Monday, July 7, 2008

Majlis Ilmu..

FORUM PELANGGARAN HAK -HAK MUSLIM DAN MELAYU



Kebelakangan ini telah timbul semula isu-isu yang menggugat kedudukan Islam dan kepentingan umat di negara ini. Isu-isu ini amat memerlukan perhatian dan penglibatan kita sebagai Muslim yang komited kapada agama Islam di Negara kita, Malaysia . Di antara isu-isu yang ditimbulkan ialah status Islam dalam Perlembagaan dan undang-undang negara (termasuk kedudukan Mahkamah Syari’ah), kes-kes yang dibawa ke mahkamah oleh kumpulan-kumpulan pendesak (Contoh: desakan untuk membolehkan penggunaan kalimat-kalimat Islam oleh agama-agama lain; kedudukan tanah wakaf; kes murtad, dsb.nya). Percubaan demi percubaan dilakukan supaya status dan martabat Islam di negara ini direndah dan dilonggarkan. Ada yang disuarakan secara lantang dan ada yang diusahakan secara halus oleh badan-badan agama bukan Islam di dalam dan luar negara. Antara usaha mereka ialah menyebarkan dakyah-dakyah mereka di kalangan umat Islam tempatan serta usaha-usaha mereka memperalatkan individu-individu Islam tertentu untuk kepentingan mereka. Berita-berita negatif terhadap Islam dan umat Islam di negara ini sudah semakin kerap disiarkan di saluran TV di luar negara, dan pelbagai media lain di negara ini.



Menginsafi keadaan ini, maka IMAN (Interactive Muslimah Association) berserta Alumni Universiti Islam Antarabangsa (Cawangan Malaysia) akan mengadakan forum bertajuk “Forum Pelanggaran Hak -Hak Muslim dan Melayu”. Forum ini akan menampilkan ahli-ahli panel yang terlibat secara langsung dalam menangani isu-isu ini, serta mereka yang berpengalaman dalam hal-hal yang menyentuh hak umat Islam di Malaysia. Semoga dengan wujudnya platform untuk menyuarakan kebimbangan umat Islam di Malaysia ini, maka kita akan dapat menyedarkan umat Islam di negara kita supaya bangun bergerak untuk menyelamatkan kesucian dan martabat agama Islam di negara Malaysia demi kemurnian Islam generasi akan datang.



Tarikh: 12hb Julai 2008, Sabtu

Masa:: 9.00 pagi

Tempat: Main Auditorium

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak







Panelis forum:

Dato’ Haji Mohd. Nakhaie Ahmad (Yang Di Pertua YADIM)

En. Zainur Zakaria (peguam, Pengerusi Peguam Pembela Islam)

Haji Yusri Muhammad (Presiden ABIM)

En. Abdul Rahim Sinwan (peguam)

Hj. Muzaffar Dato’ Mohamad (pakar Sejarah Kesultanan Melayu)

Dr. Kamar Oniah Kamaruzaman (Presiden IMAN)



Moderator: Puan Kamar Ainiah Kamaruzaman (Peguam)



Penganjur: IMAN, Alumni UIA (Malaysia), ASA – UIAM.



Pihak Penganjur akan mengadakan kutipan derma kilat untuk Tabung Urusan Umat bagi membantu para aktivis bergerak dengan lebih strategik dan berkesan. Sumbangan ikhlas saudara amat dialu-alukan demi Islam.



JEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI!

Sunday, June 22, 2008

Suara Hati Pelajar..






Deadly 'Buntal' Meal

I was a little bit shocked when I was reading the front cover of yesterday’s The Star newspaper ( June 21st 2008) entitled; ‘Deadly puffer fish meal’. The first question that popped out in my mind was, “can puffer fish be eaten?” Well, I’m so sorry for the family of two people that have died and also for the 34 other victims that are still suffering for food poisoning in Johor.

Puffer fish or ikan buntal is usually portrayed as a ‘cruel’ or ‘horrible’ fish ever in most animation artworks (movies, journals etc). So, these are some facts that other readers should know about this species of fish.

There are more than 120 species of puffer fish and most are found in tropical and subtropical ocean waters, but some species live in brackish and even fresh water. They are scaleless fish and usually have rough to spiky skin. All have four teeth that are fused together into a break-like form.

