Tuesday, April 29, 2008

Wanita Tonggak Keharmonian Rumahtangga


" syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.."
" syurga wanita terletak di bawah telapak kaki suami.."

Peranan wanita dalam institusi kekeluargaan tidak dapat dinafikan kepentingannya lagi. Memegang amanah sebagai seorang isteri dan ibu bukanlah suatu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi bagi wanita yang bekerja. Masa yang tinggal untuk bersama-sama keluarga amat suntuk. Namun, hal ini tidak seharusnya menjadi satu alasan untuk kaum wanita mengambil sikap sambil lewa dalam menguruskan hal -hal berkaitan rumahtangga.

Mencontohi sikap murni, Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah bt Khuwailid, isteri pertama Rasulullah s.a.w yang juga merupakan usahawan wanita berjaya pada zaman itu, wanita-wanita bekerjaya haruslah meletakkan keutamaan mereka kepada hal ehwal rumahtangga melebihi tanggungjawab lain yang ada. Hal ini kerana, dengan mengambil sikap sambil lewa dan menyerahkan urusan rumahtangga secara total kepada pembantu rumah bukanlah suatu tindakan yang wajar. Saidatina Khadijah tidak pernah mengabaikan tanggungjawab beliau sebagai seorang isteri dan ibu. Apatah lagi dengan taraf hidupnya yang jauh lebih mulia dan berada berbanding Baginda Rasul s.a.w, beliau masih lagi meletakkan suami dan anak-anak sebagai keutamaan. Sikapnya yang merendah diri dan sangat mengormati suami amatlah wajar untuk dicontohi.

Sebagai wanita pertama di dalam hidup Rasulullah s.a.w, Saidatina Khadijah merupakan insan teristimewa dan pastinya memiliki beberapa sikap yang tidak dimiliki oleh isteri-isteri baginda yang lain sehinggakan menurut sejarah, Saidatina A'isyah pernah mencemburui Saidatina Khadijah kerana kecintaan Rasulullah s.a.w yang terlalu dalam kepadanya. Apakah yang sungguh istimewa pada wanita ini? Sehinggakan pada saat kematiannya, merupakan Tahun Kesedihan buat Rasulullah s.a.w? Perkara inilah yang perlu dikaji dan dirungkai oleh setiap wanita yang ingin diri mereka menjadi wanita-wanita pilihan Allah s.w.t untuk dijadikan bidadari syurga di akhirat kelak.

Hayatilah di saat awal timbulnya perasaan tertarik beliau kepada sikap jujur Rasulullah s.a.w sehingga membuahkan perasaan kasih terhadap baginda, bagaimana dengan adab dan tatasusila penuh tertib, beliau menyusun tatacara yang sungguh sopan untuk mendekati baginda Rasul s.a.w. Maisarah diutus sebagai orang tengah untuk menjalankan tugas-tugas merisik dan seterusnya sebagai insan yang bertanggungjawab menyampaikan hasrat dan peminangan Saidatina Khadijah kepada Rasulullah s.a.w. Dengan izin Allah, Rasulullah menerima peminangan tersebut walaupun jarak usia yang agak jauh.

Sebagai wanita yang matang dan pernah berumahtangga sebelum ini, Saidatina Khadijah sangat bersyukur dengan perkahwinan ini kerana atas rahmat dan belas ihsan Allah s.w.t, beliau dikurniakan suami sesempurna Rasulullah s.a.w. Beliau sentiasa berada di sisi Rasulullah s.a.w di saat baginda susah dan senang. telah diceritakan kepada kita di dalam sejarah bagaimana cekalnya Saidatina Khadijah ketika mengandungkan anak-anak Rasulullah s.a.w. Begitu juga di kala Rasulullah s.a.w menggigil ketakutan saat menerima pengkhabaran menjadi rasul akhir zaman, Saidatina Khadijah tampil sebagi insan pertama yang membenarkan Rasulullah malah sentiasa memberi semangat agar Rasulullah mempercayai khabar yang diutus Jibril itu. Terlalu banyak pengorbanan dan jasa yang ditaburkan sepanjang hayat beliau dan kerana keperibadiannya yang sarat dengan cinta, kasih-sayang, dan kejujuran inilah, beliau sentiasa hidup di dalam hati Rasulullah s.a.w walaupun selepas pemergiannya.




Agenda Sektor Perkhidmatan Awam.. Syabas PTD!!


“Demi masa! Sungguh, manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran,”
( Al-Asr: 1-3)


Allah s.w.t telah menerangkan di dalam firmanNya di atas berkenaan dengan hakikat keberadaan insan yang senantiasa berada dalam kerugian melainkan yang berpesan dengan kebaikan dan kesabaran. Justeru, hasrat Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi untuk mencetuskan revolusi idea dalam memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan generasi hadapan dalam usaha kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah Negara Bangsa yang Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang menjelang WAWASAN 2020 melalui ucapan dasarnya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-Sembilan yang lalu seharusnya diterima baik oleh seluruh rakyat khususnya mereka yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam. Sebagai tenaga kerja yang membanting tulang menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur kepada rakyat demi memastikan kelicinan kehidupan, pembangunan dan pentadbiran, sektor perkhidmatan awam dilihat perlu melakukan beberapa anjakan baru untuk menaiktarafkan kualiti perkhidmatan demi kebaikan bersama.


Antara teras dasar pembangunan modal insan yang telah dirancang ialah melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan supaya ianya berkualiti dan releven dengan keperluan semasa, memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi meningkatkan perpaduan negara, melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar bandar dan bandar, termasuk mempertingkatkan kualiti pengajaran, prasarana dan kemudahan serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar, membangunkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan pasaran, menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat, membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan, memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan, dan memperluaskan dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.


Mendepani cabaran kedewasaan bangsa dan agama yang berkembang dengan pesatnya, kepentingan untuk sesebuah negara mempunyai tenaga sumber manusia yang berintegriti dan punya modal insan yang unggul adalah amat penting. Hal ini kerana Malaysia dilihat daripada kaca mata dunia sebagai sebuah negara kecil yang cukup maju. Seharusnya pembangunan integriti dan modal insan bergerak seiring dengan pembangunan fizikal negara supaya prinsip ketamadunan terus tertegak tanpa mengurangi maknanya walau sedikit. Perkataan tamadun itu sendiri membawa maksud peradaban. Justeru, sesebuah bangsa itu hanya akan dikatakan bertamadun jika kejayaan lahiriah dan batiniah berjaya dikecapi bersama. Nilai-nilai peradaban juga perlulah jitu agar bangsa tidak terus dibelenggu kelampauan batasan sehingga akhirnya memakan diri. Jika nilai-nilai ini dipandang enteng, sudah pasti hasilnya ketamadunan bangsa tersebut hanya melengkapi keperluan lahiriah dan modal insan akan terus musnah dimamah penyakit-penyakit sosial dan nilai-nilai mazmumah yang hanya akan merugikan bangsa itu sendiri.


Perkara pokok yang perlu dititikberatkan ialah bagaimana untuk melahirkan modal insan yang menepati ciri-ciri modal insan unggul yang disebutkan dalam RMK9 yang lalu. Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul. Merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Dalam hal ini, sektor perkhidmatan awam perlulah memikirkan cara terbaik untuk menjana dan menyelamatkan kredibiliti rakyat agar ilmu pengetahuan, bakat, kemahiran, inovasi dan kreativiti mereka dapat terus dikembangkan. Adalah sangat tidak wajar jika kita terus membiarkan rakyat Malaysia terus dibuai angan-angan hedonisme yang semakin kukuh berpaksi di negara ini. Lihatlah bagaimana rancangan-rancangan berorientasikan hiburan kini bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Fikiran masyarakat kini telah menjadi jumud dan sempit ekoran daripada keterhadan pemikiran yang meletakkan arena hiburan sebagai satu-satunya wadah untuk mengukur kemampuan diri. Walhal, negara kini ketandusan tenaga kerja yang benar-benar berdisiplin, berpengetahuan tinggi, dan berdaya intelek untuk terus mencurahkan jasa. Masyarakat juga perlulah sedar akan tanggungjawab mereka untuk menguasai beberapa kemahiran penting seperti kemahiran membaca, mengira, menulis dan menganalisis, serta mampu mengedalikan kemudahan teknologi dan perkomputeran, bukannya membuang masa memikirkan hal-hal tidak perlu terutamanya hal-hal berkaitan budaya hiburan yang dilihat semakin melampau.


Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Alaq ayat satu hingga lima yang bermaksud “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Yang mengajarkan (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya,” ini cukup membuktikan kepentingan pembacaan dan penulisan dalam menjana perkembangan ilmu pengetahuan. Lihatlah bagaimana tokoh-tokoh ilmuan Islam dan sekular seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Plato dan Aristotle yang cukup dikenali melalui hasil penulisan mereka. Melalui pembelajaran dan menganalisis terjemahan kitab-kitab dan buku-buku ilmiah dari tokoh-tokoh ilmuan sebeginilah ilmu perubatan, matematik dan sejarah dapat berkembang dengan pesatnya. Malangnya kini hanya sejumlah kecil rakyat sahaja yang menyedari hakikat bahawa martabat insani hanya boleh diubah melalui ilmu pengetahuan. Hal ini tidak bermaksud rakyat hanya perlu memencilkan diri dalam ruang lingkup ilmu pengetahuan berkaitan kurikulum yang dipelajari di peringkat sekolah mahupun universiti sahaja, tetapi juga meliputi ilmu-ilmu sampingan seperti ilmu agama, pengetahuan am, ilmu kemahiran dan lain-lain lagi yang dilihat mampu memberi manfaat kepada kehidupan di dunia dan di akhirat.


Justeru, sektor perkhidmatan awam perlulah tampil ke hadapan dengan menyediakan beberapa pelan tindakan seperti Pelan Integriti Nasional demi menyemarakkan kecemerlangan negara terutamanya dalam pentadbiran melalui pembangunan sumber manusia. Sudah lupakah masyarakat Malaysia bahawa suatu masa dahulu negara pernah berdepan dengan kesusahan akibat krisis ekonomi yang begitu meruncing. Ekoran daripada hal itu, negara sebenarnya memerlukan kekuatan fizikal seperti pentadbiran yang kukuh, politik yang stabil, keamanan serta disiplin dan kekuatan rakyat itu sendiri. Oleh itu, sumber manusia perlu dibangunkan semula agar negara dapat menghasilkan tenaga kerja yang mampu melihat dan berfikir secara kreatif dan kritis, bertindak pantas, cepat faham dan berkebolehan dalam serba-serbi.


Jika ucapan dasar Perdana Menteri dalam pembentangan RMK9 yang lalu dihadam selumat-lumatnya, jelas menunjukkan bahawa pembangunan modal insan sebenarnya merupakan cabaran kepada rakyat Malaysia yang mahu berfikir. Hal ini kerana, keadaan persekitaran dan situasi di sekeliling kini sudah benar-benar berubah. Pemikiran dan tindak-tanduk rakyat kini telah dijajah oleh fahaman sekularisme dan nilai-nilai integriti rakyat kini berada di tahap yang sungguh membimbangkan. Lihatlah bagaimana nilai kemanusiaan yang kian luntur apabila kini kes-kes pembunuhan, penderaan seksual dan juga masalah sosial yang seringkali dilaporkan oleh pihak media. Oleh yang demikian, selain daripada kewujudan beberapan badan perkhidmatan awam seperti Institut Integriti Malaysia, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) dan lain-lain, sektor perkhidmatan awam bolehlah menubuhkan Institut Integriti Nasional yang bertujuan membina upaya modal insan untuk membanteras rasuah. Selain daripada itu, Pasukan Petugas Pemudah Cara Kerajaan (PEMUDAH) bolehlah diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian oleh jentera kerajaan. Matlamat kerajaan untuk menyediakan satu perkhidmatan awam kelas pertama diantaranya menerusi Komitmen Perkhidmatan Awam Malaysia 2008 juga perlulah diteruskan.


Justeru, dengan perangkaan dan pelan tindakan pembangunan modal insan yang rapi, adalah diharapkan segala yang dirancang mampu membuahkan hasil seterusnya berjaya memenuhi seruan Perdana Menteri yang mahukan rakyat menjadi insan yang lebih mulia, mempunyai norma-norma yang baik dan berintegriti. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud “..dan barang siapa mengerjakan amal kebajikan, baik lelaki mahupun perempuan sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dizalimi walau sedikit pun. Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang dengan ikhlas berserah diri kepada Allah, sedang dia mengerjakan kebaikan dan mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah telah memilih Ibrahim menjadi kesayangannya,”( An- Nisa’: 124-125), adalah menjadi satu kewajipan bagi manusia untuk melakukan kebaikan dan amal kebajikan.



p/s: tahniah buat Along tersayang atas pentauliahan sebagai Pegawai Tadbir Diplomat (PTD) dan kini bertugas di Kementerian Wilayah Persekutuan, di Putrajaya...

BANYAKKAN PROGRAM UNTUK REMAJA SEKOLAH

(UTUSAN MALAYSIA: Surat Pembaca ( 29/4/08)

Saya terpanggil untuk memberi respons berkaitan masalah merokok di kalangan pelajar perempuan yang semakin berleluasa. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Saudari Munirah Bahari, Naib Presiden Hal Ehwal Siswi, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia kerana berani membongkar kegiatan para remaja perempuan yang saya kira amatlah membimbangkan. Melihat polemik bilangan wanita yang semakin ramai berbanding lelaki, para remaja perempuan yang sedang meningkat dewasa perlulah diberi perhatian khusus terutama di kalangan pelajar sekolah tidak kira samada di dalam mahupun di luar bandar.

* pelajar perempuan kini lebih berani! lihat aksi mereka.. ( sekadar gambar hiasan)


Perkembangan tidak sihat ini sebenarnya bakal mengundang pelbagai penyakit sosial di masa akan datang. Jika kita membuat penilaian berdasarkan statistik yang telah dikeluarkan, saya yakin pasti ramai di antara para guru dan ibu bapa yang sedikit terkesan barangkali kerana khuatir pelajar dan anak mereka turut terlibat sama. Di sini, saya juga ingin menyokong seratus peratus cadangan Saudari Munirah yang berharap supaya Kelab Nafas Baru dapat ditubuhkan di peringkat sekolah. Kelab-kelab berorientasikan seperti Pembimbing Rakan Sebaya ini sebenarnya mampu membantu pelajar-pelajar bermasalah yang sekaligus dapat berfungsi sebagai mata dan telinga pihak sekolah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru, PIBG juga haruslah membanyakkan perbincangan yang menyentuh aspek pembangunan insan di kalangan pelajar dan memikirkan penganjuran program-program yang mampu memberi kesedaran kepada golongan remaja khususnya remaja perempuan, bukannya tertumpu kepada pembangunan lahiriah sekolah sahaja.


*para pelajar perlu dideahkan dengan aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah..

Justeru, usaha murni pihak Majlis HEWI PKPIM menawarkan khidmat masyarakat mereka untuk turun padang membantu pihak sekolah dan ibu bapa dalam menangani masalah ini haruslah dipuji dan pihak Kementerian Pelajaran sebagai pihak bertanggungjawab perlulah lebih peka mengenai isu ini. Semoga, remaja perempuan yang bakal dibentuk melalui usaha ini nanti akan berjaya menjadi insan yang lebih berkualiti dan berbudi pekerti.

