Friday, May 28, 2010

Basah Hati...


Buat kesekian kalinya dalam hari ini, hatiku kebasahan diiringi air mata yang mengalir laju, seakan tiada henti...

Patutlah...

Allah ilhamkan rasa rindu yang teramat pada emak di Kedah..
mahu telefon, tapi seolah-olah disekat-sekat..pelbagai urusan lain hadir merencatkan niat..
Patutlah..

Berdebar-debar hati ini sejak berhari-hari yg lalu...rupa-rupanya, emak tidak sihat..lelah dan asma yang akhirnya membawa kepada prediction doktor, "..Emak Sakit Jantung..."..perlahan suara emak kedengaran di corong telefon..tidak pernah aku dengar suara emak selemah ini..ya Allah, aku kerinduan pada seraut wajah bonda...yang membesarkanku selama 12 tahun lamanya..walaupun beliau bukanlah wanita yang melahirkan, tapi jerih peritnya yang membuatkan aku mampu berdiri sebagai seorang manusia...tidak dapat aku bayangkan kehidupanku tanpanya....


Ya Allah...aku mohon Kau lindungilah emak dalam kepenatan yang dilaluinya, dalam kesengsaraan yang Kau taqdirkan untuknya, dan hadirkanlah nikmat kesihatan yang berpanjangan dan peliharalah emak dalam rahmat dan kasih sayangMu..ameen..


---------------------------------------------------------------------------------
Pelangi Petang...

Suatu episod baru dalam kehidupan yang aku kira perlu untuk ditamatkan...sebelum lebih banyak hati-hati yang terluka...

Cemburu..
iya..memang itulah persoalan yang timbul, dan hari ini sememangnya persoalan yang aku timbulkan itu terbukti benar..
Barangkali ada pada tingkahku yang membuatkan ada hati yang terasa dan terluka, dan sebelum apa-apa berlaku, aku harus berundur dan belok ke simpang yang baru lalu teruskan langkah yang masih tersisa..


Buat sang pelangi indah...entahlah, semakin aku berlari jauh, semakin dekat ia di hati...tidak mahu parah di hati menjadi barah..pelangi itu sememangnya sudah dimiliki oleh dia yang lebih berhak memilikinya..Aku ini hanyalah picisan dan barangkali hanya sebagai salah satu fasa biasan cahaya buat pelangi agar terus kekal indah..

Sukakah aku pada pelangi?
Cintakah aku pada pelangi?
Sayangkah aku pada pelangi?
Jangan ditanya..kerana aku tidak ada jawapan...
Aku hanya hamba Khaliq yang lemah, dan berbekalkan sedikit harapan..

Aku hanya mahu pelangi kekal indah dan mengindahkan kehidupan manusia lain dgn warnanya..
Cuma, hatiku berbisik kata-kata berbaur doa pada Dia Maha Pemberi, andai pelangi ditakdirkan untukku, dekatkan aku pada hatinya, andai tidak, jauhkan kami sejauh-jauhnya..dan takdirkanlah apa yg terbaik untuk kami..



Hatiku juga berbisik pada Ar-Rahman, agar kata suka, kata cinta dan kata sayang hanya aku salurkan pada dia pemilik hatiku yang hak..suatu hari nanti.. Agar aku dapat kekal menjadi bidadari dihatinya kelak..

Wa asirru qaulakum awij haruu
bih..


Ya..sejauh manapun aku rahsiakan, aku tidak
mampu rahsiakan dari pengetahuan Penciptaku..dan hanya padaNya aku bergantung
harap..biarlah genta rasaku buat pelangi menjadi rahsia abadi antara hamba dan
Pencipta...(^_^)



Ya Allah..dan hatiku kebasahan sekali lagi, saat ini dan aku doakan selamanya..




Friday, January 22, 2010

Aku Pemburu PELANGI!

Sudah berapa lama laman ini aku biar bersawang. Lincah sang jemari mengorak tari pada papan kekunci sudah sekian lama terhenti. Maafkan aku wahai teman-teman setia yg sering berkunjung menjengah laman catatan permusafiranku yang tak seberapa ini. Sibukkah? Atau aku sang penyibuk? Pertanyaan yang sering aku tanya pada diri setiap malam sebelum mata ku pejam rapat, sebelum ruh diangkat sebentar dan meneruskan permusafiran keesokan harinya.