To humans, tetrodotoxin is deadly, up to 1,200 times more poisonous than cyanide. There are enough toxins in one puffer fish to kill 30 adults and there is no known antidote. The liver, gonads (ovaries and testes), intestines, and skin of puffer fish typically contain the toxin and puffer fish poisoning results from the ingestion of the flesh of certain species of puffer fish.

So, what are the symptoms of puffer fish poisoning?

Symptoms generally occur 10-45 minutes after eating the puffer fish poison and begin with numbness and tingling around the mouth, salivation, nausea and vomiting. All these symptoms may progress to paralysis, loss of consciousness, and respiratory failure, and can also lead to DEATH!

Is there any treatment for puffer fish poisoning?

1. Vomiting should be induced if the poisoned person is awake and alert and has eaten the fish within 3 hours.
2. The person may become paralysed. Artificial respirations may keep the person alive until medical attention in a hospital’s emergency department is possible.
3. Rapidly turn the person onto his side if vomiting occurs

We’ve been told that the Health Ministry had warned the public not to buy or eat puffer fish, which has been mostly sold in night markets across the state. The question is, why didn’t the ministry warn the public not to sell it?

“Our officers are monitoring premises and markets in affected areas, and we are stopping the sale of the fish anywhere it is found” the State Health department director, Dr. Mohd Khairi Yakub added. Oh, okay, they did that, alhamdulillah.

But yet still, why must all the sellers have the heart to sell puffer fish as if they didn’t know how they might kill other people just by selling it? Is there any other concrete reason from their side?Or, if the puffer fish is safe to be eaten, why must they play with such a risky thing that may lead toward even a murder? Or, is it about the price of the fish? Is puffer fish’s price much lower than other fishes? After drastic increase of the fuel price, is eating puffer fish can cut down their daily expenses?

Humm… anyone who has the answers, rise up your hands!!

P/s: hopefully this coming August, there’ll be no more such news of eating this fish!

Kematian...Sesuatu Yang Pasti!


“..Katakanlah ( wahai Muhammad); Nyawa kamu akan diambil oleh Malakul-Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)..”As-Sajdah;11

Aku teringat seraut wajah comel yang pucat lesu dan sedikit kekuningan, terbujur kaku di pembaringan beralaskan sehelai kain batik di ruang tamu rumahnya. Saat itu juga, seluruh ruang kediamannya itu dipenuhi oleh para manusia yang rata-ratanya berwajah muram kusam, malah ada sekolompok manusia yang menahan sendu-sedan, dan ku lihat air mata mereka tidak berhenti-henti mengalir.

“ Syahirah… anak Kak Shidah dah meninggal pukul 1.10 tengah hari tadi,”
suara mama yang berbaur kejutan itu masih terngiang-ngiang di fikiranku. Aku tahu mama sedih dengan berita pemergian anak rakan sepejabatnya yang baru sahaja lima tahun menikmati keindahan bumi milik Tuhan ini. Ku lihat jam menunjukkan tepat pukul 1.30 tengah hari. Masih baru lagi, getus hatiku.

“ Innalillahi waiina ilaihi raaji’uun. Arwah meninggal sebab sakit apa, ma?” aku cuba berlagak tenang, walaupun aku sedikit tersentak kerana sesaat sebelum mama mengkhabarkan padaku berita tersebut, aku baru sahaja berkira-kira untuk merancang sedikit perancangan tambahan berkisarkan kehidupanku sehingga ke usia 63 tahun. Pemergian anak kecil semuda itu benar-benar menggegarkan hatiku! Ya, kerana mana mungkin aku mampu bekira-kira sendiri setiap perancangan yang ku sediakan itu mampu ku capai andai sebenarnya maut hanya selangkah sahaja akan menghampiriku! Mungkin hari ini, anak kecil itu yang dijemput Khaliq, tetapi siapa tahu, esok lusa mungkin tiba giliranku?