PRS Sekolah, ( Nurul Syahirah bt Mohd Jamel)

Thursday, April 24, 2008

Rahmat di Sebalik Ujian



Rahmat di Sebalik Ujian….

Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari….


Begitulah kitaran kehidupan. Kadangkala kita seringkali mengharapkan kehidupan kita dilimpahi cahaya kegembiraan buat selama-lamanya, yang tanpa kita ketahui Allah s.w.t telah pun merancang rentetan kehidupan kita sehinggalah ke saat ajal datang bertamu.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)


“..Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan hari kemudian, padahal mereka itu bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka tidak menipu (orang lain) selain diri mereka sendiri, tetapi mereka tidak sedar..” (Al-Baqarah; 8-9).


Mengutip kembali sisa-sisa tinggalan sejarah agung dari ceritera cinta insan termulia, Muhammad bin Abdullah, yakni Rasulullah s.a.w, mampu membawa kita kepada pengkisahan sebuah kehidupan yang sarat dengan ujian dan dugaan. Subhanallah, betapa sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim itu milik Khaliq, atas nikmat terutusnya sebuah qudwah hasanah dan merupakan rahmat buat seluruh alam. Sementelah, semenjak dari dalam kandungan lagi, baginda Rasulullah s.a.w telah kehilangan seorang bapa yang dikasihi. Apatah lagi saat awal peringkat kanak-kanak dan remaja, baginda telah melalui kehidupan yang cukup sukar malah tugas mencari rezeki sudahpun tergalas di bahu baginda. Belum lagi ditambah dengan bebanan saat baginda menerima wahyu pertama dan seterusnya diamanahkan oleh Allah s.w.t supaya menyebarkan Islam. Pelbagai tentangan hebat terpaksa baginda hadapi, apatah lagi yang menentang itu merupakan kaum kerabat baginda sendiri. Kepada Allah jualah, tempat baginda menagih kasih sayang. Malam baginda senantiasa dipenuhi dengan rintihan berpanjangan ke-hadrat Allah s.w.t. Tidak pernah walau sekalipun baginda mengeluh dan menyesali dengan segala ujian yang diberikan. Betapa sucinya hati milik kekasih Allah itu!

Terlalu banyak rasanya untuk dituliskan di sini mengenai mehnah dan tribulasi yang terpaksa dihadapi oleh baginda. Terkenang pula saat-saat kewafatan baginda, pelbagai nasihat dan panduan penuh hikmah yang ditinggalkan buat tatapan dan rujukan ummat tercinta. Kalaulah Rasulullah masih ada.... ya, kalaulah baginda masih ada... Namun hakikat yang perlu kita terima ialah baginda sudah tiada lagi di sisi kita. Hanya petunjuk Al-Quran dan Hadith sahaja yang mampu kita dokong untuk membuktikan cinta tulus kita kepada baginda. Kadang-kadang, saat diri ini dirundung sedih yang membungkam, saat diri ini sudah tepu dek nasihat sahabat-sahabat, barulah terfikir untuk beruzlah sebentar, mengenang semula kepayahan baginda yang sememangnya merupakan motivasi terbaik untuk memujuk diri selain daripada membanyakkan berzikir dan membaca Al-Quran. Sedangkan kekasih Allah itu juga diuji dengan sebegitu hebat, apatah lagi kita, hamba yang dhaif lagi hina ini.


Namun untuk hanya berkata-kata memang mudah, tetapi diri yang menanggung beban pasti lebih payah. Menelan kepahitan kehidupan menuntut kekuatan dalaman yang cukup tinggi. Namun, jangan mudah meludah kepahitan dan menelan kemanisan sedang kita sendiri tidak mengetahui barangkali kepahitan itu sebenarnya yang mampu mendidik kita menjadi insan yang lebih mulia. Juga barangkali kemanisan yang seringkali kita rasakan indah dan nikmat sebenarnya akan lebih banyak mendatangkan kemudharatan buat diri. Sesungguhnya, manusia itu lebih mengingati Tuhannya saat dia dihimpit dengan kesusahan berbanding saat dia dilimpahi kesenangan. Oleh kerana itu, kita diajar oleh baginda rasul s.a.w supaya mengingati Allah di kala kesenangan, nescaya Allah akan mengingati kita di kala kita dalam kesusahan.


Sesungguhnya kehidupan ini adalah suatu perjuangan yang semestinya menuntut setinggi-tinggi pengorbanan. Bayangkan jika kehidupan yang anda miliki hanya dihiasi dengan warna ungu semata-mata, segala-galanya UNGU! Langit, pokok, bangunan dan setiap sesuatu di sekeliling anda berwarna UNGU, pasti keadaannya cukup-cukup membosankan! Begitu juga dengan kehidupan yang sedang kita lalui. Bersyukurlah ke hadrat Allah s.w.t kerana menjadikan ujian, dugaan, hilai tawa, tangisan dan air mata sebagai warna-warna kehidupan kita. Terkadang awan suram, kelam hitam menyelubungi segenap jiwa dan adakalanya semangat merah membara, riang tawa yang menjingga mewarnai pengembaraan permusafiran sehingga keceriaan jelas terpancar di wajah. Hakikatnya, semua itu datang dari sifat Ar-rahman dan Ar-rahim milik Khaliq.


Mudah-mudahan, selepas ini kita tidak mudah melatah dengan segala macam bentuk ujian yang diberikan oleh Allah kerana yakinlah bahawa ujian itu hadir untuk menguji tahap keimanan dan kesabaran kita. Beruntunglah bagi mereka yang bersabar, redha dan berlapang dada dengan kesulitan yang pastinya menyesakkan, kerana di sana tersergam indah syurga milik As-sobirin dan Al-mukminin...

Friday, April 11, 2008

Sokong Kempen Selamatkan Sufiah

Bagai terhantuk ditimpa tangga, begitulah keadaan yang boleh digambarkan terhadap pelajar genius Sufiah Yusof yang suatu masa dulu pernah menggemparkan arena pendidikan dunia kerana berjaya memasuki Universiti Oxford pada usia semuda 13 tahun. Setelah beberapa pihak tampil memberi reaksi dan pendapat, saya bersependapat bahawa gadis muda ini perlu diberi perlindungan dan bimbingan semula. Tindakan kerajaan dan beberapa NGO dalam melancarkan kempen Selamatkan Sufiah dilihat sebagai tindakan yang amat wajar.

Merujuk kepada rentetan peristiwa hitam yang melanda kehidupan Sufiah, dapatlah disimpulkan bahawa Sufiah sememangnya menjadi mangsa keadaaan kerapuhan institusi keluarganya sendiri. Namun, berbekalkan keupayaan IQ yang tinggi, Sufiah sebenarnya dilihat mampu untuk menyelesaikan kemelut yang melanda dirinya, tetapi beliau cenderung untuk memilih jalan mudah yang pasti sedang memakan dirinya. Gadis hebat ini juga dipercayai telah dibesarkan dalam suasana penuh kelam dan suram sehingga Sufiah akhirnya memberontak dan melarikan diri dari universiti tersohor itu. Beliau yang juga pernah berkahwin dengan Jonathan Marshal yang kemudiannya memeluk Islam bagaimanapun mengambil keputusan untuk bercerai yang dikatakan berpunca daripada masalah kendiri Sufiah yang dilihat semakin serius.

Saya melihat masalah yang menimpa diri Sufiah ini seharusnya menjadi masalah seluruh umat Islam di Malaysia, bukan hanya melibatkan pihak tertentu sahaja. Sudah pasti, kita perlu memanjatkan doa ke hadrat Illahi agar mengembalikan hati Sufiah kepada ajaran Islam yang sebenar-benarnya. Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk kita turut sama membantu dalam memastikan kehidupan Sufiah tidak lagi dibelenggu dosa dan kekeliruan.

