Monday, December 13, 2010

Hakikat Dunia



Siapakah ‘Dunia’?

Berapa ramai di antara kita yang sedar dan kenal benar dengan sifat dunia? Sebagaimana manusia, dunia juga punya personalitinya yang tersendiri agar kita mudah mengenali dan tahu bagaimana untuk ‘berhubungan’ dengannya.

Allah swt mengingatkan kita melalui firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud, "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Qiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan kedalam syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya), tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya".

Sekali lagi, sifat dunia diterangkan dalam firman Allah swt dalam surah al-Hadid ayat 20 yang bermaksud:
"Ketahuilah!, bahwa (yang dikatakan )kehidupan dunia itu tidak lain, melainkan permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bauan hidup yang bertujuan) bermegah-megah diantara kamu (dengan kelebihan , kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak(semua itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhka
n tanaman yang menghijau subur), menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (kesuatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahwa) di akhirat ada azab yang (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia) dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah bahwa) kehidupan dunia ini tidak lain , hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya"

Jelas dapat kita lihat bahawa dunia yang kita diami saat ini mempunyai beberapa sifat dan ciri yang perlu kita ketahui supaya perhubungan kita dengan dunia lebih harmoni. Pertama, pada sifat dunia yang indah. Allah swt menciptakan dunia dengan seribu satu keindahan dalam pelbagai rupa dan bentuk. Cukuplah sekadar kita memerhatikan lukisan alam yang merona biru pada luasnya awan, pada bukit bukau dan hutan belantara yang menghijau, pada senja nan jingga, juga pada cerianya warna- warni pelangi. Semuanya bersatu dalam jalinan pelbagai tona warna. Mampukah tangan kita menghasilkan karya kreatif yang serupa? Siapakah yang mampu menandingi sentuhan indah Sang Mahakarya? Ditambah lagi dengan hiasan-hiasan fizikal pada dunia seperti para wanita, limpahan harta benda, pangkat dan darjat dan segala macam bentuk keindahan yang tak terhitung banyaknya.

Ciri kedua yang terdapat pada dunia terletak pada kesenangan yang kita rasai ketika mendiaminya. Pada dunia terkandungnya kehidupan yang serba serbi sempurna dan mudah. Pada dunia juga dihamparkan pelbagai bentuk permainan dan hiburan kehidupan yang pastinya membuaikan tiap-tiap jiwa di dalamnya. Lalu berbondong-bondonglah manusia mengejar kedua-dua ciri dan karakter dunia yang pada hakikatnya masih belum sempurna proses ‘perkenalan’nya. Apa yang terzahir hanyalah pada permukaan sifat dunia sekaligus menafikan perbandingan yang turut diceritakan Khaliq dalam firmanNya yang disebutkan di atas. Lupakah kita pada sifat dunia yang dikatakan indah dan senang itu hanyalah pada mereka-mereka yang terpedaya? Bukankah pada keindahan dan kesenangan dunia turut diiringi sifat dunia yang palsu dan sementara? Kerana itu dunia ini disebut-sebut namanya sebagai ‘Dunia Fana’. Fana bererti lenyap. Lenyap sifatnya tidak kekal dan segala yang lenyap itu pastilah selepas berlakunya kemusnahan yang nyata. Itulah hakikat sebenar dunia bagi mereka yang benar-benar mengenalinya.

BERSAMBUNG....

Sunday, October 10, 2010

CINTA: Buktikan ia FITRAH bukan FITNAH



Kebelakangan ini kerap kita mendengar soalan tentang bolehkah sebenarnya bercinta dalam Islam, mungkin dek kerana terpengaruh dengan aluan nasyid nasyid longlai dan fatwa cinta di dalamnya, ramai pula orang ingin merasakan nikmat bercinta . Persoalan ini sebenarnya satu soalan yang agak sukar untuk dirungkai, apa lagi bagi orang yang tak punyai pengalaman .

Cinta boleh menjadi fitnah
Memang benar cinta itu adalah satu fitrah bagi semua manusia normal. Dan fitrah itu sesuatu yang suci. Maknanya cinta itu pada asalnya satu fitrah yang bersih, cuma bila dicemari oleh nafsu dan dicampurkan dengan perkara terlarang yang mendorong ke arah maksiat besar, fitrah boleh berubah menjadi fitnah pula.
Di antara tujuan diciptakan perasaan ini adalah untuk menguji perempuan dan lelaki, sepertimana firman Allah dalam surah Al-Furqan: (( dan kami telah jadikan sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain fitnah, adakah kamu
melihatnya? Sesungguhnya Tuhanmu Maha Melihat )).
Seperti yang telah dinyatakan, Allah Taala telah menetapkan jalan yang halal mengikut syara' untuk memenuhi naluri fitrah ini iaitu melalui jalan perkahwinan, dan telah diharamkan segala jalan lain selain perkahwinan supaya manusia tidak terjebak dalam perkara haram
dan kotor yang dimurkai Allah Taala. Ini kerana manusia itu secara semulajadinya memang inginkan kepada keseronokan yang ditimbulkan oleh nafsu, dan syaitan pula akan sentiasa mengambil kesempatan mendorong mereka ke jalan nafsu yang menjadikan manusia hilang akal dan bimbingan diri.
Cinta itu boleh berubah menjadi satu fitnah bilamana ia dicampurkan dengan
perkara perkara yang diharamkan oleh Allah Taala. Apabila larangan Allah
diperlekehkan,nafsu lantas mengemudi hati, maka hilanglah rasa malu di dalam
diri. Dek kerana itu, maka kebelakangan ini sering kita direntet oleh isu yang
mengigit sukma lakunya. Antara perilaku sumbang yang semakin sebati dikalangan
remaja hari ini.