“ Dia baru saja baik daripada demam campak. Tiba-tiba, semalam dia demam panas balik. Bila sampai di Damai Service Hospital, ( tmn melawati), doctor kata memang dah tak ada harapan… Kak Shidah pun cakap yang mata anak dia dari pagi tadi tak focus. Asyik melilau je mata hitam tu…” suara mama semakin perlahan. Sekali lagi, mama tidak dapat menyembunyikan keresahan yang terbuku di hatinya. Mama sendiri, adalah penghidap penyakit kanser serviks, tahap 3 yang kini, sel-sel kanser itu telahpun merebak ke bahagian hati. Seluruh tubuh mama kekuningan. Bahagian mata putih mama pun, turut sama kekuningan. Tanda-tanda jaundice ( kekuningan) yang terdapat pada tubuh badan mama sememangnya akibat daripada kegagalan hati, iaitu antara organ terpenting di dalam tubuh untuk berfungsi dengan baik. Mama mengeluh sahaja sedari tadi. Aku tidak tahu bagaimana untuk menenangkan mama. Mama pasti berkira-kira dialah sepatutnya yang dijemput Khaliq terlebih dahulu, tetapi nampaknya anak kecil ini yang lebih disayangiNya. Ku lihat mama sibuk menghubungi teman sepejabatnya yang lain untuk mengkhabarkan berita sedih itu.

“ Mama, kita nak pergi ziarah arwah?” tanyaku perlahan
“ Mestilah. Tapi ayah tak balik lagi. Nanti lambat pulak kita..” mama berkata perlahan. Kata ayah, insyaAllah, dalam pukul 2.00 pm, kami akan bertolak ke rumah arwah yang terletak di Taman Maluri. Aku pantas mengambil jubah dan tudung hitam milik mama untuk digosok. Mujur, semalam aku sudah pun menggosok dua pasang baju kurung dan jubah hitam untuk ku bawa pulang ke kolej. Maka dapatlah aku mengejar masa. Alhamdulillah, tepat jam 2.15 pm, kami berempat ( aku, ayah, mama dan naquiah) memulakan perjalanan. Dalam perjalanan, kami masing-masing tercari-cari lokasi sebenar rumah Kak Shidah. Beberapa minit kemudian, ekor mataku tertancap pada sebuah rumah yang dipenuhi oleh ramai lelaki berkopiah putih. Berduyun-duyun kereta tersusun di sepanjang Jalan Pertiwi. Lantas, aku maklumkan pada ayah, dan kami akhirnya tiba di rumah yang dimaksudkan.

Suasana sedih menyelubungi seluruh rumah Kak Shidah. Alhamdulillah, kami sempat sampai sebelum jenazah anaknya dikebumikan. Sewaktu itu, jenazah arwah baru sahaja selesai dimandikan. Entah mengapa, aku dapat duduk berdekatan dengan jenazah allahyarham. Jarak kami hanya kira-kira sedepa sahaja. Ku tenung dalam-dalam jasad yang kaku di hadapanku itu, sambil bibirku tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan rohnya. Ah, wajah dihadapanku itu sangat tenang sekali! Seolah-olah, arwah sedang tidur nyenyak dibuai mimpi. Ku kira, pasti saat itu rohnya berada dalam kebahagiaan yang hakiki. Anak kecil itu terlalu muda untuk menimbunkan beban diri dengan dosa yang menggunung tinggi. Bibir dan mata arwah sedikit terbuka, membuatkan hatiku semakin meruntun sayu. Alangkah bahagianya engkau, wahai anak kecil.. Pergimu menghadap Khaliq begitu mulia. Rohmu terlalu suci untuk disakiti dengan hukuman dan ‘azab Al-Qahar.

“ Beruntung Kak Shidah… Dia ada aset yang tak ternilai yang akan menyambutnya di pintu syurga nanti..”
aku bisikkan pada mama. Mama mengangguk tanda setuju. Dalam hatiku berdoa, agar aku juga dapat menjadi aset buat mama dan ayah seandainya mereka sudah tiada nanti.