Saya juga mencadangkan agar pihak berwajib mengambil tindakan segera dengan membawa pulang Sufiah ke Malaysia dan memberinya bimbingan di sini ataupun meminta kerjasama beberapa persatuan (NGO) Islam di London supaya memantau keadaan Sufiah dari semasa ke semasa serta membantu meringankan beban yang dialaminya. Renung-renungkan juga hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud; “seseorang itu tidak akan bergelar Muslim selagi dia tidak mengambil berat akan keadaan saudara Muslimnya yang lain,”

Justeru, umat Islam kini seharusnya mengambil iktibar daripada tragedi yang menimpa Sufiah dengan cara mempersiap diri dengan benteng iman dan taqwa agar rasa kehambaan dan takutkan Allah terus menyubur di dalam jiwa. Penderitaan yang dialami Sufiah dan kemelut yang melanda keluarganya sekaligus membuktikan bahawa ilmu duniawi bukanlah kayu ukur sebenar kejayaan seseorang insan, tetapi asas aqidah yang jitu itulah yang mampu melahirkan mukmin dan muttaqin yang alim (berilmu) lagi berjiwa rabbani!

NURUL SYAHIRAH BT MOHD JAMEL
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

HEWI Anjur Bengkel Keselamatan Remaja

HEWI Anjur Bengkel Khas Tingkatkan Kesedaran Keselamatan Remaja dan Kanak-kanak

Sudah menjadi lumrah pada peringkat awal remaja, mereka ini sering menuntut agar diberi sedikit kelonggaran dan kebebasan dalam kehidupan. Namun, kebebasan yang diberikan bukan bermakna ibu-bapa harus bersikap lepas tangan, tetapi sikap berhati-hati perlulah dipupuk agar kecuaian yang mampu mengakibatkan perkara yang tidak diingini berlaku dapat dielakkan.

Berdasarkan kekerapan kes-kes penculikan, gangguan seksual, pembuangan bayi dan bunuh yang melibatkan kanak-kanak dan remaja mutakhir ini, keadaan yang berlaku di sekeliling kita sungguh merisaukan dan hal ini tidak sepatutnya dipandang ringan. Terbaru, Allahyarhamah Nurul Anira Che Rosik yang juga telah disahkan mati dibunuh, adalah mangsa perbuatan keji oleh manusia yang tidak bertamadun. Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan yang sungguh sedih dan memilukan. Tidak dilupakan juga kes kehilangan remaja berusia sebelas tahun, Muhammad Asmawi Jalaludin yang dipercayai telah diculik pada 9 Mac yang lalu menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak berikutan rentetan peristiwa culik Allahyarhamah Nurin Jazlin yang jasadnya ditemui dalam keadaan kaku tidak bernyawa dan kehilangan Adik Sharlinie yang masih belum ditemui sehingga kini.

Menyedari hakikat bahawa isu keganasan terhadap kanak-kanak dan remaja memerlukan pembelaan yang berterusan, masyarakat perlulah terus menerus berpatisipasi dalam menangani isu ini bersama-sama dengan pihak berkuasa. Namun begitu, isu ini dilupakan seketika apabila laporan keganasan terhadap remaja dan kanak-kanak tidak lagi tersiar di dada-dada akhbar. Sebaliknya isu ini akan menjadi panas semula apabila ada mangsa terbaru dilaporkan. Di sini, dapatlah disimpulkan bahawa media juga perlulah memainkan peranan dengan menyiarkan artikel berkaitan agar masyarakat terus sedar dan tidak leka dengan keadaan persekitaran yang sungguh membahayakan ini.

Justeru, Majlis Hal Ehwal Siswi,(HEWI) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan sokongan penuh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menganjurkan Bengkel Keselamatan Diri Remaja (BESTARI) 2008, pada Mei ini sebagai satu langkah dan usaha untuk meningkatkan lagi kesedaran dalam aspek penjagaan keselamatan di kalangan remaja. Hal ini kerana, isu yang melibatkan keselamatan diri remaja merupakan isu yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

HEWI PKPIM berpendapat bahawa isu ini memerlukan usaha dan kesedaran bermula daripada remaja sendiri dalam menyiapkan diri dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Satu usaha yang bersepadu dan menyeluruh perlu diwujudkan dalam memberi kemahiran dan pengetahuan tentang kaedah untuk mencegah diri daripada menjadi mangsa keganasan dan penganjuran bengkel sebegini dilihat sebagai wadah terbaik dalam menyalurkan kefahaman mengenai aspek keselamatan terhadap golongan remaja. Selain daripada itu, pihak polis juga haruslah menggandakan usahasama dengan masyarakat setempat dan juga pihak sekolah agar keharmonian dan ketenteraman orang awam dapat ditingkatkan semula.


NURUL SYAHIRAH BT MOHD JAMEL
Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI),
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, (PKPIM)

Tuesday, April 8, 2008

Cikgu Sidek Baba yang dekat Di Hati!

Cikgu Sidek Baba yang Dekat di Hati

Tanggal 3 April 2008 bersamaan 27 Rabiulawal 1429 Hijrah yang lalu, alhamdulillah dengan izin Allah saya berkesempatan untuk bersama-sama beberapa saf kepimpinan dan exco PKPIM Pusat dalam satu usrah ziarah bertempat di kediaman tokoh akademik yang cukup saya sanjungi; Prof. Dr. Sidek Baba, pensyarah di UIAM yang juga bekas Dekan Pusat Asasi UIAM. Melewati perjalanan yang agak ‘getir’ untuk membolehkan saya ikut sama menyertai usrah ini, jutaan syukur saya panjatkan ke hadrat Illahi kerana kasih dan sayangNya, saya dipilih antara berjuta untuk mendekati tokoh yang lebih mesra dengan panggilan ‘Cikgu Sidek’ ini.

Menanti debaran untuk meminta keizinan daripada ayah dan ibu supaya membenarkan saya untuk mengikuti usrah ini membuatkan saya sedikit gelisah. Di dalam hati, tidak putus-putus doa yang saya panjatkan agar Allah mengizinkan saya berjumpa dengan Cikgu Sidek. Bukannya tidak pernah, malah saya juga telahpun diberi kesempatan untuk berkunjung ke rumahnya pada September tahun lalu bersama beberapa orang sahabat pimpinan PKPIM PAUIAM (Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Baru-baru ini juga, PAUIAM telah diberi peluang untuk menonton siaran langsung rancangan Al-Kuliyyah (beliau diundang menjadi panel) yang bertempat di TV3 di Sri Pentas, Bandar Utama. Tetapi, keadaan kali ini sedikit berlainan kerana saya benar-benar mengharapkan kekuatan motivasi setelah menjalani kehidupan yang sedikit ‘terumbang-ambing’semenjak cuti semester bermula. Justeru, setelah dipelawa untuk megikuti usrah ini, saya tidak mampu untuk menipu diri sendiri dengan berkata ‘TIDAK MAHU’.

Akhirnya, alhamdulillah, saya berjaya memperoleh keizinan. Berbekalkan wang saku sebanyak RM20 yang dipinjam daripada adinda tercinta, tepat jam 6.10 petang, saya memulakan perjalanan ke Kompleks Anjung Rahmat yang terletak kira-kira 15 km dari rumah dengan menaiki teksi. Saya juga telah diingatkan oleh Saudara Muntaqim (Setiausaha Agung PKPIM) dan Saudari Mariati (Pen. Setiausaha 1 PKPIM) supaya tiba di sana pada jam 6.30 petang. Sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, saya, Saudari Mariati, Saudari Liza, Saudara Muntaqim dan Saudara Hilmi (Presiden PKPIM) memulakan perjalanan ke teratak indah milik Cikgu Sidek dengan menaiki kereta Saudara Hilmi dan dipandu oleh beliau sendiri manakala beberapa exco yang lain menaiki motosikal.