1. Memandang kepada bukan mahram
Firman Allah di dalam surah an-Nur, ayat 30, mafhumnya: ((Katakanlah pada lelaki yang beriman: "hendaklah mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka…).

Apabila pandangan melihat benda yang tidak elok, maka manusia akan terdorong untuk melakukan maksiat seperti zina. Oleh sebab itu, Allah telah mengharamkan memandang kepada wanita yang bukan mahram dengan sengaja, maksudnya dengan shahwat dan tanpa sebab syar'ie, seperti kehakiman, muamalat harian tujuan untuk menikahi perempuan yang dilihat dengan syarat-syarat tertentu. (rujuk bab an-nazru tulisan dari. Abdul Karim Zaidan dalam "Al-mufassal fi ahkam almar'ah wa baitul muslim", jilid 3.) Ini kerana pandangan yang tidak bersebab itu boleh membangkitkan syahwat serta menimbulkan fitnah, juga mungkin akan mengikat hati lelaki pada wanita.

Justeru, pandangan mata perlulah dijaga demi keselamatan hati dan rohani, kerana pandangan juga boleh membawa kepada zina, seperti sabda Rasulullah, "dua mata itu boleh berzina melalui pandangannya"-riwayat Bukhari. Rasulullah pernah berpesan pada Saidina Ali bin Abi Talib Karamullahiwajhah: " Wahai Ali,jangan kamu turuti pandangan pertama (yang tidak disengajakan dengan pandangan seterusnya, sesungguhnya pandangan pertama itu tidak mengapa, tapi yang kedua bukan haqmu.."-riwayat Tarmizi.

2. Berjumpa dan berjalan berdua-duaan
Seorang perempuan tidak dibenarkan bermusafir sendirian, dan bertemu lelaki ajnabi sendirian, seperti sabda Nabi s.a.w: " Tidak bermusafir seorang perempuan kecuali ada bersamanya mahramnya, dan tidak boleh seseorang masuk menemuinya kecuali ada mahramnya."- hadis riwayat Imam Bukhari. Perempuan juga dilarang berjalan bersama sama lelaki, dalam sunan Abi Daud, diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w memerintahkan para wanita agar berjalan di tepi laluan jalan, tidak di tengah kerana mengelakkan mereka dari bercampur dengan lelaki. Sedangkan percampuran begini dilarang, apatah lagi berjalan berdua - duaan.

3. Berpegangan tangan
Di dalam Islam, mengikut pendapat jamhur dan rojih, seorang muslim diharamkan bersalaman/bersentuhan dengan semua wanita (iaitu dalam hal biasa, dibolehkan dalam hal darurat seperti perubatan), kecuali dengan mahramnya: ibunya, adik beradiknya,anaknya, ibu mertuanya, ibu saudaranya, anak saudaranya, isterinya dan anak tirinya( anak isteri).

Jika dilihat dari sirah Rasulullah, baginda amat tegas menjauhi persentuhan lelaki perempuan, hatta dalam hal penting sekalipun seperti bye'ah. Bahkan rasulullah akan mengambil bye'ah wanita melalui ikrar sahaja. Daripada Aisyah r.a, katanya: Nabi mengambil bye'ah para wanita dengan ikrar, baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita kecuali wanita yang halal baginya.-riwayat Bukhari.

Namun yang demikian, mengapa masih ramai anak anak muda berpasangan berpegangan tangan, sedangkan baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "sekiranya seseorang itu mencucuk kepalanya dengan jarum besi, itu adalah lebih baik baginya dari menyentuh perempuan yang tidak halal baginya"- riwayat Tabrani dengan sanad yang soheh. Telah menjadi fitrah pada lelaki dan wanita apabila bersentuhan keduanya maka akan timbul rasa seronok di hati. Ini akan menjadi satu permulaan kepada perkara maksiat. Syaitan pula akan sentiasa mengambil kesempatan menghiasi perkara yang dimurkai Allah agar kelihatan indah.