Aset bagi orang paling kaya di dunia pasti bernilai berbilion-bilion ringgit dan inilah yang akan dibanggakan oleh pemiliknya. Semakin mereka kaya harta, semakin mereka berkuasa! Aset di akhirat pula boleh dilihat keberkatannya di dunia, tapi hasilnya hanya dapat dituai di akhirat sahaja. Maka, anak-anaklah harta kita yang tak ternilai. Andai kita mampu menjalankan perniagaan dengan baik, pasti pulangannya juga besar. Mereka inilah modal yang akan dipusing dan akan dilaburkan sebagai saham akhirat kelak. Sering sahaja aku mengingatkan diri ini dan juga adik-adikku, bahawa nasib mama dan ayah di mata Allah, bergantung kepada kami semua, dan inilah yang akan membanggakan mama dan ayah di padang masyhar nanti. Malah, bukan hanya mama dan ayah, tapi juga baginda Rasul s.a.w. Tanpa ku sedari, air mata ku turut sama bergenang. Mujur aku sempat untuk menyekanya daripada dibiarkan terus menitis.

Kini, tiba giliran ahli keluarga terdekat untuk mencium jenazah arwah sebelum dikapankan. Ramai kanak-kanak kecil, yang ku kira sepupu sepapat arwah memandang sayu ke arah arwah. Malah ada yang berkali-kali bertanya kepada ibu bapa mereka, ke mana arwah akan di bawa. Ada pula yang masih berlari-lari anak dan berhurau senda, kerana mereka sememangnya masih belum kenall, apa itu erti sebuah kematian. Kak Shidah dan suaminya ku lihat mencium pipi dan dahi jenazah arwah berkali-kali tanpa jemu. Sesekali, ku lihat suaminya mengurut perlahan bahu Kak Shidah agar bertenang, kerana bimbang kesihatan bayi di dalam kandungannya. Alhamdulillah, Allah itu Maha Adil. Kak Shidah sedang hamil tujuh bulan. Patah tumbuh hilang berganti. Mudah-mudahan, seorang lagi hamba dan khalifah yang bakal lahir kelak, akan mengisi semula ruang kosong di kamar hati ayah dan ibunya. Juga barangkali dapat menyambung perjuangan abangnya. Mungkin ia wirawan, atau mungkin juga ia wirawati. Namun buat permata ayah dan bonda, apa yang diharapkan pasti sang anak dapat menjadi insan yang berguna buat agama, ummat dan mampu membanggakan mereka saat bertemu Allah kelak. Kemudian, ku lihat seorang tua, ( dalam 80-an, barangkali) sedang memeluk kemas jenazah arwah. Cakap-cakap orang sekeliling, beliau ialah datuknya, yakni ayah kepada Kak Shidah. Ah, pasti dia juga tidak menjangkakan bahawa kematian ini akan berlaku. Pasti, dia berkira-kira sama seperti mama. Menjangkakan jika mengikut hukum alam, hanya si tua yang lazimnya meninggal dunia terlebih dahulu. Namun, inilah yang dimaksudkan oleh Allah, bahawa kematian itu sungguh hampir kepada anak Adam.

Aku termenung sebentar saat jenazah disembahyangkan oleh jemaah lelaki yang hadir. Jika aku punya masa dan kekuatan untuk menjadi aset bernilai buat ayah dan mama, alhamdulillah. Namun, suatu hati nanti, pasti aku juga akan berkahwin dan berkeluarga, dengan izin Allah. Jika aku yang menjadi mama buat anak-anakku kelak, apakah aku punya daya untuk mentarbiyyah mereka agar menjadi aset yang sama buatku? Adakah aku mampu untuk melahirkan zuriat yang cintakan Khaliq, cintakan baginda Rasul s.a.w dan cintakan kedua ibu ayah mereka? Adakah anak-anakku mampu untuk mendoakan kesejahteraan aku dan suami saat pergantungan kami berdua hanya pada amal soleh, sedekah jariah dan doa anak-anak soleh milik kami di akhirat nanti? Mampukah mereka menjadi soleh? Menjadi manusia acuan Al-Quran? Mampukah, aku dan suami mendidik mereka sebegitu rupa? Maha Suci Allah, kurniakanlah padaku, sahabat handaiku, dan kaum kerabatku kesenangan di dunia dan di akhirat.