Perjalanan yang mengambil masa kira-kira sepuluh minit saya rasakan cukup panjang. Barangkali kerana masing-masing belum bersolat maghrib. Hal ini kerana kami telah merancang untuk bersolat jemaah bersama Cikgu Sidek sekeluarga. Mujurlah sepanjang perjalanan, kami diperdengar oleh corong radio bacaan ayat-ayat suci Surah Yaasin yang dipetik daripada kitab suci Al-Quranul Karim. Sedikit sebanyak kegusaran kerana belum bersolat sedikit terubat. Alhamdulillah, kami selamat sampai dan sebaik sahaja menjejakkan kaki ke rumah yang tersergam indah dan jauh dari hiruk-pikuk kota itu, saya cukup terpegun melihat keindahan susun atur perabotnya yang kelihatan sedikit berubah namun cukup rapi dan punya keunikan yang tersendiri. Memandangkan Cikgu Sidek dan keluarga telahpun bersolat maghrib, (mungkin kerana menunggu kehadiran kami yang tidak kunjung tiba), kami lantas bersolat jemaah yang diimami oleh Saudara Hilmi sendiri. Usai sahaja bersolat maghrib, kami dipelawa untuk menjamah hidangan makan malam yang cukup lazat dan menyelerakan. Kira-kira lima belas minit kemudian, kami memulakan usrah.

Usrah dimulakan dengan sesi ta’aruf oleh semua yang hadir pada malam itu. Selain daripada Cikgu Sidek, usrah ini turut disertai oleh anak perempuan beliau, Nurul Izzah bt Sidek dan suaminya. Cikgu Sidek membuka tirai sesi perbincangan pada malam itu dengan mengajak kami berfikir akan perbezaan dakwah dan politik. Menurut beliau, dakwah merupakan medan bagi menyediakan manusia yang berkualiti dan mempunyai modal insan berprestasi tinggi, manakala politik pula adalah medan di mana kepakaran yang telah disediakan dalam medan dakwah diguna pakai. Oleh sebab itu, beliau menyatakan pendapat peribadi beliau yang kurang bersetuju untuk mencampuradukkan dakwah dan politik kerana kedua-duanya merupakan cabang kehidupan yang berbeza-beza.Tambah beliau lagi, perkembangan dakwah dan politik dalam kehidupan manusia telah berjaya menghasilkan bangsa yang bertamadun. Hal ini kerana, tamadun yang juga membawa maksud peradaban, tidak akan berjaya dibentuk andai manusia tidak bersiap sedia menghadapi kehidupan dengan nilai-nilai kemanusiaan tanpa kehadiran ‘madrasah’ dakwah dan kepakaran yang ada pada setiap manusia itu tidak diguna pakai tanpa keterlibatan lapangan ‘politik’.

Selain daripada itu, beliau juga turut mengambil kira pandangan tokoh ilmuwan Islam, Ibnu Khaldun yang menyatakan sesuatu tamadun itu akan melalui empat tahap; kelahiran, perkembangan, kecemerlangan dan terakhir, kejatuhan. Perkembangan tamadun juga telah berjaya menghasilkan kemajuan dari segi sahsiah dan ketinggian ilmu. Maka tidak hairanlah dunia hari ini telah berjaya menghasilkan ramai golongan intelektual dan pelbagai kemajuan telah berjaya dicapai. Tetapi, menurut beliau lagi, umat haruslah sedar bahawa tidak mustahil tamadun yang telah berjaya dibina ini mengalami kejatuhan. Hal ini kerana dunia hari ini telah menunjukkan pelbagai kemunduran terutamanya dari sudut sahsiah dan peribadi. Modal insan berkredibiliti yang sepatutnya dicapai kini dilihat semakin rosak dan amat menggusarkan. Umat manusia seolah-olah telah kembali ke zaman jahiliah malah lebih teruk daripada itu! Lihat sahaja di dada-dada akhbar hari ini, kes pembuangan bayi, rasuah, bunuh membunuh, rogol, pelacuran, dan sebagainya yang rata-ratanya dilakukan oleh umat Islam telah membuktikan bagaimana nilai-nilai kemanusiaan umat hari ini berada pada tahap terendah. Sekali lagi, Cikgu Sidek telah menegaskan kepada kami bahawa dalam hal ini, setiap insan yang sedar akan tanggungjawab mereka sebagai da’ie haruslah bijak memainkan peranan masing-masing. Suka sekali beliau mengungkapkan… “ ingatlah, pendakwah ini ibarat air dan asap. Di mana ada ruang, di situlah kita, berbakti dan terus mencurah jasa…”

Konsep murabbi yang menjadi pegangan beliau sehingga hari ini telah mambawa saya untuk berfikir dengan lebih dalam mengenai kepentingan dakwah itu sendiri. Seorang murabbi perlulah mempunyai sifat kasih sayang yang meliputi seluruh jiwanya. Mendekati dan memahami sesorang mad’u bukanlah perkara yang mudah, malah menuntut pengorbanan dan tahap kesabaran yang tinggi. Hal ini kerana, mad’u yang bakal diajak berbuat baik dan meninggalkan kemungkaran datang daripada pelbagai latar belakang kehidupan yang berbeza-beza. Tahap pemikiran mereka juga tidak sama. Oleh itu, dalam perjuangan menyampaikan risalah nubuwwah ini, murabbi perlulah belajar selok-belok bagaimana caranya untuk mengetuk pintu hati dan minda mad’u, bukannya dengan memusuhi dan melabel mereka dengan gelaran yang tidak elok. Tugas murabbi itu hanyalah menyampaikan kebenaran yang dibawa oleh baginda Rasul s.a.w dan memberi peringatan Allah s.w.t dan haruslah diingati hidayah itu milik mutlak Allah s.w.t. Beliau juga berpesan agar mengahayati mafhum surah Al-Asr. Di dalam surah itu, Allah s.w.t telah memberi khabar bahawa untuk menyampaikan kebenaran perlulah ada kesabaran.

Menyentuh sedikit tentang arena politik negara dan antarabangsa serta mengulas tentang perihal ‘tsunami’ yang melanda PRU12 baru-baru ini, beliau menyatakan pendapat beliau yang tersendiri dan turut memberi pengharapan agar mana-mana kerajaan negeri mahupun peringkat pusat sendiri haruslah menilai semuala kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh amanah. Menutupi tirai usrah malam itu dengan menjawab beberapa soalan daripada kami, Cikgu Sidek juga berharap agar tradisi usrah ziarah ini dapat terus dikekalkan. Selepas menikmati sedikit hidangan ringkas pada malam itu, kami masing-masing bergerak meninggalkan perkarangan kediaman Cikgu Sidek kira-kira jam 12 tengah malam dengan ilmu yang penuh di dada. Sebelum menaiki kereta, sempat juga saya berpesan kepada Cikgu Sidek agar mendoakan kejayaan saya.

“ Nak, belajar sungguh-sungguh ya? Ya,ya, insyaAllah Cikgu akan sentiasa doakan kamu. Semuanya sekali Cikgu doakan..InsyaAllah. kalau ada masa dan masalah apa-apa, jemputlah datang lagi ke rumah Cikgu, ya? Email pun boleh.. Cikgu selalu juga berhubungan dengan pelajar Cikgu melalui email… Selamat jalan ..Assalamualaikum..” Sepanjang perjalanan pulang, masih terngiang-ngiang di telinga saya harapan dan doa yang diberikan oleh beliau kepada saya. InsyaAllah, Cikgu Sidek, saya akan berjaya! Amin..