Rentetan permasalahan berkisarkan diri sendiri dan teman-teman menjadi rafik sejatiku sejak akhir-akhir ini. Begitu juga dengan jalan dakwah yang semakin berliku dan bersimpang siur, sehinggakan terkadang tidak kelihatan ombak besar yang mampu membuatkan bahtera dakwah kami karam dek kerosakan yang berlaku. Bahtera kami kini sudah berada di laut dalam...maka, ilmu dan segala kepakaran untuk mengemudi bahtera ini perlu dikuasai dengan sebaiknya. Alhamdulillah, berkat kesabaran...berkat toleransi dan kekuatan doa yang dipanjat kehadrat Illahi, juga dengan izinNya, gelora yang melanda kian tenang..dan berjaya kami lalui bersama-sama..

Ini juga padahnya apabila laman catatan permusafiran ini lama ku biar bersawang..terlalu banyak yang ingin dikongsikan sehingga tak termampu pula. Cukuplah sekadar untuk aku mengkhabarkan pada semua yang mengikuti permusafiran hamba Allah yg cukup-cukup hina ini, bahawa beliau, pemilik blog ini masih lagi bernyawa...dan masih lagi meneruskan sisa-sisa kehidupan dalam pengabdian diri kepada Tuhan. Beliau masih lagi setia dalam jambangan kasih Islam, masih lagi bertebaran menyampaikan seruan dakwah walaupun dalam suara yang sedikit kurang nyaringnya. Bicara langkahnya agak perlahan, derap tapaknya kadang-kala tidak kedengaran, cuma bayangnya sahaja yang masih lagi kelihatan. Pelbagai warna kehidupan diperlihat Tuhan pada permusafirannya sejak akhir-akhir ini. Warna cerah, warna kelam..semuanya berpadu..namun, percampuran warna-warna itu tidak bertukar menjadi hitam, tetapi telah dibiaskan Tuhan menjadi spektrum warna berupa PELANGI....


PELANGI..
Ada yang melihat pelangi dari sudut yang berbeza. Pelangi hanya muncul seketika..sesekali menjengah selepas hujan panas, menampakkan wajah nan indah. Tanpa cahaya, tetapi tetap berseri. Pelangi, barangkali hanya sebuah ilusi. Semakin cuba didekati, semakin jauh ia berlari. Bagai si majnun, kadangkala boleh hilang arah mencari kemana hilangnya pelangi, dan menanti bilakan ia muncul kembali..

Signifikasi pelangi dalam permusafiran kali ini, dijustifikasi pada indah rupanya. Keindahan yang dicipta Khaliq, dan berjaya menterjemah erti sebenar KEDAMAIAN yang dicari-cari selama ini. Damai hati saat melihat rona pelangi tidak dapat kuungkapkan dengan kata-kata. Pada ronanya aku temui kekuasaan Illahi. Pada ronanya juga aku temui makna kehidupan. Iya, permusafiran hidup ini sebenarnya cukup indah. Pelbagai warna kehidupan kita temui dalam setiap langkah. Kadangkala rona merah sesekali menjengah, saat diri dikuasai semangat membara. Adakalanya hati membungkam, kedinginan...sedingin lautan yang membiru...adakalanya juga emosi ceria menjingga, sehingga terpancar senyuman pada riak wajah. Bukankah indah namanya? Andaikata kehidupan hanya dipalitkan warna ungu, semuanya ungu. Gunung-ganang, lautan, hutan belukar, awan, dan langit kesemuanya berwarna ungu, maka terciptalah sebuah rekayasa kehidupan nan suram dan menjemukan!


PELANGI HATI...
Dalam mencari dan mendamba cinta Illahi, Allah catankan juga warna-warna pelangi yang dibiaskan pada kehadiran insan-insan sekeliling. Cukuplah untuk aku menyatakan, bahawa dalam permusafiran ini, aku sentiasa dibahu gagah oleh mereka-mereka yang tidak pernah jemu menabur bakti dan budi sama ada dalam bentuk pertolongan, nasihat, wang ringgit mahupun keringat tenaga. Semuanya bersatu atas nama cinta dan kasih sayang sesama insan. Doa dan sokongan padu merekalah yang membuatkan diri ini masih bisa berdiri, walaupun jatuh berkali-kali. Syukur padaMu Ya Allah, atas kurnia sebuah ukhuwah.

