Saturday, October 4, 2008

Salam Aidil Fitri


"..Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan yang akan datang...ameen.."


Pejam celik-pejam celik, sudah empat hari Ramadhan berlalu meninggalkan kita. Bagi diriku, ramadhan kali ini terlalu terkesan sehinggakan aku tidak berapa mahu menyambut Aidilfitri. Begitu juga dengan adik beradikku yang lain. Terutamanya abangku. Selalu sahaja dia katakan "dah tak bestlah bulan puasa dah habis....syaitan dah datang.." Kami akan ketawa besar selepas setiap kali dia ungkapkan kata-kata itu, sambil mengiyakan sahaja. Ya, kata abangku itu memang benar. Malah aku sendiri risau, kalau-kalau semua bekalan yang dikumpul sepanjang Ramadhan punah begitu sahaja dek datangnya kembali syaitan..hmm


Benarlah seperti apa yang diajar oleh baginda Rasul s.a.w, bahawa Ramadhan adalah medan mentarbiyyah nafsu. Malah, Ramadhan juga adalah masa terbaik untuk kita mengikat kembali hati kita dengan Sang Pencipta. Cumanya, tahun ini, sedikit berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Tahun ini, Ramadhan kami sekeluarga tanpa kelibat mama tersayang! Tiada lagi lembut suara mama mengejutkan kami untuk bangun bersahur. Kali terakhir ku jamah masakan arwah mama pun sudah tidak ku ingat bila. Tiada lagi riuh rendah suara mama saat berbuka puasa. Paling tidak dapat ku lupakan ialah nasi goreng cincai mama yang selalu ku pinta arwah sediakan saat bersahur. Sedap! Tapi, kini tiada lagi tanpa sempat ku pelajari resipi makanan kegemaranku itu...

(kenangan sewaktu sambutan Aidilfitri 2007 bersama arwah mama sebelum menghidap kanser. Aku tiada di dalam gambar)


Suatu malam, Abg Suhail bercerita tentang amalan beriktikaf di masjid. Katanya, tahun ini dia ingin habiskan sepuluh malam terakhir di masjid as-syakirin KLCC. Sebaik sahaja aku pelajari tentang amalan itu, sering pula ku dengar di corong radio dan kaca televisyen tentang amalan ini. Seolah-olah memanggil untuk aku turut sama memeriahkan amalan yang sangat disayangi Rasulullah s.a.w. Tetapi, bagaimana? Kehidupan sebagai pelajar asasi sedikit terbatas. Kami tidak dibenarkan keluar selepas pukul 8.00 malam. Aku cemburu sungguh apabila Abg Suhail ceritakan tentang kehebatan para imam saat qiyamullail dijalankan bersama-sama dengan para makmum yang hadir. Puas ku pujuk sahabat-sahabat dan adik-adik usrah untuk turun bersamaku untuk beriktikaf di masjid, tetapi kesibukan mengatasi masa yang ada.


(keindahan beribadat di masjid pada bulan Ramadhan sangat sukar untuk digambarkan!)

Aku berdoa agar Allah pertemukan aku dengan kasihNya. Aku berdoa agar aku terpilih untuk turut sama menikmati kemanisan amalan iktikaf ini. Alhamdulillah. Allah beri bantuan melalui turunnya sahabatku Athirah dari UIA Kuantan yang kebetulan hadir pada malam 26 & 27 Ramadhan untuk menziarah kami di Pusat Asasi UIAM bersama-sama Siti Fatimah. Mudah sahaja aku memujuk Athirah untuk beriktikaf bersama-sama di masjid KLCC. Tidak ku lupakan sahabat-sahabat di UIA Gombak yang tinggal berdekatan. Tetapi mereka memilih untuk beriktikaf di masjid UIA sahaja. Tidak mengapa. Kerana di mana-mana pun sama sahaja. Alhamdulillah. Allah memilih kami berdua untuk menjadi tetamunya pada malam itu. Mudah-mudahan amalan kami diterima. Walaupun pelbagai kesusahan yang terpaksa kami hadapi untuk sampai ke KLCC, tetapi kami puas! Walau hanya satu malam setelah penat meredah hujan, ditambah pula dengan berduyun-duyun penumpang LRT dengan kami yang termengah-mengah membawa beg balik kampung!