Bersentuhan sangat berkaitan dengan hawa nafsu, dan hawa nafsu itu adalah buta dan tuli. Apabila nafsu menjadi raja, maka syaitan pun bertepuklah tangan. Bagi wanita pula,malu itu adalah ibarat mahkota yang tidak perlukan singgahsana. Tetapi sekiranya mahkota ini tercabut dari singgahsananya, maka jadilah wanita itu lebih dahsyat daripada 70 ekor syaitan!

4. Berdua-duaan / dating/ khalwah ajnabiyah
Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan"-(riwayat imam Ahmad). Tidak syak lagi bahawa berdua-duaan satu perkara yang amat besar bahayanya. Nafsu shahwat akan memungkinkan segalanya, ditambah lagi syaitan yang akan berusaha kuat untuk menjerumuskan manusia ke jalan kemaksiatan. Apabila sudah berada di landasan keseronokan nafsu, seseorang baik lelaki mahupun wanita akan lupa kekuasaan Allah, kemurkaan dan azabNya. Mereka juga akan melupakan nilai kesucian diri dan kemuliaan sifat terpuji. Dalam keadaan berdua-duaan amatlah mudah untuk terjatuh ke dalam jenayah yang besar. Bahkan ianya merupakan satu peringkat yang paling menghampirkan diri kepada zina, dan ianya terbukti dengan kes-kes penangkapan khalwat, dan muqaddimah zina serta zina itu sendiri yang berpunca dari berdua-duaan.

Rasulullah saw bersabda: "Jauhilah daripada berdua-duaan dengan perempuan, Demi diriku yang berada dalam tanganNya, tidaklah berkhalwat dua orang lelaki dan perempuan kecuali ada syaitan diantara mereka.. dan jika sekiranya seorang lelaki berhimpit dengan seekor bab* yang berlumuran lumpur dan kotoran itu lebih baik baginya dari berhimpit bersentuhan bahu dengan perempuan yang tidak halal baginya". Hadis di atas jelas mengharamkan khalwat dan duduk berdua bersama, kalau di zaman kita ini termasuklah duduk berdua-duaan bersebelahan di dalam bas, wayang dan sebagainya. Satu alasan yang popular bagi mereka yang ingin berdua-duaan ialah untuk mengulangkaji pelajaran. Menuntut ilmu itu memanglah satu perkara yang dituntut, tapi apakah sudah tidak ada pelajar lain di atas muka bumi ini untuk belajar bersama sama. atau sudah tiada pelajar yang sama jantina yang boleh membantu dalam pelajaran.

Cuba kita renungi kata-kata Imam Hasan al-Basri : "Jangan kamu berdua-duaan dengan perempuan, walaupun kamu berkata. saya mengajarkannya al-Quran". Demikianlah beberapa hujah dari baginda Rasulullah sendiri serta para ulama tentang larangan dan bahaya khalwah atau berdua-duaan dengan orang yang bukan mahram.

PERSOALAN : Telefon dan SMS - boleh atau tidak Seperti yang kita tahu, telefon dan SMS merupakan alat perantaraan komunikasi yang tidak wujud di zaman rasul, sahabat mahupun tabiin. Dalam hal ini saya mengembalikan hukum sesuatu perbuatan itu kepada asalnya, iaitu mengikut kaedah usul fiqh, asal kepada setiap satu itu adalah harus, selagi tidak ada nas yang mengharamkannya. Atau dalam masalah telefon barangkali dapat kita lihat dalam bab mendengar percakapan wanita , satu bab yang ada dalam kitab fiqh. Bercakap dan mendengar percakapan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram/ajnabi, dengan satu hajat atau tujuan yang baik, adalah diharuskan di dalam Islam, selagimana ianya aman dari fitnah, tidak menimbulkan shahwat, dan tidak melalaikan dari mengingati Allah Ta'ala.

Di dalam Soheh Bukhari dan soheh muslim misalnya, terdapat hadis yang menerangkan bagaimana Rasulullah mengambil bye'ah dari para muslimah dengan percakapan. Ibnu Hajar dalam syarah Soheh Bukhari, kitab Fathul Bari menyimpulkan dari hadis ini bahawa, mendengar percakapan perempuan itu adalah harus, dan suara mereka bukanlah aurat. Imam Nawawi pula dalam syarah sahih muslim menyatakan: dalam hadis ini kita dapati bahawa percakapan wanita itu harus untuk kita mendengarnya dengan ada hajat atau tujuan, dan suara mereka bukanlah aurat. (rujuk Mufassal, Abd karim Zaidan, jilid 3, m/s 276/277)

Antara dalil lain yang mengharuskan percakapan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram ialah Al-Qur'an memperbolehkan laki-laki bertanya kepada isteri-isteri Nabi saw dari balik tabir. Allah berfirman: "Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir ..."(al-Ahzab: 53) Permintaan atau pertanyaan dari para sahabat itu sudah tentu memerlukan jawapan dari Ummahatul Mukminin. Mereka memberi fatwa kepada orang yang meminta fatwa kepada mereka, dan meriwayatkan hadits-hadits bagi orang yang ingin mengambil hadits mereka. Pernah ada seorang wanita bertanya kepada Nabi saw. dihadapan kaum laki-laki. Ia tidak merasa keberatan melakukan hal itu, dan Nabi pun tidak melarangnya.

