yang ku sediakan itu mampu ku capai andai sebenarnya maut hanya selangkah sahaja akan menghampiriku! Mungkin hari ini, anak kecil itu yang dijemput Khaliq, tetapi siapa tahu, esok lusa mungkin tiba giliranku?
“ Dia baru saja baik daripada demam campak. Tiba-tiba, semalam dia demam panas balik. Bila sampai di Damai Service Hospital, ( tmn melawati), doctor kata memang dah tak ada harapan… Kak Shidah pun cakap yang mata anak dia dari pagi tadi tak focus. Asyik melilau je mata hitam tu…” suara mama semakin perlahan. Sekali lagi, mama tidak dapat menyembunyikan keresahan yang terbuku di hatinya. Mama sendiri, adalah penghidap penyakit kanser serviks, tahap 3 yang kini, sel-sel kanser itu telahpun merebak ke bahagian hati. Seluruh tubuh mama kekuningan. Bahagian mata putih mama pun, turut sama kekuningan. Tanda-tanda jaundice ( kekuningan) yang terdapat pada tubuh badan mama sememangnya akibat daripada kegagalan hati, iaitu antara organ terpenting di dalam tubuh untuk berfungsi dengan baik. Mama mengeluh sahaja sedari tadi. Aku tidak tahu bagaimana untuk menenangkan mama. Mama pasti berkira-kira dialah sepatutnya yang dijemput Khaliq terlebih dahulu, tetapi nampaknya anak kecil ini yang lebih disayangiNya. Ku lihat mama sibuk menghubungi teman sepejabatnya yang lain untuk mengkhabarkan berita sedih itu.
“ Mama, kita nak pergi ziarah arwah?” tanyaku perlahan
“ Mestilah. Tapi ayah tak balik lagi. Nanti lambat pulak kita..” mama berkata perlahan. Kata ayah, insyaAllah, dalam pukul 2.00 pm, kami akan bertolak ke rumah arwah yang terletak di Taman Maluri. Aku pantas mengambil jubah dan tudung hitam milik mama untuk digosok. Mujur, semalam aku sudah pun menggosok dua pasang baju kurung dan jubah hitam untuk ku bawa pulang ke kolej. Maka dapatlah aku mengejar masa. Alhamdulillah, tepat jam 2.15 pm, kami berempat ( aku, ayah, mama dan naquiah) memulakan perjalanan. Dalam perjalanan, kami masing-masing tercari-cari lokasi sebenar rumah Kak Shidah. Beberapa minit kemudian, ekor mataku tertancap pada sebuah rumah yang dipenuhi oleh ramai lelaki berkopiah putih. Berduyun-duyun kereta tersusun di sepanjang Jalan Pertiwi. Lantas, aku maklumkan pada ayah, dan kami akhirnya tiba di rumah yang dimaksudkan.
Suasana sedih menyelubungi seluruh rumah Kak Shidah. Alhamdulillah, kami sempat sampai sebelum jenazah anaknya dikebumikan. Sewaktu itu, jenazah arwah baru sahaja selesai dimandikan. Entah mengapa, aku dapat duduk berdekatan dengan jenazah allahyarham. Jarak kami hanya kira-kira sedepa sahaja. Ku tenung dalam-dalam jasad yang kaku di hadapanku itu, sambil bibirku tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan rohnya. Ah, wajah dihadapanku itu sangat tenang sekali! Seolah-olah, arwah sedang tidur nyenyak dibuai mimpi. Ku kira, pasti saat itu rohnya berada dalam kebahagiaan yang hakiki. Anak kecil itu terlalu muda untuk menimbunkan beban diri dengan dosa yang menggunung tinggi. Bibir dan mata arwah sedikit terbuka, membuatkan hatiku semakin meruntun sayu. Alangkah bahagianya engkau, wahai anak kecil.. Pergimu menghadap Khaliq begitu mulia. Rohmu terlalu suci untuk disakiti dengan hukuman dan ‘azab Al-Qahar.
“ Beruntung Kak Shidah… Dia ada aset yang tak ternilai yang akan menyambutnya di pintu syurga nanti..” aku bisikkan pada mama. Mama mengangguk tanda setuju. Dalam hatiku berdoa, agar aku juga dapat menjadi aset buat mama dan ayah seandainya mereka sudah tiada nanti.
Aset bagi orang paling kaya di dunia pasti bernilai berbilion-bilion ringgit dan inilah yang akan dibanggakan oleh pemiliknya. Semakin mereka kaya harta, semakin mereka berkuasa! Aset di akhirat pula boleh dilihat keberkatannya di dunia, tapi hasilnya hanya dapat dituai di akhirat sahaja. Maka, anak-anaklah harta kita yang tak ternilai. Andai kita mampu menjalankan perniagaan dengan baik, pasti pulangannya juga besar. Mereka inilah modal yang akan dipusing dan akan dilaburkan sebagai saham akhirat kelak. Sering sahaja aku mengingatkan diri ini dan juga adik-adikku, bahawa nasib mama dan ayah di mata Allah, bergantung kepada kami semua, dan inilah yang akan membanggakan mama dan ayah di padang masyhar nanti. Malah, bukan hanya mama dan ayah, tapi juga baginda Rasul s.a.w. Tanpa ku sedari, air mata ku turut sama bergenang. Mujur aku sempat untuk menyekanya daripada dibiarkan terus menitis.