Satu perkara yang pasti, aku tidak seharusnya membiarkan diri ini terabai daripada tidak berfikir tentang soal kematian. Kerana mungkin, saat artikel ini ku tebitkan di blog, telah terulis di Lauh Mahfuz, bahawa aku akan didatangi oleh Malaikat Izrael dan seterusnya meneruskan jalanan permusafiran di alam kedua selepas alam dunia fana. Juga, buat setiap langkah yang dicatur, aku harus mengambil kira seandainya maut yang akan mendahului, dan hanya dengan itulah, aku bisa melembutkan hati yang kian mengeras dan membatu. Cuma, bagaimana, bila dan di mana pengakhiran kehidupan ini, semua itu adalah di sebalik tabir rencana Khaliq. Sebagai hamba yang hina, aku bermohon belas ihsan milik Ar-Rahman agar pergiku menghadapNya nanti dalam dakapan iman dan pengakhiran yang baik. Agar pergiku, bersama-sama iringan doa yang tiada putus, dan semoga dipermudahkan segala-galanya.

“Anak-anak ayah, entah siapalah yang akan doakan ayah bila ayah mati nanti…” ujar ayah dengan sedikit getar pada nada suaranya sewaktu kami dalam perjalanan pulang.

Ayah, mama, selagi hidupku ini dalam jagaan kasih sayang Allah, selagi hayatku ini dalam lindungan hidayah Allah dan selagi umurku dalam keberkatanNya, insyaAllah, demi jiwa yang berada di dalam genggamanNya, akan aku berusaha menjadi anak yang solehah dan doaku senantiasa buat kalian berdua… bukan hanya aku, tetapi cucu-cicit kalian yang bakal lahir dari rahimku, semuanya sekali akan turut sama mendoakan kesejahteraan kalian! InsyaAllah. Tetapi, persoalan buat diriku, jika aku yang pergi dahulu, maka siapakah yang akan mendoakan kesejahteraanku? Ya Allah, mudahkanlah urusan dunia dan akhiratku...Ameen Ya Rabbal ‘Alamiin.

Wallahu’alam..

Sunday, June 15, 2008

Harapan Baru..Ameen Ya Rabbal 'Alamin

Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian.
Melainkan yang beriman dan yang beramal soleh..

Pejam celik, pejam celik tanpa aku sedari, cuti semester telah pun sampai ke penghujungnya. Hari ini, Ahad; 15 Jun 2008 merupakan hari pendaftaran bagi semester pertama, sesi 2008/09. Setelah hampir dua hari dua malam aku bersengkang mata mengemas segala keperluan, akhirnya aku tiba di perkarangan Mahallah Zainab Al-Jahsyi, Pusat Asasi UIAM tepat jam 4.32pm bersama-sama ayah, mama dan adikku, Naquiah. Sebenarnya, mata ini tidak dapat lelap sedari semalam lagi. Berbalam-balam kenangan yang mengisi kotak fikiranku. Segala macam peristiwa semenjak awal cuti bermula sehinggalah ke penghujungnya, semuanya tidak berhenti-henti mengisi lamunanku. Sungguh! Segalanya bagai mimpi sahaja!

Sepanjang 2 bulan permusafiranku di teratak indah yang didiami HEWI-HEWI PKPIM, juga sepanjang berjasa di bumi Anjung Rahmat, pelbagai perkara baru yang dapat aku pelajari!. Segala macam ilmu yang telah ku timba. Syukran buat Abang Hilmi, kerana tugasan yang diberikan. InsyaAllah, buku PKPIM akan siap tidak lama lagi. Sepanjang menyiapkan tugasan ini, alhamdulillah, ia telah membuka peluang untuk aku lebih memahami dasar perjuangan yang dibawa oleh PKPIM dan yang paling utama, dasar perjuangan Islam yang sebenar-benarnya. Juga,pengalaman bertemu dengan tokoh-tokoh intelektual dan para pemikir, seperti Abang Asyraf Wajdi, Prof. Wan Mohd Nor, Cikgu Sidek Baba, Nurul Izzah Anwar Ibrahim, para pejuang PERTIWI, para mujahidah NISA' (..dan ramai lagi yang pasti tidak mampu untuk aku catatkan di sini) pastinya tidak bisa luput daripada ingatan.