Aku dan Athirah sudah lama tidak bertemu. Jadinya, satu hari satu malam yang ada pada waktu itu kami manfaatkan sepenuhnya. Saat paling indah ialah ketika berbuka di hadapan pertunjukkan air pancut di Taman KLCC. Sengaja kami pilih untuk berbuka di situ. Makan sambil menikmati keindahan malam di Kuala Lumpur. Setelah selesai semuanya, kami pulang ke rumah pada keesokan harinya. Selang sehari, ku bawa pula sahabatku saat di bangku sekolah, Dizyana untuk menikmati perkara yang sama ku lakukan dengan Athirah. Cumanya, kami tidak sempat untuk qiyamullail di sana. Biasalah, perempuan. Walau hanya sempat menunaikan fardhu maghrib, sudah cukup untuk mengubati kerinduan ku pada masjid itu.. Alhamdulillah.


Malam itu malam raya. Sibuk juga aku dan makcik menyediakan ketupat dan rendang. Sekali lagi, tanpa kelibat mama. Pertama kali dalam sejarah keluarga kami untuk beraya di Kuala Lumpur sahaja. Aku juga tidak lupa untuk menonton rakaman takbir raya di TV9. Ada Abg Suhail, geng-geng GPTD dan adik-adik PAUIAM yang amat ku kenali. Sudahpun mereka khabarkan awal-awal lagi untuk menonton, makanya aku pun terpacak di kaca tv menunggu. Tetapi, hiba di hati mengenangkan berlalunya Ramadhan dan tibanya 1 Syawal tidak dapat ku tahan-tahan lagi! Air mataku jatuh juga akhirnya...ya, 1 Syawal kami sekeluarga tanpa mama....Alhamdulillah, keesokan harinya, kami sekeluarga meluangkan masa untuk berkunjung ke pusara mama. Nisan sudahpun ditegakkan. Sedikit pelik membaca nama mama sendiri terukir indah pada nisan itu. Tetapi, kami harus menerima kenyataan bahawa inilah kehidupan yang akan dan perlu kami lalui pada hari-hari yang mendatang...Semoga, kami sekeluarga hidup bahagia. Semoga kami anak-anak mama akan terus berjasa pada arwah meski jauh dibatasi bumi. Doa kami, semoga mama tenang di sana...Ameen..


Akhir kata, ilal liqa' ya Ramadhan... Selamat Hari Raya Aidilfiri 1429 Hijrah. Maaf Zahir Batin...

Thursday, September 18, 2008

Dana Diperlukan

Kali ini, aku bukan menulis mengenai diri sendiri, tetapi mengenai sahabat yang lebih dekat di hati sebagai seorang abang yang banyak membantu dalam permusafiran hidupku akhir-akhir ini. Ya, Allah yang Memegang tiap-tiap daripada hati kita. Walaupun baru sahaja ku kenali insan ini, serta rakan-rakannya yang lain, tetapi seolah-olah ibarat satu keluarga! Makanya, insan yang bernama Mohamad Suhail bin Ahmad ini kini memerlukan pertolongan, apalah salahnya jika giliran aku sebagai adik UG turut sama membantu...


A Thing to Ponder

Meneruskan misi dakwah bukannya sesuatu yang mudah. Apatah lagi misi ini dilakukan secara solo dan di bumi asing. Pastinya menuntut pengorbanan yang tinggi. Abg Suhail akan meneruskan misi dakwahnya di Guangzhou, China pada awal oktober ini. Baru-baru ini, Abg Suhail telah diwawancara oleh wartawan daripada akhbar Utusan Malaysia. Misi ini nampaknya bakal menelan belanja puluhan ribu ringgit. Aku mengharapkan agar usaha mencari dana ini membuahkan hasil. Aku juga memohon ke hadrat Illahi agar urusan dakwah Abg Suhail kali ini berjaya dan dipermudah segala-galanya...