Kini, tiba giliran ahli keluarga terdekat untuk mencium jenazah arwah sebelum dikapankan. Ramai kanak-kanak kecil, yang ku kira sepupu sepapat arwah memandang sayu ke arah arwah. Malah ada yang berkali-kali bertanya kepada ibu bapa mereka, ke mana arwah akan di bawa. Ada pula yang masih berlari-lari anak dan berhurau senda, kerana mereka sememangnya masih belum kenall, apa itu erti sebuah kematian. Kak Shidah dan suaminya ku lihat mencium pipi dan dahi jenazah arwah berkali-kali tanpa jemu. Sesekali, ku lihat suaminya mengurut perlahan bahu Kak Shidah agar bertenang, kerana bimbang kesihatan bayi di dalam kandungannya. Alhamdulillah, Allah itu Maha Adil. Kak Shidah sedang hamil tujuh bulan. Patah tumbuh hilang berganti. Mudah-mudahan, seorang lagi hamba dan khalifah yang bakal lahir kelak, akan mengisi semula ruang kosong di kamar hati ayah dan ibunya. Juga barangkali dapat menyambung perjuangan abangnya. Mungkin ia wirawan, atau mungkin juga ia wirawati. Namun buat permata ayah dan bonda, apa yang diharapkan pasti sang anak dapat menjadi insan yang berguna buat agama, ummat dan mampu membanggakan mereka saat bertemu Allah kelak. Kemudian, ku lihat seorang tua, ( dalam 80-an, barangkali) sedang memeluk kemas jenazah arwah. Cakap-cakap orang sekeliling, beliau ialah datuknya, yakni ayah kepada Kak Shidah. Ah, pasti dia juga tidak menjangkakan bahawa kematian ini akan berlaku. Pasti, dia berkira-kira sama seperti mama. Menjangkakan jika mengikut hukum alam, hanya si tua yang lazimnya meninggal dunia terlebih dahulu. Namun, inilah yang dimaksudkan oleh Allah, bahawa kematian itu sungguh hampir kepada anak Adam.
Aku termenung sebentar saat jenazah disembahyangkan oleh jemaah lelaki yang hadir. Jika aku punya masa dan kekuatan untuk menjadi aset bernilai buat ayah dan mama, alhamdulillah. Namun, suatu hati nanti, pasti aku juga akan berkahwin dan berkeluarga, dengan izin Allah. Jika aku yang menjadi mama buat anak-anakku kelak, apakah aku punya daya untuk mentarbiyyah mereka agar menjadi aset yang sama buatku? Adakah aku mampu untuk melahirkan zuriat yang cintakan Khaliq, cintakan baginda Rasul s.a.w dan cintakan kedua ibu ayah mereka? Adakah anak-anakku mampu untuk mendoakan kesejahteraan aku dan suami saat pergantungan kami berdua hanya pada amal soleh, sedekah jariah dan doa anak-anak soleh milik kami di akhirat nanti? Mampukah mereka menjadi soleh? Menjadi manusia acuan Al-Quran? Mampukah, aku dan suami mendidik mereka sebegitu rupa? Maha Suci Allah, kurniakanlah padaku, sahabat handaiku, dan kaum kerabatku kesenangan di dunia dan di akhirat.
Satu perkara yang pasti, aku tidak seharusnya membiarkan diri ini terabai daripada tidak berfikir tentang soal kematian. Kerana mungkin, saat artikel ini ku tebitkan di blog, telah terulis di Lauh Mahfuz, bahawa aku akan didatangi oleh Malaikat Izrael dan seterusnya meneruskan jalanan permusafiran di alam kedua selepas alam dunia fana. Juga, buat setiap langkah yang dicatur, aku harus mengambil kira seandainya maut yang akan mendahului, dan hanya dengan itulah, aku bisa melembutkan hati yang kian mengeras dan membatu. Cuma, bagaimana, bila dan di mana pengakhiran kehidupan ini, semua itu adalah di sebalik tabir rencana Khaliq. Sebagai hamba yang hina, aku bermohon belas ihsan milik Ar-Rahman agar pergiku menghadapNya nanti dalam dakapan iman dan pengakhiran yang baik. Agar pergiku, bersama-sama iringan doa yang tiada putus, dan semoga dipermudahkan segala-galanya.
“Anak-anak ayah, entah siapalah yang akan doakan ayah bila ayah mati nanti…” ujar ayah dengan sedikit getar pada nada suaranya sewaktu kami dalam perjalanan pulang.
Ayah, mama, selagi hidupku ini dalam jagaan kasih sayang Allah, selagi hayatku ini dalam lindungan hidayah Allah dan selagi umurku dalam keberkatanNya, insyaAllah, demi jiwa yang berada di dalam genggamanNya, akan aku berusaha menjadi anak yang solehah dan doaku senantiasa buat kalian berdua… bukan hanya aku, tetapi cucu-cicit kalian yang bakal lahir dari rahimku, semuanya sekali akan turut sama mendoakan kesejahteraan kalian! InsyaAllah. Tetapi, persoalan buat diriku, jika aku yang pergi dahulu, maka siapakah yang akan mendoakan kesejahteraanku? Ya Allah, mudahkanlah urusan dunia dan akhiratku...Ameen Ya Rabbal ‘Alamiin.
Wallahu’alam..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
moga ALLAH kuatkan semangat kita utk menghadapi hari-hari yg akan datang..
kematian itu satu kepastian..
hidup ini satu ujian..
kejadian ALLAH itu indah..
maka, untuk merasai keindahanNYA itu, marilah kita jadikan hidup dan mati dan segala-galanya kerana ALLAH. =)
Post a Comment