Permusafiran di bumi indah milik Khaliq ini pasti menuntut pengorbanan yang besar. Tidak mungkin jalanan ke syurga itu dihampar permaidani merah. Lalu, aku yakin, aku tidak seharusnya mengalah dan tidak seharusnya aku membiarkan diri terus sahaja dihantui bayangan mehnah yang gelap gelita. Aku seharusnya melangkah dan tidak mustahil untuk aku kembali berlari lalu berkejaran untuk menggapai nikmat yang dijanjikan Ar-Rahman! Apatah lagi beban mehnah yang terpaksa ku pikul ini, benar-benar merobek dan meluntur segala kekuatan yang ku bina selama ini. Pasti, tanpa iman di dada, aku mungkin bisa saja untuk terkulai layu lalu membiarkan saja syaitan ketawa riang. Lalu, hari-hari yang ku lalui, aku jalani dengan penuh yakin diri. Aku tidak seharusnya menangis, dan terus menyesali takdir Illahi yang telah sejak azali lagi tertulis di Lauh Mahfuz. Syukran buat dua orang insan yang benar-benar membantuku membina kembali kekuatan diri ini. Kalian benar-benar berjasa! Aku kira, inilah amal jariah kalian buatku dan doaku buat kalian, agar sentiasa dirahmati dan diredhai Allah..( you know who you are)

Di pejabat, alhamdulillah, kesibukan mengatasi masa yang ada. Sehinggakan minda tidak berupaya hendak memikirkan masalah yang bersarang di kepala. Terkadang itu, aku terpaksa ikut serta dalam tugasan di luar, untuk menyiapkan gerakerja temuramah dan menghadiri jemputan kem-kem ibadah mahupun pihak luar, sehinggakan pernah sekali aku terpaksa dan dipaksa memandu kereta manual milik SUA dari Damansara ke Gombak setelah hampir setahun lebih aku tidak menyentuh kereta manual! ( dah la kereta baru..subhanallah..betapa takutnya aku! bimbang kalau-kalau terjadi perkara yang tak diingini) Habis, kecut perut sahabat- sahabat yang lain. ( Maaf abg naim, abg kerol, lina..n...ustaz..ape tah..hu2..asif!) Huh, kenangan yang pasti membuatku ketawa sendiri memikirkan kelemahan diri! Riuh rendah teman- teman di pejabat juga kadang-kadang bisa membuatku tertawa! Uhh..memang benar lawak mereka menjadi! Lebih-lebih lagi bila geng Perak dan Sarawak bertemu..Ah, memang gamat dibuatnya! Loghat mereka, sedikit sebanyak dapat aku pelajari. Kadang-kadang penyamaranku menjadi! Alhamdulillah. Minda ini sebenarnya cepat benar menangkap pelajaran bahasa. Impianku, untuk belajar bahasa mandarin dan france suatu hari nanti. Ameen!

Dua bulan, menjadi penghuni Rumah HEWI, benar-benar mengajarku erti kehidupan. Saat segalanya perlu dikongsi, dan berjimat-cermat menjadi amalan utama kami berlima! Pulang saja dari pejabat, masing-masing riuh rendah, berebut-rebut menunding jari antara satu sama lain siapa yang akan menjadi tukang masak pada malam itu. Malamnya, biasalah...masing-masing sibuk dengan menelaah buku yang tersusun rapi di rak. Ada juga yang akan menjahit baju, dan ada yang akan berbual bicara mengenai aktiviti seharian yang baru sahaja berlalu. Paginya pula, masing-masing sibuk bersiap untuk ke pejabat seawal jam 7.00am selepas melelapkan mata sebentar usai solat subuh yang selalunya pada jam 6.00am. Dapur kami itu, sering aja berasap. Buat yang perlu punch card, kelam kabut dibuatnya! Buat kami aktivis PKPIM, masih boleh berlengah-lengah, tapi buat Kak Mariati, oh...pasti, dia yang akan awal ke pejabat! Kadang-kadang, tibanya 'mood' rajin memasak, habis satu sekretariat PKPIM dijamu kami! Ah...aku terlalu rindukan kalian dan pasti kenangan kita bersama akan terus segar di ingatan...=)