Dan pernah ada seorang wanita yang menyangkal pendapat Umar ketika Umar sedang berpidato di atas mimbar. Atas sanggahan itu, Umar tidak mengingkarinya, bahkan ia mengakui kebenaran wanita tersebut dan mengakui kesalahannya sendiri seraya berkata, "Semua orang (bisa) lebih mengerti daripada Umar." Di dalam Al-Quran juga kita dapat mengikuti kisah seorang wanita muda, putri seorang syeikh yang sudah tua (Nabi Syu'aib alaihissalam) yang bercakap dengan Musa, sebagaimana dikisahkan dalam Al-Qur'an: "... Sesungguhnya bapakku memanggil kamu agar ia memberi balasan terhadap (kebaikan)-mu memberi minum (ternak) kami ..." (al-Qashash: 25)
Sebelum itu, wanita tersebut dan saudara perempuannya juga berkata kepada Musa ketika Musa bertanya kepada mereka: "... Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)? Kedua wanita itu menjawab, 'Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum penggembala-penggembala itu memulangkan (ternaknya), sedangkan bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut usianya." (al-Qashash: 23)

Selanjutnya, Al-Qur'an juga menceritakan kepada kita percakapan yang terjadi antara Nabi Sulaiman a.s. dengan Ratu Saba, serta percakapan sang Ratu dengan kaumnya yang laki-laki. Begitu pula peraturan (syariat) bagi nabi-nabi sebelum kita menjadi peraturan kita selama peraturan kita tidak menghapuskannya, sebagaimana pendapat yang terpilih. Yang dilarang bagi wanita ialah melunakkan pembicaraan untuk menarik laki-laki, yang oleh Al-Qur'an diistilahkan dengan al-khudhu bil-qaul (tunduk/lunak/memikat dalam berbicara), sebagaimana disebutkan dalam firman Allah: "Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu melunakkan suara dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik." (al-Ahzab: 32)

Allah melarang khudhu, yakni cara bicara yang bias membangkitkan nafsu orang-orang yang hatinya "berpenyakit." Namun, dengan ini bukan bererti Allah melarang semua pembicaraan wanita dengan setiap laki-laki. Perhatikan hujung ayat dari surat di atas: "Dan ucapkanlah perkataan yang baik". Melalui hujah ini, maka harus untuk seseorang bercakap melalui telefon, atau menghantar SMS, dengan hajat dan tujuan yang baik di sisi syara' seperti yang dibawakan dalam contoh-contoh di atas serta aman dari fitnah, syahwat dan tidak melalaikan kita dari mengingati Allah Ta'ala. Semua ini hanya dapat ditentukan oleh diri orang yang menelefon atau memberi sms itu sendiri, samaada percakapannya itu menimbulkan fitnah atau tidak, melalaikan atau
tidak, maka kalau dia berdusta pada dirinya sendiri dan orang lain,maka itu antara dia dan Allah Ta'ala.

Cinta sebagai satu fitrah
Islam menggariskan satu sistem yang syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Oleh kerana Allah sendiri yang mencipta kita, Dia Maha mengetahui segala naluri dan fitrah kita. Kerana itulah Islam meraikan fitrah dan kehendak naluri manusia, dan salah satu daripadanya adalah cinta. Dari Muhammad Muhammad As-sharif, dari Universiti Al-Azhar dalam bukunya " Islah Al-Ummah A'lah Huda As-Sunnah" (islah @ reformasi ummah di atas cahaya sunnah) menyatakan bahawa telah difitrahkan yang seorang lelaki akan mempunyai perasaan terhadap perempuan, dan begitulah sebaliknya.

Ini kerana perempuan itu dijadikan daripada rusuk lelaki, sebab itu lelaki ada perasaan terhadap wanita yang sememangnya dijadikan daripada satu bahagian tubuh dirinya sendiri. Kalau dilihat dari kisah kehidupan awal manusia, seperti diceritakan dalam kitab sirah imam Ibnu Kathir, "al-bidayah wa an-nihayah",dan beberapa kitab lain, bahawa nabi Adam alaihissalam sendiri kesunyian ketika mula diciptakan di dalam syurga, lalu Allah menciptakan Hawa bagi menjadi teman hidup Adam. Tapi Allah tidak membiarkan mereka bercinta begitu saja tanpa ada ikatan, mereka lantas diijabkabulkan. Allah Taala berfirman, maksudnya: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada satu contoh yang amat baik untuk kamu ikuti..". sepanjang rentetan sejarah rasul dan para sahabat, perkataan cinta itu wujud dalam rumahtangga mereka.