CINTA
Juga, telah diciptaNya sebuah pertemuan, yang aku kira antara sebahagian hadiah terindah yang dikurnia Ar-Razzaq. Kehadirannya menemukanku kembali dengan erti CINTA yang sebenar. CINTA ILLAHI CINTA ABADI CINTA HAKIKI! Bait katanya seringkali mengingatkanku pada tujuan utama kehidupan. Saat terlupa, dia menyedarkan. Saat terjatuh, dihulur tangannya agar aku bisa bingkas bangun dan meneruskan permusafiran. Saat sedih membungkam, dia antara pertama yang menceriakan. Namun, semua ini adalah pinjaman sementara Tuhan, diberikan hidayah melalui perantara yang budiman. Aku harus berpijak di bumi yang nyata, bahawa hadirnya dia saat ketika aku memerlukan, dan akan diambil Tuhan saat masa yang ditetapkan. Sekalung penghargaan buatnya kerana terus menerus berdoa, dalam kesudiannya memimpin langkahku yang terkadang bengkok. Ada ketikanya, aku harus cuba berdiri sendiri, kerana kesedaran bahawa dia juga punya acuan kehidupan yang harus diikuti. Bahawa dia juga akan mengorak langkah permusafirannya yang tersendiri. Bahawa suatu masa nanti langkah kami tidak seiringan lagi dan bahawa perpisahan akan tetap terjadi. Tuhan...semoga kurnia ini membuka sebuah laluan untuk aku mengintai indah syurga....



IMPIAN
Aku tidak punya impian khusus dalam permusafiran tahun ini. Apa yang mampu direncanakan ialah harapan agar diri ini sentiasa melangkah ke arah meraih redhaNya. Apa lagi yang diharapkan melainkan hadiah berupa ketenangan dari Tuhan? Apa lagi yang didambakan melainkan jannah sebagai destinasi pengakhiran? Dan hati akan terus memandu akal berbekalkan iman...


InsyaAllah...

Saturday, December 5, 2009

Aku Insan Biasa

Berlapang Dada...
Aku barangkali bukan insan terbaik untuk berbicara mengenainya. Kerana di mata manusia, aku insan hina. Biarlah..kerana aku mahu dinilai Tuhan. Berbekalkan sedikit ilmu di dada, yang hadirnya melalui nikmat hidayah kurnia Tuhan, aku berlapang dada. Ya, ilmuku cetek...tidak sama seperti barisan ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah di luar sana. Mana bisa aku dihormati...kerana aku pelaku dosa.. Ya, aku bukan manusia maksum. Namun, indahnya nikmat kurnia Tuhan, kerana cebisan sinar hidayah yang terpalit di lubuk hati bisa menerangi jalanan permusafiran kembaraku yang penuh liku.

Tafsiran Zahir...
Entah mengapa manusia suka mentafsir. Malah mengharapkan sesuatu yang tak mungkin bisa kita lakukan. Zahir insan ditilik, lalu diteka hati nurani mereka, tanpa proses ta'aruf yang sepatutnya. Andai sekali langkah tersasar, manusia cenderung menyalahi dan akhirnya fasa permulaan dalam membina jalinan ukhwah terlerai hanya kerana proses ta'aruf yang terbengkalai.

Berhentilah...
Berhentilah saudaraku daripada mengharap sesuatu yang tidak mampu dilakukan temanmu. Berhentilah saudaraku daripada menilai insan dari luaran, dan berhentilah saudaraku daripada mengharapkan kesempurnaan..

Terimalah Seadanya...
Andai kau rasakan, saudaramu tersasar dan jauh daripada sangkaan yang kau jangkakan, janganlah kau longgarkan pautan ukhuwah yang selama ini membahu gagah. Bukankah lebih baik andai kekurangan itu dibaiki bersama? Bukankah insan diajar agar saling menasihati? Peganglah erat tangannya kembali, dan tariklah sekuat hati agar ia kembali di atas landasan yang benar. Petahkanlah lidahmu untuk berbicara dari hati ke hati agar temanmu mengerti. Janganlah lidahmu pantas mengeji, tanganmu bebas menuding jari, dan kakimu luas melangkah pergi..