Saturday, April 5, 2008

AUKU oh AUKU!!!

AUKU : BUKAN ALASAN?

Hasrat Menteri Pengajian Tinggi,Datuk Seri Mohammed Khalid Nordin untuk meminda dan mengkaji semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) nampaknya benar-benar membuka mata ramai pihak untuk terus memberikan respons dan menyuarakan pendapat masing-masing secara positif. Cukup jelas untuk diperlihat di sini bahawa mahasiswa merupakan golongan yang mampu memainkan peranan dalam pembinaan sebuah negara yang lebih harmoni dan pembangunan modal insan yang murni.

Justeru, saya menyambut baik hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk meminda akta tersebut.

Bukan isu politik yang cuba diketengahkan ataupun penderitaan ketidakbebasan suasana kampus seperti yang diutarakan oleh saudara Khairuddin Mohd Zain dalam pendapatnya, tetapi isu kepimpinan dan keterlibatan mahasiswa dalam pembinaan negara.
Sebagai individu yang pernah melalui permusafiran insan bergelar mahasiswa, saya yakin penulis mempunyai pendapat yang tersendiri, namun situasi yang cuba digambarkan oleh penulis sama sekali tidak menepati suasana sebenar yang berlaku dalam corak rentak kehidupan mahasiswa macapada ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang menganggap isu yang cuba diketengahkan berkepentingan politik semata-mata. Sebagai organisasi yang mengamalkan prinsip non-partisan, saya percaya PKPIM berfungsi sebagai mata dan telinga masyarakat terutamanya warga kampus.

Tertarik dengan persoalan yang cuba dibangkitkan oleh penulis mengenai Seksyen 15 dalam AUKU- Pelajar atau Pertubuhan, Badan, atau Kumpulan pelajar dilarang bersekutu dengan mana-mana persatuan dan sebagainya, kecuali sebagaimana diperuntukkan di bawah perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor-, penulis juga bertanya kembali adakah dengan tidak berpolitik, tidak terlibat dalam mana-mana persatuan menjadikan mahasiswa serba tidak berkemampuan menyatakan apa jua pandangan dan menjadikan mahasiwa semakin beku dan lesu seperti apa yang kita dapat lihat hari ini?. Hal ini demikian kerana di bawah seksyen 15 AUKU juga, telah melarang mahasiswa untuk bersuara dan memberi pendapat atau menunjukkan rasa simpati terhadap mana-mana persatuan, organisasi, kumpulan dan sebagainya. Perkara ini sekaligus mengehadkan corak pemikiran mahasiswa sehingga lahirlah mahasiswa tidak matang, lesu dan beku.

Saya ingin sekali merungkai persoalan ini dengan membawa umum untuk menilai kembali apakah perbezaan yang terdapat pada individu yang aktif berpersatuan dan individu yang mengamalkan kehidupan meliputi ruang lingkup ciptaannya sendiri, tanpa memikirkan tanggungjawab sosial yang perlu digarap. Persoalan kedua yang diutarakan oleh penulis pula meliputi aspek perbezaan antara keterlibatan dan menyuarakan pendapat. Penulis juga telah menyatakan bahawa untuk menyuarakan pendapat tidak memerlukan keterlibatan sebagai prasyarat.

Dalam hal ini, saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa soal mengutarakan pendapat sangat-sangat memerlukan penglibatan sama ada secara total mahupun secara tidak langsung. Adakah penulis menyuarakan pendapat beliau yang bertajuk “AUKU Bukan Alasan” tanpa mengambil kira penglibatan penulis sebagai mahasiwa suatu masa dulu? Tanpa penglibatan, bagaimana mahu menyuarakan pendapat walhal kita tidak merasai situasi yang benar-benar berlaku?

Sememangnya masih wujud keterbatasan membabitkan akta ini. Adalah diakui mahasiswa mampu menyuarakan pendapat melalui laman sesawang dan blog, namun adakah dengan hanya mengutarakan pendapat tanpa apa-apa tindakan mampu meyelesaikan kemelut yang melanda ummat? Seksyen 15 sememangnya menjadi tidak relevan kerana keterbatasan hak untuk keterlibatan dalam usaha untuk menzahirkan pendapat yang diutarakan.

Tidak dapat dinafikan kemelut yang melanda mahasiswa sehingga membawa kearah lambakan mahasiwa lesu dan beku berpunca daripada sikap mahasiwa sendiri. Tetapi, apakah faktor yang menyebabkan mahasiswa mengambil tindakan mendiamkan diri sebegini? Saya percaya PKPIM sebelum mengetengahkan isu ini telah melakukan pengkajian secara menyeluruh dan didapati rata-rata mahasiswa tidak tahan dengan karenah birokrasi pihak universiti, dan aktiviti-aktiviti peringkat universiti yang hanya cenderung memilih pelajar cemerlang akademik untuk terlibat sama. Apa pula nasib sang ‘sederhana’? Hanya melihat teman-teman cemerlang akademik turun ke lapangan kancah kehidupan sebenar masyarakat? Lantas mereka ini mengambil tindakan berdiam diri dan hidup dalam dunia ciptaan mereka sendiri. Maka lahirlah kecenderungan untuk mereka ini memilih persatuan-persatuan di luar yang mampu memberikan input kepada mereka untuk mengenal pasti potensi diri lalu mengembangkan sayap mereka sebagai agen penyatu ummah. Tetapi, atas kekangan yang terdapat dalam AUKU, mahasiswa menjadi takut dan terbayang-bayangkan hukuman yang bakal dikenakan oleh pihak universiti lebih –lebih lagi persatuan yang menjadikan agama Islam, dakwah dan tarbiyyah sebagai matlamat utama. Persatuan-persatuan sebegini, seringkali dianggap radikal sehingga membawa kepada Islamophobia di kalangan mahasiswa sendiri.

Jika budi bicara pimpinan universiti, dan Naib Canselor yang ingin diketengahkan, adalah lebih baik jika autonomi kepada mereka ini diberi melalui pemilihan tokoh-tokoh akademik yang seimbang pemikiran dari pelbagai sudut yang lebih global dan terbuka tanpa melanggar batasan syari’at yang telah digariskan Islam. Tokoh-tokoh sebeginilah yang seharusnya di angkat sebagai pimpinan pentadbiran universiti.

Hal ini kerana, rata-rata aktiviti yang dianjurkan universiti masih disekat dengan fahaman yang membawa kepada keterhadan pemikiran. Sering sahaja acara-acara kebudayaan, pementasan drama cinta, pertunjukan fesyen dan lain-lain aktiviti yang berteraskan hedonisme sedang giat bercambah. Aktiviti pengucapan umum dan aktiviti sosial melibatkan lapangan sebenar masyarakat adalah tersangat kurang. Lihat sahaja berapa kali program baktisiswa dijalankan dalam masa setahun? Adapun pula percakapan umum hanya dipraktikkan ketika pembentangan di dalam tutorial mahupun kelas sahaja.

Walhal, program seperti baktisiswa sangat menguntungkan masyarakatdan mahasiswa sendiri serta berupaya memupuk kesedaran mahasiswa bahawa betapa mereka diperlukan oleh masyarakat. Sedarlah bahawa lapangan sebenar kehidupan ialah apabila anda berada di tengah-tengah kelompok masyarakat dan di situlah cabaran episod baru kehidupan bermula. Saya yakin bahawa kini rakyat telah mampu menilai dengan bijak akan tahap pembangunan ummah yang semakin merosot dan kejatuhan nilai modal insan yang berwibawa yang mampu mengekalkan kesedaran diri sebagai hamba Allah dan khalifah Allah dalam mentadbir alam ini. Jadi, adakah dengan meletakkan diri di bawah pengawalan persatuan-persatuan lesu yang digerakkan oleh ahli-ahli yang kian membeku berupaya menghasilkan mahasiswa yang mempunyai idealisme perjuangan? Kehidupan ini adalah medan perjuangan. Justeru terdapat pelbagai pengkalan yang menawarkan pilihan kepada mahasiswa untuk membantu mereka keluar dari kepompong fahaman dan pemikiran yang terhad ini. Di sinilah, badan-badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan belia,jemaah-jemaah Islam dapat memainkan peranan mereka kearah pembinaan negara.