Akhir kata, Jom Kita Bantu!!

Friday, September 12, 2008

Al-Fatihah...Buat Mama Tercinta

"..sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepada(Nya) jualah kita kembali.."

Tanggal 6 September 2008, (6 Ramadhan 1429 Hijrah) tepat jam 3.43 pm, mamaku menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan kami enam beradik, dan puluhan saudara mara serta sahabat handai yang lain di kediaman kami yang terletak di Taman Melawati. Mama pergi dijemput Khaliq setelah hampir 24 jam nazak sebaik sahaja arwah selesai melakukan pemeriksaan kesihatannya yang terakhir, (jumaat; 4.00pm). Arwah mama adalah di antara puluhan juta korban penyakit kanser yang menyerang hampir seluruh organ-organ utamanya. Semoga arwah mama berbahagia setelah kembali ke sisi Pencipta. Doa kami, semoga Allah pertemukan kita di syurga kelak... Ameen.

Di kesempatan ini juga, aku ingin merakamkan jutaan terima kasih buat insan-insan ini:

1. Ayah
2. Adik- beradikku
3. Saudara-maraku
4. Dizyana
5. Abg Suhail
6. Kak Nadzifah
7. Kak Puteri
9. Kak Jihan
10. Abg Hanif
11. DJ
12. Kak Shams
13. Syed Izad
14. Abg Naim
15. Kak Mariati
16. Kak Akmariah
17. Zahirah
18 Nur Aida
19. Mu'iz

(semua insan yang ku sebutkan di atas amat membantu aku untuk terus kuat)

Al-Fatihah.

entri terdahulu berkaitan mama yang ku tulis sebelum pemergian arwah...

Kematian...Sesuatu Yang Pasti

Harapan Baru...Ameen ya Rabbal 'Alamin..
Aku Kembali
Nak Ke Tak Nak?

Sunday, August 17, 2008

Nak ke pergi ke Tak Nak? (II)

Nak.. Aku akan pergi..

Tapi, hujung minggu ni ada muktamar ABIM. Ada exam. Ada program ni. Macam-macam ada.
Perancangan awalku, aku akan ke program pada Jumaat dan Sabtu sahaja. Semoga rancanganku ini dipermudah olehNya...


Hari Itu..(nisfu syaaban)

(Hari Sabtu 16 ogos 2008)

(Hari Seribu Satu Pengalaman)
(Hari Bahagia untuk Bro..& ehem2)

(Hari busy buat aktivis ABIM & PKPIM)

(Hari Kemenangan buat Umat Islam)


Bas tidak sesak kerana aku keluar awal pagi. Dalam perjalanan ke masjid negara, ditemani Kak Nor dan adiknya Nadia. Aku duduk berseorangan...

Permusafiran 1
Anis : Ibu, anis nak duduk dengan kakak kat depan tu... (ujar Anis dalam loghat yang agak sukar difahami)

Tiba-tiba, ada seorang kanak-kanak kecil menghempaskan badannya di sebelahku. Aku terkejut. Hampir sahaja aku tercekik kerana aku sedang makan biskut LEXUS chocolate kegemaranku pada waktu itu. Aku menoleh. Subhanallah...Anis! Anak conductor bus METRO 12.

Anis kanak-kanak down syndrome. Patutlah aku kurang jelas dengan apa yang dia perkatakan. Anis senyum ke arahku.


Anis: Kakak...Anis nak duduk sebelah kakak.
Aku: Boleh Anis, duduklah.. Anis dah makan ke belom? Nak amik biskut ni. Sedap...

Aku menghulurkan sepeket biskut kepada Anis. Pada mulanya Anis menolak. Tapi, setelah kupujuk-pujuk, akhirnya Anis mengalah.

Anis: Mmm, sedapnye kakak... Ada cream!
Aku: Anis, tu bukan cream, itu chocolate filling.. CHO..CO..LATE.. FIL..LING..
Anis: CHO..CO..LATE.. FIL..LING.. yay! Ibu, kakak ajar Anis!