Mulia Hina Insan...
Adilkah untuk kita menilai manusia seindah pandangan yang hanya dizahirkan Tuhan pada sudut luaran semata? Dan layakkah kita untuk menyatakan mulia hina seorang hamba hanya pada suatu kemungkaran sedang mungkin seribu kebaikannya selepas ini kita abaikan?

Maafkanlah...
Maafkan aku kerana tidak berupaya menjadi insan sempurna seperti yang kalian harapkan. Maafkan aku kerana tidak mampu memberi sebanyak mana yang kalian mahukan.
Maafkan aku kerana dosa yang aku lakukan, lalu aku ditinggal sepi kerana aku sang pelaku dosa..tidak semulia insan lain. Aku hamba hina yang tak mungkin menerima amanah seberat ini..lalu barangkali arahanku tidak wajib kalian hormati.


Suci Sekeping Hati...
Namun, aku masih hamba Tuhan yang dikurnia sekeping hati. Yang sentiasa mengharapkan bimbingan Tuhan agar sentiasa sedar diri. Tuhan yang aku cintai, takuti dan rindui dalam suka dan duka tidak pernah meninggalkan aku walau sesaat..

Ukhuwah Fillah Lestari Selamanya...
Sahabat yang aku kasihi...terima kasih atas sokongan selama ini. Fasa perkenalan kita telah melayakkan kita bergelar usrah. Segala kelebihan dan kekuranganku kalian terima dengan hati yang terbuka. Bagaimana hitamnya diriku suatu masa dulu, kalian gilap bersama iringan doa dan bantuan agar aku tidak bisa berpaling lagi.. Mungkin aku tidak menjadi putih berseri, namun pudarnya warna hitam kelam bersama debu dosa yang aku kesalkan sedikit sebanyak memberi ruang agar jiwa dan nuraniku bernafas kembali..

Terima Kasih Tuhan.
Terima Kasih Teman.

Kerana aku insan biasa, semoga maafku diterima..

~Nur Ad-Durrah~
(Baiti Jannati)

Sunday, November 1, 2009

Mengapa PERJUANGAN Itu Aku Tinggalkan???

Berat hati untuk menulis, kerana semuanya mungkin berkisarkan marahnya aku pada diri sendiri. Retorikkah aku? Ya! Semuanya..segala-galanya retorik belaka. Alhamdulillah, kesedaran berputik saat aku mula sedar, erti sebenar sebuah perjuangan.

Saban hari, aku disajikan dengan kuliah-kuliah ilmiah yang benar-benar meninggalkan kesan di hati. Terutamanya kelas ulum hadith yang disyarahkan oleh Sheikh Abdul Razak Muthalib Ahmad dan Sheikh Muhammad Khairil Anuar. Ilmu musthola hadith yang aku pelajari nampaknya mampu memecah tembok keegoan aku dengan 'perjuangan'. Kononnya, aku mungkin bisa meneruskan perjuangan secara fardhiyah, lalu terus aku tinggalkan perjuangan secara berjemaah yang suatu masa dulu aku cintai dan aku yakini keberkesanannya dalam berdakwah.

Dalam ilmu musthola hadith, kami diajarkan method-method para ulama' hadith dalam menetapkan tahap kesahihan mahupun kedha'ifan sesuatu hadith. Bukan mudah untuk mengkategorikan beribu-ribu hadith tinggalan junjungan besar nabi kita, Rasulullah s.a.w. Pelbagai kaedah harus dipraktikkan dan semuanya memerlukan ilmu. Ilmu pula takkan bisa dimiliki andai perjuangan menuntut ilmu diabaikan. Ilmu tidak akan hadir dengan sendirinya. Perjuangan pula menuntut pengorbanan yang tinggi. Lihat saja pada kesungguhan Imam Al-Bukhari dalam usahanya mengumpulkan hadith-hadith sahih, beribu-riba batu jauh diredahnya walaupun hanya untuk bertanya, pernahkah fulan bin fulan (perawi hadith) bertemu dengan fulan bin fulan, demi untuk memastikan kesinambungan sanad.