Apabila seseorang jatuh cinta dengan perempuan,
mahu menjadikannya sebagai
serikandi hidup, maka dibenarkan dia melihat
perempuan itu mengikut batas
syara'
.

Terdapat hadis hadis dalam bab bolehnya melihat orang yang berkenan untuk
dibuat isteri (maknanya melihat kepada yang bukan aurat), contohnya hadis
riwayat Imam Tirmizi: daripada Mughirah bin Syu'bah, bahawa dia hendak meminang seorang perempuan, lalu bersabda Rasulullah s.a.w: " Pergilah kamu melihatnya, sesungguhnya ia akan memanjangkan lagi kasih sayang antara kamu berdua nanti.. "Tafsirannya, bila jatuh hati atau berkenan pada seseorang perempuan, tindakan seterusnya adalah mengikat ikatan samaada khitbah atau pertunangan ataupun berkahwin. Selepas itu mereka barulah mereka bercinta sebagai suami isteri.

Maka daripada perkara di atas, Islam menyediakan ruang untuk bercinta, iaitu
percintaan untuk perkahwinan. Maknanya di sini Islam meletakkan cinta itu
sebagai satu tanggungjawab, bukan satu permainan atau keseronokan semata mata.


Jika benar benar mencintai seorang perempuan itu, seorang lelaki hendaklah
menunaikan tanggungjawabnya, jika sudah bersedia maka ikatlah dengan ikatan yang sah, jika belum bersedia, banyak-banyaklah berdoa pada Allah dan jangan sekali kali melakukan perkara yang berlanggar dengan syara'yang boleh mencemarkan kesucian cinta sebagai satu fitrah.

Justeru, bersamalah kita mengawal fitrah yang indah ini agar tidak terpesong ia menjadi fitnah, InsyaAllah. Hanya cinta Allah yang boleh memimpin kita meniti lembah sunyi menuju firdausi.Wallahua’lam.

Jangan mudah melafaz kasih,kasih itu untuk siapa..
Jangan mudah melafaz sayang,sayang itu pada siapa..
Jangan mudah melafaz cinta,cinta itu pada Yang Esa,
Cintakan bunga,bungakan layu..cintakan manusia kan pergi.

Cinta Sebagai Fitrah Manusia
Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com
http://www.ukhwah.com/

Thursday, August 19, 2010

Kembara..Sudah Puaskah Aku Mengembara?


Kembara insani, menyelusuri permusafiran qada dan qadar Illahi...ah, akulah insan yang sedang mengembara itu...

Dalam menyusun gerak langkah, aku sedar adakala langkah ini tersasar dari landasan. Adakala, aku mahu berjalan laju, adakala aku jauh ketinggalan di belakang. Ada ketikanya, aku terburu-buru, mahu terus berlari, lantas tidak menghiraukan batuan batuan yang menghalang kembara insanku, lalu jatuh tersungkur, rebah dan terluka. Gopohnya aku, mencerminkan betapa hinanya seorang hamba Tuhan, kerana untuk melangkah setapak kehadapan pun masih perlu bergantung pada kuasa Al-Akbar..

Apalah sangat kudratku ini hendak dibandingkan dengan 'Azimnya Dia?
Lemah daya, kelu, kaku, tiada apa-apa. Kosong. Kelam. Suram.

NOKTAH.

Aku kini sedang berdiri. Sesaat nanti aku mungkin duduk atau mungkin aku tertidur. Semua itu BUKAN aku yang tentukan. Tetapi Allah, sebaik-baik perancang.

Aku kini sedang menghela nafas, Mungkin sesaat nanti aku sudah kaku tidak bernyawa. Semua itu Allah yang tentukan, BUKAN aku.

..............................................(kosongnya minda)

Allahu Akbar...
Aku masih lagi mahu terus mengembara.
Aku masih mahu terus menjadi pengembara.
Bumi ini masih banyak yang ingin aku terokai.
Butir-butir hikmah yang bertaburan masih belum cukup aku miliki.
Ruang lompong kehidupan masih belum aku penuhi.
Jasad yang masih belum banyak menyumbang..
Iman dan amal yang masih belum seimbang..
Pada tingkah laku yang terkadang sumbang..
Pada kata-kata yang ada ketika masih 'ter'simpang..
Pada ekor mata yang adakala masih rambang...

Allahu Akbar...
Aku masih punya segunung impian.
Jasaku pada orang tua yang menaruh setinggi harapan...
Istana cinta fitrahku yang masih dalam samar bayangan..
Juga pada impian memiliki zuriat yang beriman..
dan pastinya pada cita-citaku menjadi isteri solehah dan budiman..

Allahu Akbar..
Aku sedang mengembara
Dan akulah pengembara
Dan aku masih mahu terus mengembara
Sehingga sampai satu detik masa
Aku ditakdirkan berhenti
Aku akur
dan..saat itu, moga aku sudah puas mengembara...

Friday, May 28, 2010

Basah Hati...


