
Rentetan permasalahan berkisarkan diri sendiri dan teman-teman menjadi rafik sejatiku sejak akhir-akhir ini. Begitu juga dengan jalan dakwah yang semakin berliku dan bersimpang siur, sehinggakan terkadang tidak kelihatan ombak besar yang mampu membuatkan bahtera dakwah kami karam dek kerosakan yang berlaku. Bahtera kami kini sudah berada di laut dalam...maka, ilmu dan segala kepakaran untuk mengemudi bahtera ini perlu dikuasai dengan sebaiknya. Alhamdulillah, berkat kesabaran...berkat toleransi dan kekuatan doa yang dipanjat kehadrat Illahi, juga dengan izinNya, gelora yang melanda kian tenang..dan berjaya kami lalui bersama-sama..

Ini juga padahnya apabila laman catatan permusafiran ini lama ku biar bersawang..terlalu banyak yang ingin dikongsikan sehingga tak termampu pula. Cukuplah sekadar untuk aku mengkhabarkan pada semua yang mengikuti permusafiran hamba Allah yg cukup-cukup hina ini, bahawa beliau, pemilik blog ini masih lagi bernyawa...dan masih lagi meneruskan sisa-sisa kehidupan dalam pengabdian diri kepada Tuhan. Beliau masih lagi setia dalam jambangan kasih Islam, masih lagi bertebaran menyampaikan seruan dakwah walaupun dalam suara yang sedikit kurang nyaringnya. Bicara langkahnya agak perlahan, derap tapaknya kadang-kala tidak kedengaran, cuma bayangnya sahaja yang masih lagi kelihatan. Pelbagai warna kehidupan diperlihat Tuhan pada permusafirannya sejak akhir-akhir ini. Warna cerah, warna kelam..semuanya berpadu..namun, percampuran warna-warna itu tidak bertukar menjadi hitam, tetapi telah dibiaskan Tuhan menjadi spektrum warna berupa PELANGI....

PELANGI..
Ada yang melihat pelangi dari sudut yang berbeza. Pelangi hanya muncul seketika..sesekali menjengah selepas hujan panas, menampakkan wajah nan indah. Tanpa cahaya, tetapi tetap berseri. Pelangi, barangkali hanya sebuah ilusi. Semakin cuba didekati, semakin jauh ia berlari. Bagai si majnun, kadangkala boleh hilang arah mencari kemana hilangnya pelangi, dan menanti bilakan ia muncul kembali..
Signifikasi pelangi dalam permusafiran kali ini, dijustifikasi pada indah rupanya. Keindahan yang dicipta Khaliq, dan berjaya menterjemah erti sebenar KEDAMAIAN yang dicari-cari selama ini. Damai hati saat melihat rona pelangi tidak dapat kuungkapkan dengan kata-kata. Pada ronanya aku temui kekuasaan Illahi. Pada ronanya juga aku temui makna kehidupan. Iya, permusafiran hidup ini sebenarnya cukup indah. Pelbagai warna kehidupan kita temui dalam setiap langkah. Kadangkala rona merah sesekali menjengah, saat diri dikuasai semangat membara. Adakalanya hati membungkam, kedinginan...sedingin lautan yang membiru...adakalanya juga emosi ceria menjingga, sehingga terpancar senyuman pada riak wajah. Bukankah indah namanya? Andaikata kehidupan hanya dipalitkan warna ungu, semuanya ungu. Gunung-ganang, lautan, hutan belukar, awan, dan langit kesemuanya berwarna ungu, maka terciptalah sebuah rekayasa kehidupan nan suram dan menjemukan!
PELANGI HATI...
Dalam mencari dan mendamba cinta Illahi, Allah catankan juga warna-warna pelangi yang dibiaskan pada kehadiran insan-insan sekeliling. Cukuplah untuk aku menyatakan, bahawa dalam permusafiran ini, aku sentiasa dibahu gagah oleh mereka-mereka yang tidak pernah jemu menabur bakti dan budi sama ada dalam bentuk pertolongan, nasihat, wang ringgit mahupun keringat tenaga. Semuanya bersatu atas nama cinta dan kasih sayang sesama insan. Doa dan sokongan padu merekalah yang membuatkan diri ini masih bisa berdiri, walaupun jatuh berkali-kali. Syukur padaMu Ya Allah, atas kurnia sebuah ukhuwah.

CINTA
Juga, telah diciptaNya sebuah pertemuan, yang aku kira antara sebahagian hadiah terindah yang dikurnia Ar-Razzaq. Kehadirannya menemukanku kembali dengan erti CINTA yang sebenar. CINTA ILLAHI CINTA ABADI CINTA HAKIKI! Bait katanya seringkali mengingatkanku pada tujuan utama kehidupan. Saat terlupa, dia menyedarkan. Saat terjatuh, dihulur tangannya agar aku bisa bingkas bangun dan meneruskan permusafiran. Saat sedih membungkam, dia antara pertama yang menceriakan. Namun, semua ini adalah pinjaman sementara Tuhan, diberikan hidayah melalui perantara yang budiman. Aku harus berpijak di bumi yang nyata, bahawa hadirnya dia saat ketika aku memerlukan, dan akan diambil Tuhan saat masa yang ditetapkan. Sekalung penghargaan buatnya kerana terus menerus berdoa, dalam kesudiannya memimpin langkahku yang terkadang bengkok. Ada ketikanya, aku harus cuba berdiri sendiri, kerana kesedaran bahawa dia juga punya acuan kehidupan yang harus diikuti. Bahawa dia juga akan mengorak langkah permusafirannya yang tersendiri. Bahawa suatu masa nanti langkah kami tidak seiringan lagi dan bahawa perpisahan akan tetap terjadi. Tuhan...semoga kurnia ini membuka sebuah laluan untuk aku mengintai indah syurga....

IMPIAN
Aku tidak punya impian khusus dalam permusafiran tahun ini. Apa yang mampu direncanakan ialah harapan agar diri ini sentiasa melangkah ke arah meraih redhaNya. Apa lagi yang diharapkan melainkan hadiah berupa ketenangan dari Tuhan? Apa lagi yang didambakan melainkan jannah sebagai destinasi pengakhiran? Dan hati akan terus memandu akal berbekalkan iman...

InsyaAllah...