Apa kaitannya ilmu musthola hadith dengan perjuangan yang aku lakukan selama ini? Pertamanya,
KESUNGGUHAN para ulama hadith terdahulu. Berkali-kali air mataku perlahan-lahan menitis saat ustaz menceritakan kesungguhan para ulama hadith dalam usaha mengkategorikan hadith. Bayangkan, betapa mudahnya kita saat ini, hanya bisa menelaah buku-buku dan kitab-kitab untuk memiliki ilmu. Keduanya, KETABAHAN para ulama hadith dalam menghadapi cemuhan para pencabar. Bayangkan, suatu masa dahulu pernah diadakan satu majlis khas untuk mencabar kesahihan hadith-hadith yang dikumpulkan oleh Imam Al-Bukhari, dan hasilnya Imam Al-Bukhari berjaya menjawab kesemua soalan-soalan yang diberi.

Ketiga, KETEGASAN mereka dalam membanteras hadith-hadith dha'if dan maudhuk yang dilakukan oleh para penipu dan penyeleweng. Para penipu ini sebenarnya tidak sedar bahawa yang ditipu mereka ialah Rasulullah s.a.w dan mereka telahpun sebenar-benarnya menempah tempat sebagai ahli neraka. Terakhir, KECINTAAN mereka terhadap Allah dan Rasul. Bukti cinta dan kasih mereka diterjemahkan pada ketulusan dan kecekalan mereka dalam mendalami ilmu Allah dan seterusnya usaha mereka ini secara tidak langsung telah menyediakan suatu landasan ilmu yang lurus, dan telah tersedia untuk dilalui oleh umat kini.

Pentingkah KESUNGGUHAN, KETABAHAN, KETEGASAN, dan KECINTAAN dalam sebuah perjuangan?

1. Kesungguhan
Tanpa kesungguhan, aku tidak mungkin akan terus istiqamah. Tanpa kesungguhan, mustahil untuk aku memberikan yang terbaik. Kesungguhan akan membuahkan hasil yang benar-benar menakjubkan andai tawakkal diiringi bersama. Hangat-hangat tahi ayam dalam menunaikan tanggungjawab dakwah tidak akan berlaku andai kesungguhan terpahat di hati para da'ie. Bukankah energi kesungguhan dapat dicas andai dakwah dilakukan secara berjemaah? Bukankah doa dan sahabat dan teman seperjuangan yang selama ini membahu gagah? Lalu kesungguhan tertancap pada api semangat yang membara, membakar agar perjuangan diteruskan!

2. Ketabahan
Perjalanan menuju ke syurga tidak dihamparkan permaidani merah untuk para da'ie melaluinya. Malah liku-liku kehidupan yang harus ditempuhi hanya dipenuhi onak dan ranjau berduri. Aku perlu menganyam cekal dan tabah dalam perjuangan agar tidak terjerat dek perangkap duniawi. Lantas, siapakah yang akan membisikkan kata-kata yang menenangkan saat diri tersungkur, rebah dan barangkali luka parah dan sukar untuk aku untuk bingkas bangun. Sadiq..aku yakin, kesatuan hati yang lahir dari ukhuwah islami adalah tunjang. Mana mungkin akan aku nikmati semua ini andai berseorangan?

3.Ketegasan
Hati perli dididik dengan tegas. Tiada ruang yang harus diisi oleh nafsu pada sekeping hati yang ingin mencari redha Illahi. Namun, untuk menjadi manusia maksum, adalah mustahil! Tetapi, untuk meletakkan diri pada alasan itu, lalu tiada daya upaya untuk berusaha menepis bahana nafsu yang menggila adalah dosa yang nyata. Mendidik hati dan merawat jiwa adalah tanggungjawab wajib untuk mereka yang bergelar da'ie. Muhasabah perlu untuk aku jadikan teman setia, dan apa yang pasti, koreksi diri hanya mampu dilakukan oleh pandangan mata hati teman-teman dan rafiq yang mengenali diri ini. Di mana mampuku cari mereka-mereka ini andai lapangan dakwah berjemaah tidak aku jejaki?