Buat kesekian kalinya dalam hari ini, hatiku kebasahan diiringi air mata yang mengalir laju, seakan tiada henti...

Patutlah...

Allah ilhamkan rasa rindu yang teramat pada emak di Kedah..
mahu telefon, tapi seolah-olah disekat-sekat..pelbagai urusan lain hadir merencatkan niat..
Patutlah..

Berdebar-debar hati ini sejak berhari-hari yg lalu...rupa-rupanya, emak tidak sihat..lelah dan asma yang akhirnya membawa kepada prediction doktor, "..Emak Sakit Jantung..."..perlahan suara emak kedengaran di corong telefon..tidak pernah aku dengar suara emak selemah ini..ya Allah, aku kerinduan pada seraut wajah bonda...yang membesarkanku selama 12 tahun lamanya..walaupun beliau bukanlah wanita yang melahirkan, tapi jerih peritnya yang membuatkan aku mampu berdiri sebagai seorang manusia...tidak dapat aku bayangkan kehidupanku tanpanya....


Ya Allah...aku mohon Kau lindungilah emak dalam kepenatan yang dilaluinya, dalam kesengsaraan yang Kau taqdirkan untuknya, dan hadirkanlah nikmat kesihatan yang berpanjangan dan peliharalah emak dalam rahmat dan kasih sayangMu..ameen..


---------------------------------------------------------------------------------
Pelangi Petang...

Suatu episod baru dalam kehidupan yang aku kira perlu untuk ditamatkan...sebelum lebih banyak hati-hati yang terluka...

Cemburu..
iya..memang itulah persoalan yang timbul, dan hari ini sememangnya persoalan yang aku timbulkan itu terbukti benar..
Barangkali ada pada tingkahku yang membuatkan ada hati yang terasa dan terluka, dan sebelum apa-apa berlaku, aku harus berundur dan belok ke simpang yang baru lalu teruskan langkah yang masih tersisa..


Buat sang pelangi indah...entahlah, semakin aku berlari jauh, semakin dekat ia di hati...tidak mahu parah di hati menjadi barah..pelangi itu sememangnya sudah dimiliki oleh dia yang lebih berhak memilikinya..Aku ini hanyalah picisan dan barangkali hanya sebagai salah satu fasa biasan cahaya buat pelangi agar terus kekal indah..

Sukakah aku pada pelangi?
Cintakah aku pada pelangi?
Sayangkah aku pada pelangi?
Jangan ditanya..kerana aku tidak ada jawapan...
Aku hanya hamba Khaliq yang lemah, dan berbekalkan sedikit harapan..

Aku hanya mahu pelangi kekal indah dan mengindahkan kehidupan manusia lain dgn warnanya..
Cuma, hatiku berbisik kata-kata berbaur doa pada Dia Maha Pemberi, andai pelangi ditakdirkan untukku, dekatkan aku pada hatinya, andai tidak, jauhkan kami sejauh-jauhnya..dan takdirkanlah apa yg terbaik untuk kami..



Hatiku juga berbisik pada Ar-Rahman, agar kata suka, kata cinta dan kata sayang hanya aku salurkan pada dia pemilik hatiku yang hak..suatu hari nanti.. Agar aku dapat kekal menjadi bidadari dihatinya kelak..

Wa asirru qaulakum awij haruu
bih..


Ya..sejauh manapun aku rahsiakan, aku tidak
mampu rahsiakan dari pengetahuan Penciptaku..dan hanya padaNya aku bergantung
harap..biarlah genta rasaku buat pelangi menjadi rahsia abadi antara hamba dan
Pencipta...(^_^)



Ya Allah..dan hatiku kebasahan sekali lagi, saat ini dan aku doakan selamanya..




Friday, January 22, 2010

Aku Pemburu PELANGI!

Sudah berapa lama laman ini aku biar bersawang. Lincah sang jemari mengorak tari pada papan kekunci sudah sekian lama terhenti. Maafkan aku wahai teman-teman setia yg sering berkunjung menjengah laman catatan permusafiranku yang tak seberapa ini. Sibukkah? Atau aku sang penyibuk? Pertanyaan yang sering aku tanya pada diri setiap malam sebelum mata ku pejam rapat, sebelum ruh diangkat sebentar dan meneruskan permusafiran keesokan harinya.


Rentetan permasalahan berkisarkan diri sendiri dan teman-teman menjadi rafik sejatiku sejak akhir-akhir ini. Begitu juga dengan jalan dakwah yang semakin berliku dan bersimpang siur, sehinggakan terkadang tidak kelihatan ombak besar yang mampu membuatkan bahtera dakwah kami karam dek kerosakan yang berlaku. Bahtera kami kini sudah berada di laut dalam...maka, ilmu dan segala kepakaran untuk mengemudi bahtera ini perlu dikuasai dengan sebaiknya. Alhamdulillah, berkat kesabaran...berkat toleransi dan kekuatan doa yang dipanjat kehadrat Illahi, juga dengan izinNya, gelora yang melanda kian tenang..dan berjaya kami lalui bersama-sama..