Aku senyum melihat keletah Anis. Sepanjang perjalananku ke Stesen Komuter Kuala Lumpur, hampir 2/3 nama kereta yang lalu lalang aku ajarkan kepada Anis. Anis makan biskut dengan penuh selera. Sesekali Anis minta aku suapkan minum air dan lapkan comot di mulutnya. Alhamdulillah, aku petah melayan Anis. Mungkin kerana aku sukakan kanak-kanak. Cuma Anis ni lain sikit.


Umurnya dalam lingkungan 6-7 tahun. Dia asyik bercakap sambil senyum sahaja di dalam bas. Sekejap-sekejap, tudungku dibelek-beleknya. Tangan Anis tidak duduk diam. Ada sahaja pertanyaan mengenai barang-barangku yang Anis ingin tahu. Kata Anis, dia suka tengok kakak-kakak yang pakai tudung. (budak kecik pun tau menilai, OKU pulak tu!) Hmm...apa nak buat, layan je la.. Ini baru beberapa minit aku bersama Anis, melayani kerenahnya walaupun sedikit penat. Tetapi, wanita yang bergelar IBU kepada Anis, pasti hebat orangnya. Saban hari, dia gigih mencari sesuap nasi, walaupun hanya bekerja sebagai Konduktor Bas METRO. Aku tahu, dalam melayani kanak-kanak sydrome down ini, perlu banyakkan bersabar. Mereka ini cepat naik angin, merajuk dan cepat menangis. Inilah namanya ujian...

Dalam tidak sedar, aku hampir tiba ke destinasi yang dituju. Berdebar menunggu 'training' dari warga Bahrain di Masjid Negara nanti. Berdebar juga untuk memikul tanggungjawab menegakkan kalimah Allah kepada Al-Kafirun yang hadir dari seantero dunia. Sedikit rasa sedih untuk meninggalkan Anis. Juga sedikit rasa gembira kerana aku tidak menghampakan Bro. Alhamdulillah..

Aku: Anis, kakak dah nak sampai ni..
Anis: Tak boleh, kakak tak boleh pergi...Kakak kene pergi dengan Anis..
Aku: Eh, tak boleh Anis, nanti Tuhan marah kakak, macam mana?
Anis: Tuhan marah? Kenapa pulak? Tuhan kan baik...
Aku: Sebab kakak dah janji dengan Tuhan, nak buat kerja yang Tuhan suruh. Kalau kakak tak buat, Tuhan marah la. Sebab dah janji..
Anis: Sebab dah janji? Betul ke kakak?
Aku: A'ah, betul. Ok Anis, kakak pergi dulu ye!
Anis: Kakak! Nanti kakak jumpa Anis lagi tau!!!!

Anis menjerit sambil melambai ke arahku. Aku tersenyum lalu melambai kembali. Aku menilai, harga sebuah perjalanan yang ku lalui pagi itu. Alhamdulillah. Aku seterusnya mengatur langkah untuk sebuah lagi nilai yang bakal ku perolehi di Masjid Negara nanti.

To be Continued...





Nak ke pergi ke Tak Nak?

Sebulan yang lalu...

Bro : Salam. Syira, abang ada projek baek nak ajak syira ngan kawan2 PERKIM join ni. Nanti abang datang matrik, abang cite.
Aku : Wokeh. Takda halllah. Papehal abang datang, nanti kita cerita.(^_^)

2 minggu sebelum Hari Itu...

Aku nak pergi atau tak? Ish, nak bawak berapa ramai adik-adik la ni... Nanti nak pergi hospital lagi. Tapi kalau tak pergi rugi! Sangat-sangat rugi. Bukan senang nak dapat peluang ni. Ya Allah, bantu aku.

Adik2 : Salam, kak...Jadi ke kita nk ikut program yang Bro cite hari tu? Saya ingat bagus kalau akak ambil peluang ni. Nanti kita tempah van untuk pergi. Senang sikit.