4.Kecintaan
Cinta Illahi dan cinta Rasul s.a.w adalah cinta agung yang perlu dipasakkan ke dalam lubuk hati, agar semua amalan dan perbuatan tidak berlandaskan nafsu semata. Tanpa kecintaan yang utuh, tidak akan lahirlah ikhlas dalam beramal. Tanpa ikhlas, mana mungkin amalan diterima. Pongkok pangkalnya adalah hati. Menyubur kasih suci berteraskan keikhlasan pasti terasa payah andai usaha menyemai benih cinta tidak dilakukan. Amalan meningkatkan iman dan taqwa harus berlangsung dengan berterusan, dan pasti andai dilakukan bersama sadiq yang punya matlamat yang sama, akan membuahkan benih kecintaan yang tulus suci.

"..Ya Allah, pasakkanlah hatiku dengan semangat juang yang terus teguh berdiri, demi menjulang panji kebenaran, agar tertegak kalimah tauhidMu, menewaskan yang batil, membenarkan yang hak, dan tautkanlah hati-hati kami, agar terus saling membahu gagah.."

Saturday, September 19, 2009

Salam Lebaran...



salam aidilfitri buat semua... blog ini akan di'update' insyaAllah pada minggu depan..ya? Buat semua pengunjung setia, para pembaca, sahabat-sahabat, dan sanak saudara, semoga beroleh keampunan dan kemenangan di Aidilfitri..

salam lebaran..
salam penyucian..
salam kemenangan..

~Nur Ad-Durrah~
Baiti Jannati
29 Ramadhan 1430H
9.28am

Friday, September 18, 2009

Indahnya Dalam 'Genggaman' Usrah...

sebahagian dari mereka..

Seringkali rasa sayu ditiup Tuhan ke dalam lubuk hati sejak akhir-akhir ini. Entah mengapa, aku pun tak tahu. Sayu yang tidak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata.

abg hakim dan abg suhail

Langkah mencari malam al-Qadr diperhebat. Alhamdulillah, kepulangan sahabat yang lebih dekat di hati sebagai seorang abang dari Guangzhou, China membuka ruang untuk aku menikmati malam terakhir ramadhan dengan beriktikaf di masjid. Abang Suhail, serta beberapa sahabat-sahabat GPTD yang lain mempelawa aku untuk turut serta berbuka di Kolej Legenda,Mantin pada malam Jumaat lepas, bersamaan dengan malam ke-21 ramadhan. Pada malamnya, kami beriktikaf dan menjalani ibadah malam di masjid As-Syakirin, KLCC. Pagi esoknya, kami ke Putrajaya untuk beberapa urusan persatuan dan sekali lagi, Allah melapangkan ruang masa untuk kami beriktikaf di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin ataupun lebih dikenali sebagai ‘Masjid Besi’.

"..Di sini juga, ‘2 orang pemuda’ yang hatinya terikat dengan masjid, men’syahid’kan diri mereka. Seorang lagi pula bertungkus lumus menyiapkan ‘kelengkapan’ pasukan ‘bala tentera’ dan seorang lagi berjuang menelaah kitab-kitab untuk bersiap sedia bertempur di ‘medan perang’ peperiksaan mid term yang akan berlangsung pada keesokan harinya.."

Sayunya hati sepertimana yang aku catatkan tadi sebenarnya telah aku jumpa sebabnya. Rupa-rupanya, aku merindui ukhwah bersama mereka-mereka ini. Ukhwah yang hanya terjalin tahun lepas, tetapi memberi impak yang cukup-cukup mendalam buat diriku. Sewaktu tibanya aku di hostel, tidak semena-mena air mataku mengalir. Abang Suhail sudah berada di China selama 7 bulan, dan selama 7 bulan beliau di sana, selama itu jugalah aku tidak bertemu dengan sahabat-sahabat GPTD yang lain, terutamanya Abg Najmuddin,Abg Hakim, Abg Shazni, Kak Nadzifah, Kak Puteri dan Kak Jihan..

"..Bertemu Abang Suhail membuatkan hati berasa sangat gembira, namun, dalam masa yang sama sayu hati mengingatkan aku bahawa wajah si kakak yang juga sudah lama aku tidak bersua muka.."

abg suhail dalam siri jelajah kampusnya..