Buat teman-teman seperjuangan...jazakumullah atas sokongan yang tak berbelah bahagi. Sewaktu diri ini hampir-hampir sahaja rebah, sehingga pernah juga muncul rasa tidak akan bangun semula! Tapi, berkat kasih sayang Ar-Rahman, pertolonganNya hadir bersama-sama kalian. Betapa mulianya hatimu, wahai sahabat-sahabatku! ( Terima kasih tak terhingga; Athirah, Kak Ira, Aida, Lina, Imtinan, Fika, Dj, Ct, Mu'iz, Jijan) Tidak ketinggalan juga buat abang-abang dan kakak-kakak sepermusafiran yang benar-benar meringankan beban yang ditanggung. Rasanya, pasti aku tidak bisa berdiri tanpa belas ihsan kalian. ( Syukran; akhie naim, abg saifullah, abg hanif, abg kemey, abg zaidi, abg suhail, kak mariati, kak akmar, kak mila, kak asma, kak liza, kak zai, kak mija..)

Kini, aku tidak seharusnya menoleh ke belakang lagi! Aku perlu membina semula semangat yang kian pudar, dan aku yakin, aku pasti akan beroleh kejayaan. Membuka sebuah restoran yang bertemakan makanan yang menepati syarat-syarat piawai kesihatan sedunia, siap dengan khidmat kaunseling pemakanan-impianku! Dietician yang berjasa demi Islam tercinta- cita-citaku. Membuka sebuah taski buat para jundiy - amal jariah yang kuharap akan tercapai! ( saat sudah berkeluarga kelak, ape2pun kena minta izin suami juga)...Semoga, harapan baru dan doa ini, akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.. Ameen...

Saturday, June 14, 2008

JANGAN ANIAYA RAKYAT

PKPIM: Jangan aniaya rakyat
Jun 12, 08 1:21pm

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyifatkan kenaikan harga minyak sebagai satu penganiayaan kepada rakyat dan membebankan kehidupan mereka.

"Justeru, PKPIM menyeru kerajaan menimbang dan menilai semula keputusan menaikkan harga minyak tersebut," kata Setiausaha Agung PKPIM, Abdul Muntaqim Zulkipli.

Kerajaan telah menaikkan harga minyak petrol sebanyak 78 sen menjadi RM1.92 seliter manakala diesel dinaikkan RM1 menjadi RM2.58 seliter.

"PKPIM berharap harga minyak di negara ini dapat diturunkan ke paras yang munasabah dan sesuai dengan kemampuan rakyat seluruhnya, dan sesuai dengan status negara sebagai negara pengeluar minyak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, katanya, PKPIM berpendapat adalah amat tidak wajar untuk rakyat membayar harga minyak yang tinggi sedangkan harga minyak di negara-negara pengeluar minyak yang lain adalah jauh lebih rendah.

"PKPIM juga meminta pihak kerajaan dan badan-badan berkaitan yang lain agar membuat penilaian secara lebih terperinci terhadap langkah-langkah yang telah dicadangkan bagi mengurangkan bebenan kenaikan harga minyak kepada rakyat.

"Adalah mustahil kenaikan harga minyak tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan lain.

Kongsi hasil minyak

"Oleh sebab itu, di samping langkah-langkah yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan seperti pemberian rebet tunai kepada pengguna kenderaan, PKPIM juga berharap langkah-langkah lain yang releven, seperti menaikkan gaji dan elauan pekerja, memberi pendidikan percuma sehingga ke peringkat pengajian tinggi dan menghapuskan tol," katanya.

Menurutnya, suasana panik jelas kelihatan di merata tempat di seluruh negara pada malam harga minyak akan dinaikkan.

"Hal ini jelas membayangkan betapa rakyat begitu terkesan dengan kenaikan tersebut, terutama bagi rakyat berpendapatan rendah dan mempunyai ramai tanggungan," katanya.

Sebagai sebuah negara pengeluar minyak, tambahnya, seharusnya rakyat negara ini dapat bersama-sama berkongsi keuntungan dan hasil jualan minyak negara.

Sehubungan itu, Abdul Muntaqim berkata, PKPIM akan mengumpulkan cadangan dan pandangan mahasiswa untuk diajukan kepada kerajaan.

Untuk tujuan itu, katanya, PKPIM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mahasiswa menangani isu harga minyak.

Menurutnya, cadangan-cadangan yang sesuai akan diserahkan kepada kerajaan untuk diambil tindakan selanjutnya.