Aku tak reply. Susah nak jawab. Aku memang sangat-sangat berminat. Nak exam lagi. Kena pulak time program tu paper Biologi II..Nak biol aku dibuatnya. Aku beristikharah. Alhamdulillah..

Aku nak pergi! Maka, aku kena study daripada sekarang. Ye, betul! Kena! Maka, malam itu, aku study dengan akak NURSE sambil teman mama. Study sampai faham. Tanya jugak dengan akak NURSE tu, psl Blood Pressure. Alhamdulillah, dia layan aku dan jawab soalan yang aku rasa dia pun malas je nak jawab. Eh, husnu dzhon..=)

Seminggu Sebelum Hari Itu...
Aku : Salam, Bro. Syira jadi ikut program abang tu. Nanti nak contact sape?

No reply..
Oh..Bro busy dengan orang kawen kot.
(hehe....tak lama lagi Bro akan busy dengan kenduri kawen sendiri...Sonok2)

2 hari Sebelum Hari Itu
Bro : Salam. Ok, bagus. Contact no ni, Kak Normah. 019XXXXXXX. Cakap ngan dia, korang adik didik abang, nak join program ni. Ape2hal, bagitau abang.

Huh...cuak. Aku call no tu, tapi suara akak tu macam garang je. Camne ni? Nak pergi ke TAK NAK? Bro kata, kami terlambat register.. Dah penuh. Tapi Bro usahakan jugak bagi kami dapat pergi. Dapat dengar pun jadilah.. Kesian Bro. Bro semangat. Jadi, kami adik-adik BARU bro, kena semangat jugak! Bro datang naik motor semata-mata nak cerita dengan kami adik-adik pasal projek BAEK ni.. Jadi? Jawapannya? Pergi ke TAK??

To Be Continued..



Aku Kembali...

Aku kembali. Ringkas. Jangan ditanya mengapa sudah lama aku tidak mengatur tari pena di blog ini. Sebab aku takkan jawab... Rindu! Memang rindu. Kerana dalam tempoh 'beruzlah' ini, terlalu banyak perkara baru yang aku lalui. Bermacam-macam pengalaman yang Tuhan aturkan untuk aku rasa dan nikmati. Sedap! Memang sedap. Tarbiyyah yang sungguh lazat. Kerana dengan itu baru nurani hati mahu berfikir, apa rencah terbaik untuk menambah kelazatan iman.

Permusafiran selama hampir sebulan yang lalu berwarna warni. Tetapi, cukuplah untuk aku katakan, aku sangat-sangat berterima kasih kepada Tuhan. Permusafiran yang mengajar aku untuk tidak lagi mendabik dada, tidak lagi berasa diri hebat! Permusafiran yang melatih aku untuk kembali menjadi AKU. Siapa aku? Akulah...=) Hanya aku dan Tuhan yang tahu.

Buat keluarga tercinta, ayah, terima kasih kerana menyedarkan anakmu ini daripada terus terleka dalam dunia yang bukan miliknya. Semoga, ayah tidak akan pernah berhenti untuk terus menerus menasihati dan memberi tunjuk ajar kepada kami, anak-anak ayah. Buat mama, tabahlah! Allah sedang mengujimu, mama. Kami sayang mama! Buat along, abang bard, dayah, kuyah dan adam, aku mencintai dan menyayangi kalian! Semoga keluarga kita akan terus dilimpahi rahmat dan kasih sayang Tuhan.

Tuhan, dalam ruang kehidupan ini, Kau tunjukkan jalan yang pelbagai untuk kami hamba-hambaMu memilihnya. Semoga taufiq yang Kau hadirkan melalui kehadiran sahabat-sahabat lama dan BARU ku ini, akan lebih memandu aku dalam permusafiran yang telah Kau taqdirkan untukku.. AMEEN..

Terima kasih buat insan-insan yang telah berusaha untuk mengingatkan aku daripada terus melakukan kesilapan..

(14 Ogos 2008)