Selama 7 bulan ini, aku banyak menghabiskan masa dengan menelaah pelajaran dan beberapa aktiviti PKPIM sahaja, dan pastinya ruang untuk bertemu sahabat GPTD sedikit terbatas. Kakak agak busy dengan praktikal dan projek semester akhirnya, Kak Puteri pula di Jordan. Akhirnya tinggallah Kak Jihan yang sangat-sangat bersemangat dan bertahan walaupun dalam payah. Maafkan aku kakak2 dan abang2…masa dan tangungjawab sangat sempit untuk aku menjadi aktivis seperti dahulu. Tiada satu usrahpun yang dapat aku hadirkan diri, kerana ruang masa yang terhad. Apa yang aku harapkan ukhwah kita kekal selamanya…

"..Entah mengapa Allah wujudkan rasa indahnya ukhwah dan usrah bersama mereka-mereka ini. Kalau bersama teman batch, aku merasai keindahan berteman dan bersahabat, namun saat bersama mereka, aku merasai indahnya berkeluarga.."

sahabat batch..

Sungguh! Teringat sewaktu ke MPAT PKPIM baru-baru ini, aku terjumpa Abang Hakim. Waktu itu, hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya aku kerana melihat Abang Hakim, seolah-olah sebagai wakil abang2 dan kakak2 yang lain. Di kolej pula, ingatan terhadap usrah ini tidak terabai kerana aku diamanahkan agar menjaga dan tengok-tengokkan Yana, adik kepada Abang Najmuddin. Abang Suhail pula selalu meng’update’ perihal dirinya di dalam blog, dan kadang-kadang kami berbual melalui YM. Sebab itulah, hati ini sayu saat bertemu abang2..kerana rindunya aku pada kakak2 yang belum terlunas!

Dan akhirnya…rinduku terubat jua. Malam selasa lalu, aku ber’sms’ dengan kakak sehingga ke tengah malam. Keesokannya, selepas subuh, aku ber’sms’ pula dengan Kak Jihan, dan tengaharinya pula aku berbual dengan Kak Puteri. Alhamdulillah, syukur kerana Allah memberi ruang untuk aku memohon maaf pada mereka kerana jarang bertanya khabar… Syukur Ya Allah.

Apa yang pasti, Kembara Raya tahun ini insyaAllah aku ingin berkumpul bersama mereka seperti tahun sebelumnya. Indahnya berada dalam ‘genggaman’ usrah…walau beribu batu memisahkan, walau sesempit mana pun ruang sebuah pertemuan, apa yang penting ialah nilai sebuah ingatan. Semoga jalan dakwah kita terus bersinar..dan semoga Allah lorongkan hati kita untuk sentiasa berbuat kebaikan..

Buat abang suhail dan kakak, semoga urusan menuju gerbang perkahwinan dipermudah olehNya. Kesian abg Suhail kt China sorang-sorang..tahun depan insyaAllah berdua kan? Kakak pun kena buat banyak persiapan sebenarnya kan? Bukan mudah nak jadi sayap kiri orang hebat macam abang suhail..huu..=)

Buat abang din, semoga berbahagia di samping isteri dan ‘Ammar tercinta.InsyaAllah, syira akan jaga Yana baik-baik.. Buat Abg Shazni, hoho..semoga menjadi exco yang terbaik!!! Kena generate balik ni usahasama GPTD dengan PKPIM..Buat Abg Hakim…huuu..banyak betul buat salah dengan abg hakim nih..iaitu, menjadikan cd adobe photoshop miliknya sebagai harta persendirian..walaupun sebenarnya, cd tu takleh guna pun untuk install…raya ni, time datang beraya di rumah, syira pulangkan ye!

kak puteri sebelum berlepas ke Jordan..

Buat kak jihan…huu…stay maintain kak! Akak murabbi kami di IIC kan..bila nak mai jenguk kami…=) dan…notes badi’uzzaman al-nursi tu tak jumpe kak..betul-cari dah tu..tak tau kat mana…tapi takpe, usaha mencari masih sedang giat dijalankan..insyaAllah, ada tu!Kak Puteri @ kak wawa...semoga bertemu tok arab yang best2 dan mantap ye..huuu..akak akan tetap jadi qudwah syira..dari iic ke jordan..hmm..insyaAllah, akan menyusul selepas ni..(tapi abg suhail kate nak mintak syira g china..dia nak cari orang china untuk syira..ngee..)