Ini juga padahnya apabila laman catatan permusafiran ini lama ku biar bersawang..terlalu banyak yang ingin dikongsikan sehingga tak termampu pula. Cukuplah sekadar untuk aku mengkhabarkan pada semua yang mengikuti permusafiran hamba Allah yg cukup-cukup hina ini, bahawa beliau, pemilik blog ini masih lagi bernyawa...dan masih lagi meneruskan sisa-sisa kehidupan dalam pengabdian diri kepada Tuhan. Beliau masih lagi setia dalam jambangan kasih Islam, masih lagi bertebaran menyampaikan seruan dakwah walaupun dalam suara yang sedikit kurang nyaringnya. Bicara langkahnya agak perlahan, derap tapaknya kadang-kala tidak kedengaran, cuma bayangnya sahaja yang masih lagi kelihatan. Pelbagai warna kehidupan diperlihat Tuhan pada permusafirannya sejak akhir-akhir ini. Warna cerah, warna kelam..semuanya berpadu..namun, percampuran warna-warna itu tidak bertukar menjadi hitam, tetapi telah dibiaskan Tuhan menjadi spektrum warna berupa PELANGI....


PELANGI..
Ada yang melihat pelangi dari sudut yang berbeza. Pelangi hanya muncul seketika..sesekali menjengah selepas hujan panas, menampakkan wajah nan indah. Tanpa cahaya, tetapi tetap berseri. Pelangi, barangkali hanya sebuah ilusi. Semakin cuba didekati, semakin jauh ia berlari. Bagai si majnun, kadangkala boleh hilang arah mencari kemana hilangnya pelangi, dan menanti bilakan ia muncul kembali..

Signifikasi pelangi dalam permusafiran kali ini, dijustifikasi pada indah rupanya. Keindahan yang dicipta Khaliq, dan berjaya menterjemah erti sebenar KEDAMAIAN yang dicari-cari selama ini. Damai hati saat melihat rona pelangi tidak dapat kuungkapkan dengan kata-kata. Pada ronanya aku temui kekuasaan Illahi. Pada ronanya juga aku temui makna kehidupan. Iya, permusafiran hidup ini sebenarnya cukup indah. Pelbagai warna kehidupan kita temui dalam setiap langkah. Kadangkala rona merah sesekali menjengah, saat diri dikuasai semangat membara. Adakalanya hati membungkam, kedinginan...sedingin lautan yang membiru...adakalanya juga emosi ceria menjingga, sehingga terpancar senyuman pada riak wajah. Bukankah indah namanya? Andaikata kehidupan hanya dipalitkan warna ungu, semuanya ungu. Gunung-ganang, lautan, hutan belukar, awan, dan langit kesemuanya berwarna ungu, maka terciptalah sebuah rekayasa kehidupan nan suram dan menjemukan!


PELANGI HATI...
Dalam mencari dan mendamba cinta Illahi, Allah catankan juga warna-warna pelangi yang dibiaskan pada kehadiran insan-insan sekeliling. Cukuplah untuk aku menyatakan, bahawa dalam permusafiran ini, aku sentiasa dibahu gagah oleh mereka-mereka yang tidak pernah jemu menabur bakti dan budi sama ada dalam bentuk pertolongan, nasihat, wang ringgit mahupun keringat tenaga. Semuanya bersatu atas nama cinta dan kasih sayang sesama insan. Doa dan sokongan padu merekalah yang membuatkan diri ini masih bisa berdiri, walaupun jatuh berkali-kali. Syukur padaMu Ya Allah, atas kurnia sebuah ukhuwah.

CINTA
Juga, telah diciptaNya sebuah pertemuan, yang aku kira antara sebahagian hadiah terindah yang dikurnia Ar-Razzaq. Kehadirannya menemukanku kembali dengan erti CINTA yang sebenar. CINTA ILLAHI CINTA ABADI CINTA HAKIKI! Bait katanya seringkali mengingatkanku pada tujuan utama kehidupan. Saat terlupa, dia menyedarkan. Saat terjatuh, dihulur tangannya agar aku bisa bingkas bangun dan meneruskan permusafiran. Saat sedih membungkam, dia antara pertama yang menceriakan. Namun, semua ini adalah pinjaman sementara Tuhan, diberikan hidayah melalui perantara yang budiman. Aku harus berpijak di bumi yang nyata, bahawa hadirnya dia saat ketika aku memerlukan, dan akan diambil Tuhan saat masa yang ditetapkan. Sekalung penghargaan buatnya kerana terus menerus berdoa, dalam kesudiannya memimpin langkahku yang terkadang bengkok. Ada ketikanya, aku harus cuba berdiri sendiri, kerana kesedaran bahawa dia juga punya acuan kehidupan yang harus diikuti. Bahawa dia juga akan mengorak langkah permusafirannya yang tersendiri. Bahawa suatu masa nanti langkah kami tidak seiringan lagi dan bahawa perpisahan akan tetap terjadi. Tuhan...semoga kurnia ini membuka sebuah laluan untuk aku mengintai indah syurga....