Penerimaan hakikat bahawa mahasiswa sedang hidup di era persaingan yang cukup hebat sehingga membawa kepada mahasiswa ‘cukup makan, asal lulus’ sudah tidak membawa apa-apa nilai adalah sangat tidak rasional. Adakah golongan sebegini sudah dinafikan hak mereka untuk turut sama terlibat dalam pembangunan negara? Sedangkan kita sepatutnya merenungi fitrah kejadian umat manusia yang dicipta punya kelebihan dan kelemahan tersendiri. Jika ummat bersikap bias terhadap golongan mahasiswa yang mungkin tercicir ketika menuntut ilmu sebagai sampah masyarakat, sebagai golongan yang tidak mempunyai apa-apa nilai, maka tidak hairanlah kini gejala sosial yang melanda masyarakat khususnya kaum Melayu semakin berleluasa.

Tanggapan bahawa perkara pokok bagi seorang mahasiswa adalah kepada kecemerlangan akademik semata-mata ternyata menyimpang jauh daripada sebab sebenar umat manusia dituntut supaya menuntut ilmu. Bukan semua orang yang berpendidikan tinggi, yang cemerlang pengajiannya di menara gading mulia akhlaknya, bijaksana pemikirannya dan muluk kalbunya. Ada segelintir golongan bijak pandai, berjawatan tinggi hasil daripada kecemerlangan ketika menuntut di universiti, bergaji besar, tetapi kecil budi pekerti, kecil adab tutur bahasa, kecil etika peribadi, kecil murni hati, dan kecil serba-serbi nilai-nilai luhur dalam kehidupan. Yang bersarang dalam jiwa adalah sifat tamak,angkuh,takbur, dengki,khianat dan bermacam-macam lagi sifat sifat negatif yang tidak seharusnya terdapat dalam diri mereka. Kampus sebenarnya mampu menjadi wajah peradaban di mana suasana pembelajaran di kampus seharusnya lebih seimbang agar mampu membentuk peribadi menjadi insan kamil, merawat hati menjadi luhur nurani, menjernih akal menjadi tenang fakir dan memintal azam menjadi iman taqwa, bukannya pusat keuntungan semata-mata. Penyatuan idea antara kelompok akademik dan korporat dilihat tidak menguntungkan mahasiswa sebaliknya lebih bersifat kepentingan peribadi.

Tidak dapat dinafikan kesedaran awal perlu dipupuk dari dalam diri mahasiswa itu sendiri, tetapi di sini dapatlah kita mengambil kira peranan persatuan-persatuan yang melibatkan kepemudaan dalam menyuntik semangat mahasiswa supaya sedar akan tanggungjawab mereka. Melalui kehidupan berpersatuan, apatah dikelilingi sokongan daripada rakan-rakan yang beridealisme perjuangan, beraktivisme dalam lapangan masyarakat dan punya spritualisme terhadap agama dan Tuhan yang Esa sememangnya mampu membina karakter dan kemampuan diri. Seperi firman Allah dalam surah As-Saff, ayat empat yang bermaksud, “ Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang pada jalanNya dengan barisan yang teratur rapi seakan-akan mereka satu bangunan yang kukuh..”

Justeru, samada AUKU alasan ataupun bukan alasan bukanlah perkara pokok yang ingin kita ambil kira sebagai penyebab utama kemunduran generasi muda. Tetapi, hakikatnya, AUKU turut sama menyumbang kepada permasalahan ini. Jadi, mengapa tidak kita sokong jika langkah yang mungkin dikira kecil ataupun isu ‘gula-gula’ yang dianggap sesetengah pihak ini mampu membawa kepada perubahan yang lebih besar sehingga dengan izin Allah akan berjaya menghasilkan mahasiswa rabbani dan modal insan bersifat madani? Sekali lagi, saya ingin terus menggesa agar AUKU dikaji dan dipinda semula bagi melahirkan mahasiswa yang berilmu,berkepimpinan, bersahsiah tinggi, berperibadi mulia, dan seterusnya melahirkan generasi mahasiswa yang akan turut sama membantu membina negara dengan menjadi mata dan telinga masyarakat.

Nurul Syahirah bt Mohd Jamel
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, PKPIM

Wahai Artis Tempatan!

Adalah tidak menjadi kesalahan andai insan bergelar penghibur mahu menghiburkan hati peminat yang selama ini telah lama menyokong kerjaya seni mereka. Namun untuk membenarkan para peminat mencium pipi dan duduk di atas paha bukanlah budaya orang Melayu malah melanggar batasan syara’ yang telah ditetapkan oleh Islam.

Mengulas kenyataan penyanyi terkenal, Anuar Zain dalam kenyataannya pada pihak media minggu lalu, penyanyi itu telah memberi lampu hijau kepada para peminatnya tidak kira samada lelaki ataupun perempuan untuk mencium pipi beliau mahupun untuk duduk dia atas paha milik penyanyi lelaki itu pada persembahan istimewanya nanti. Kekeliruan berlaku kerana mengapa persembahan yang bakal dilakukan oleh Anuar Zain diluluskan oleh pihak berwajib? Mungkin para peminat Anuar Zain saat membaca artikel ini berasa panas hati, namun atas dasar tanggungjawab saudara sesama Islam dan ke arah pembangunan modal insan berkualiti, saya berpendapat persembahan Anuar Zain haruslah disekat jika penyanyi itu berkeras mahu meneruskan agendanya yang sungguh memalukan itu.

Jika suatu masa dulu, arena hiburan tanah air dikejutkan dengan adegan berani penyanyi Faizal Tahir membuka bajunya di khalayak ramai sehingga membawa kepada tindakan-tindakan yang hampir membunuh kerjaya seni beliau, mengapa tindakan Anuar Zain yang dilihat lebih berani dengan menyatakan pengakuan secara terbuka itu dipandang enteng oleh sesetengah pihak? Adakah kerana populariti dan kedudukan beliau yang tinggi dalam dunia hiburan ini memberi kelonggaran untuk beliau bertindak sesuka hati tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat sekeliling? Negara kita terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama. Justeru, Anuar Zain seharusnya menilai adab dan budaya masyarakat Melayu yang secara umumnya beragama Islam dan adalah tidak wajar adab dan budaya ini dieksploitasikan dengan cara sedemikian berupa.

Barangkali ramai peminat Anuar Zain di luar sana yang melabel saya sebagi seorang yang jumud dan berfikiran sempit. Namun saya yakin tidak kurang ramainya yang menyokong pendapat saya ini. Masyarakat kini ternyata telah diracuni falsafah pemikiran Machiavelli yang memperjuang prinsip ‘niat menghalalkan cara’. Sesungguhnya, Allah s.w.t menjadikan agama Islam itu cukup indah. Islam itu juga ialah cara hidup bagi manusia yang mahu berfikir. Islam dibatasi oleh halal dan haram dan sebagai seorang Islam, Anuar Zain seharusnya berfikir secara rasional sebelum melakukan sebarang tindakan.