IMPIAN
Aku tidak punya impian khusus dalam permusafiran tahun ini. Apa yang mampu direncanakan ialah harapan agar diri ini sentiasa melangkah ke arah meraih redhaNya. Apa lagi yang diharapkan melainkan hadiah berupa ketenangan dari Tuhan? Apa lagi yang didambakan melainkan jannah sebagai destinasi pengakhiran? Dan hati akan terus memandu akal berbekalkan iman...


InsyaAllah...

Saturday, December 5, 2009

Aku Insan Biasa

Berlapang Dada...
Aku barangkali bukan insan terbaik untuk berbicara mengenainya. Kerana di mata manusia, aku insan hina. Biarlah..kerana aku mahu dinilai Tuhan. Berbekalkan sedikit ilmu di dada, yang hadirnya melalui nikmat hidayah kurnia Tuhan, aku berlapang dada. Ya, ilmuku cetek...tidak sama seperti barisan ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah di luar sana. Mana bisa aku dihormati...kerana aku pelaku dosa.. Ya, aku bukan manusia maksum. Namun, indahnya nikmat kurnia Tuhan, kerana cebisan sinar hidayah yang terpalit di lubuk hati bisa menerangi jalanan permusafiran kembaraku yang penuh liku.

Tafsiran Zahir...
Entah mengapa manusia suka mentafsir. Malah mengharapkan sesuatu yang tak mungkin bisa kita lakukan. Zahir insan ditilik, lalu diteka hati nurani mereka, tanpa proses ta'aruf yang sepatutnya. Andai sekali langkah tersasar, manusia cenderung menyalahi dan akhirnya fasa permulaan dalam membina jalinan ukhwah terlerai hanya kerana proses ta'aruf yang terbengkalai.

Berhentilah...
Berhentilah saudaraku daripada mengharap sesuatu yang tidak mampu dilakukan temanmu. Berhentilah saudaraku daripada menilai insan dari luaran, dan berhentilah saudaraku daripada mengharapkan kesempurnaan..

Terimalah Seadanya...
Andai kau rasakan, saudaramu tersasar dan jauh daripada sangkaan yang kau jangkakan, janganlah kau longgarkan pautan ukhuwah yang selama ini membahu gagah. Bukankah lebih baik andai kekurangan itu dibaiki bersama? Bukankah insan diajar agar saling menasihati? Peganglah erat tangannya kembali, dan tariklah sekuat hati agar ia kembali di atas landasan yang benar. Petahkanlah lidahmu untuk berbicara dari hati ke hati agar temanmu mengerti. Janganlah lidahmu pantas mengeji, tanganmu bebas menuding jari, dan kakimu luas melangkah pergi..

Mulia Hina Insan...
Adilkah untuk kita menilai manusia seindah pandangan yang hanya dizahirkan Tuhan pada sudut luaran semata? Dan layakkah kita untuk menyatakan mulia hina seorang hamba hanya pada suatu kemungkaran sedang mungkin seribu kebaikannya selepas ini kita abaikan?

Maafkanlah...
Maafkan aku kerana tidak berupaya menjadi insan sempurna seperti yang kalian harapkan. Maafkan aku kerana tidak mampu memberi sebanyak mana yang kalian mahukan.
Maafkan aku kerana dosa yang aku lakukan, lalu aku ditinggal sepi kerana aku sang pelaku dosa..tidak semulia insan lain. Aku hamba hina yang tak mungkin menerima amanah seberat ini..lalu barangkali arahanku tidak wajib kalian hormati.


Suci Sekeping Hati...
Namun, aku masih hamba Tuhan yang dikurnia sekeping hati. Yang sentiasa mengharapkan bimbingan Tuhan agar sentiasa sedar diri. Tuhan yang aku cintai, takuti dan rindui dalam suka dan duka tidak pernah meninggalkan aku walau sesaat..

Ukhuwah Fillah Lestari Selamanya...
Sahabat yang aku kasihi...terima kasih atas sokongan selama ini. Fasa perkenalan kita telah melayakkan kita bergelar usrah. Segala kelebihan dan kekuranganku kalian terima dengan hati yang terbuka. Bagaimana hitamnya diriku suatu masa dulu, kalian gilap bersama iringan doa dan bantuan agar aku tidak bisa berpaling lagi.. Mungkin aku tidak menjadi putih berseri, namun pudarnya warna hitam kelam bersama debu dosa yang aku kesalkan sedikit sebanyak memberi ruang agar jiwa dan nuraniku bernafas kembali..

Terima Kasih Tuhan.
Terima Kasih Teman.

Kerana aku insan biasa, semoga maafku diterima..

~Nur Ad-Durrah~
(Baiti Jannati)