Umat Islam di Malaysia bangkit membantah dan mengutuk tindakan paderi Belanda menerbitkan filem Fitna yang secara terang-terangan menghina Rasulullah s.a.w dan kitab suci Al- Quran. Tidak hairanlah paderi itu menerbitkan filem sedemikian rupa kerana dirinya sendiri seorang kafir yang mana Allah s.w.t sendiri telah melaknat mereka di dalam Al-Quran. Tetapi mengapa tidak kita bangkit membantah dan mengutuk tindakan Anuar Zain yang sungguh memalukan ini? Walhal beliau sendiri seorang Melayu dan beragama Islam? Pernahkah Islam menghalalkan ciuman di pipi dan duduk atas paha walau hanya untuk membalas jasa peminat? Sesungguhnya niat tidak menghalalkan cara!

Justeru, saya berpendapat adalah lebih baik jika Anuar Zain membatalkan saja niat ‘murninya’ itu dan memikirkan alternatif lain untuk meraikan para peminat yang menyayanginya. Pemberian beberapa koleksi peribadi ataupun barangan eksklusif kepada para peminat bertuah mungkin lebih wajar dan akan lebih dikenangi. Selain kepuasan hati peminat yang perlu dititik beratkan, keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t juga perlulah diraih terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pekerjaan.

NURUL SYAHIRAH BT MOHD JAMEL
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
(PKPIM)

Friday, April 4, 2008

Muslimah Yang Dikasihi...

MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Peliharalah auratmu walau dimana kau berada. Jangan biarkan keindahan dirimu menjadi tatapan lelaki yang bukan mahrammu.
MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Pelihara solatmu, tundukkan pandangan matamu dihadapan lelaki yang bukan milikmu. Kelak engkaulah yang bertuah ketika menjadi tetamu Allah. Moga-moga dirimu disambut penuh kasih oleh Bidadari Syurga Ainul Mardhiah.
MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Berakhlaklah dari panduan Rasulmu, contohi dan ikutinya. Pasti engkau yang bahagia. Sejuk mata memandang bercahaya dunia dengan hiasan muslimah solehah sepertimu.
MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Jadikanlah dirimu seperti permata yang berharga dicelah kaca. Ikuti perintah agama, jauhi larangannya.Al-Quran panduan hidupmu, Hadith jadi sumber rujukanmu.
MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Jangan biarkan dirimu hanyut dengan arus kemodenan tanpa bekalan ilmu didada. Renungilah masa depanmu, tetapkan iman didada. Moga ia menjadi perisai buat dirimu.J angan kail panjang sejengkal lautan dalam hendak diduga.
MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Nilai cintamu hanya pada Allah yang satu, kasihi Tuhanmu redhalah Islam menjadi agamamu, pasti tiada kecewa buatmu. Kelak satu hari nanti ada insan yang menantimu. Berkat kasihmu pada Allah yang satu pasti itulah insan yang menjadi cintamu didunia wasilah dari Allah. Moga bertambah redha Allah padamu, melimpah kasihNya padamu kerana engkau meletak kasihmu padaNya dahulu sebelum cinta pada kekasih yang menjadi pilihan hatimu........

The Love of Allah

Love of Allah, A Knowledge of Gaining Mardhatillah

Love is one of the greatest blessings that Allah gives to people. Throughout their life, everyone wants to be with those who they love, rely on, and are close to. Many of Allah’s blessings and their true meanings can only be found in an environment where true love and friendship exist. For example, a person who is enjoying a magnificent view naturally wants to share his feelings of awe and happiness with someone whom he loves. In the same way, the most magnificent feast or the most beautifully furnished house may not seem very attractive if you are alone. Allah has created people in such a way that they enjoy being loved and loving others, and are pleased with friendships and closeness. To be with those who live by the Qur’an’s morals, and to have fulfilling friendships and love with them is, for each believer, more enjoyable than many other blessings.

This is why Paradise, which Allah promises to those faithful servants whom He loves and with whom He is pleased, is an extraordinarily beautiful place where true love, friendship, and closeness are lived with great exuberance. In the Qur’an, Allah informs us of how believers will live in Paradise: It will be a life of constant joy, friendship, love, peaceful discussions, kind words, and overall peace. Its inhabitants will encounter none of the obstacles to love and friendship that they knew on Earth. For example, one verse in the Qur’an reveals that all malice and hatred will be removed from the hearts of those who enter Paradise (Surat al-A‘raf, 43). In other words, whatever prohibits love and friendship (e.g., jealousy, enmity, rivalry, anger, getting cross, or being offended) will not be found in Paradise.

One of the most important characteristics of the Muslims living in Paradise will be their ability to love, just as they did on Earth, all of the prophets, those pious believers who strove in the path of Allah, and all of the Muslims who lived in the past. All believers feel very close to other pious believers who strive to please only Allah, and so choose them to be their close friends and guardians. Under all circumstances and unconditionally, they derive great pleasure from being in the company of other Muslims. This great love emanates from their fear and awe of Allah, and, as a reward for their internal closeness to our Lord, they will be rewarded with Paradise, the most beautiful abode of love and truthfulness.

The true source of love in the believers’ hearts is their profound love of Allah. Believers love Allah greatly and, at every moment, strive to gain His love and good pleasure.
Allah has created everything from nothing. While a person was still in a state of “nothingness,” Allah granted him or her life as a blessing. Our Lord, the Most Merciful, the Most Gracious, and the possessor of infinite mercy, has provided everything for His servants: a vast variety of foods, fruits, and flowers; lovely creatures and landscapes in which we take pleasure; and all other things, from the Sun to water, from the air we breathe to the vitamins we need. He created all of this perfectly on our world, which travels thousands of kilometers per hour in outer space, and maintains it in absolute safety. Believers who think about the blessings bestowed upon them, who are aware that He can do all things and is the sole sovereign of the universe, the Creator of everything in the best possible form, will feel their love for Allah strengthen. Those who love and fear Allah, and hold Him in awe, will faithfully observe the boundaries that He has established for humanity, show great sensitivity when implementing His rules, and do their best to win His good pleasure, love, mercy, and Paradise.

Every believer who loves and respects Allah and who strives to please Him, enriches the world with goodness. Whoever loves Allah also loves His creations, feels compassion and mercy for them, and wants to protect them by bringing more goodness and beauty into the world. Allah’s messengers, the most excellent and moral people in the world, always invited their people toward love and closeness to each other and to Allah.
Allah gives the following glad tidings to these people:

That is the good news that Allah gives to His servants who believe and do right actions. Say: “I do not ask you for any wage for this—except that you love your near of kin. If anyone does a good action, We will increase the good of it for him. Allah is Ever-Forgiving, Ever-Thankful.” (Surat ash-Shura, 23)

Some people, who are not aware of the Qur’an’s morality and who, as a result, cannot properly acknowledge and appreciate Allah, are deprived of love and friendship and live a life characterized by pain and punishment. Among these people, even the ones who lead the apparently most successful lives cannot find true happiness and peace. Those who lead a solitary life that has no room for love and friendship, and who do not live by the Qur’an, find no moment that is truly good or enjoyable. Such a state is a punishment for those who are characterized by spiritual and temporal cruelty toward others and a lack of belief. They will never truly love or be loved. The love experienced by these people (ascribing partners to Allah) is not true love and will only bring them pessimism, hopelessness, and pain.
As Allah informs us, loneliness and a lack of friendship are specific to Hell:

He did not believe in Allah the Magnificent, nor did he urge the feeding of the poor. Therefore, here today he has no friend. (Surat al-Haqqa, 33-35)


This post seeks to remind believers and also me myself of the importance of feeling love toward our Lord, Who possesses infinite mercy, and the importance of Allah’s love toward His creations and the believers, as well as to demonstrate that the lack of love, which is a sign of those who deny His existence, is a great catastrophe and punishment. Believers must do their best to avoid this situation by leading a life full of love with the hope of attaining Paradise and binding oneself with love and loyalty to our Lord, humanity’s true Friend and Guardian, and to the believers. May the bless and love of Allah be with us! InsyaAllah
..