Cita-citaku, Islam gemilang.. Cita-citaku daulatnya berulang Cita-citaku Islam cemerlang Cita-citaku Islam tinggi menjulang
-Nadamurni-
Bait lagu ini, menjadi lagu kegemaranku saat diri ini mula dilitupi kabut hitam penyakit wahan sehingga terkadang membuatkan aku terlupa bahawa hakikat kecintaanku sepatutnya aku salurkan buat Allah dan Islam.
Allah swt Tuhanku, Islam agamaku, Muhammad s.a.w rasulku..nah, apa lagi yang sepatutnya aku kejar dalam hidup ini? Pointer 4.00? Best student setiap semester? Tetapi kemana gerakerja dakwah yang aku kejar selama ini? Kemana susah payah, keringat yang menitis kerana jihad, sakit kepala yang menyerang kerana memikirkan masalah umat, KEMANA semua itu pergi???
"Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku... Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (1969-2009)
Merdu lafaz syahdu jiwa pun merindu Merakam rasa kalbu gemersiknya lagu Angin kota cahaya bertiup berarakpincang meredah maya Hanya untuk DIA Bangkit segar seirama Meluruskan rentak safnya Riuh rendah basah lidah Kalam wahyu mewangi di taman..
Bait lagu ini, teman rapatku sewaktu aku menelaah pelajaran selain daripada alunan kalamullah, kerana ruh lagu ini membuatkan aku sangat bersemangat untuk berjaya. Rentak dan iramanya membuatkan jiwaku berbunga...lantas semangatku dipulihkan, dan aku akan terus menelaah sehingga letih. Suara merdu Arwah Ustaz Asri memang menjadi pilihanku. Terima kasih sahabatku Mu'izuddin Mustaffar dan Imtinan Baharudin kerana memperkenalkan Rabbani dan Nadamurni untukku. Kalau 'travel' bersama Mu'iz, memang menjadi pilihannya lagu-lagu nyanyian mereka.
Bacalah, Sebutlah dengan nama Tuhan Yang MenciptakanSegala kejadian di duniaBacalah,Tulislah dengan PenaWahyu yang diutuskan Risalah kemenangan untuk insan..
Satu persatu wajah sahabat-sahabat saf kepimpinan menjelma. Aduh Ya Allah..aku rindukan perjuangan dulu..ya Allah, izinkan untuk aku kembali menjadi hamba yang terpilih untuk berada dalam jalan jihadMu, Tuhan.
Sebenarnya, aku cemburukan arwah Ustaz..pemergian beliau seolah-olah sama seperti arwah Nabil. Malam jumaat dalam bulan yang mulia dan penuh keberkatan. Hanya beberapa hari menjelang Ramadhan. Kedua-duanya pergi dalam keadaan mereka rindu bertemu Pencipta. Mereka cukup-cukup bersedia!
"Qura'n mana Qur'an? Saya kena baca Qur'an pagi ni.."" Allah!!!.."
Itulah kata-kata terakhir arwah menurut sahabatnya, sebelum rebah di RTM 10 minit sebelum bermulanya pelancaran program SYAHADAH pagi semalam, kira-kira jam 11 am, 13/8/09. Ini pesan arwah, sehari sebelum kejadian sewaktu mereka berkumpul bersama-sama pada petang hari Rabu, 12/8/09.
Persembahan yang sangat dirindui arwah..Inilah dakwah
"Kita semua kena berkumpul petang ini jugak..lepas ni semua dah sibuk.." "Walaupun kita dah sampai ke tahap ini, kita kena kemaskan ibadah kita..kemaskan sedeqah kita.."
Hari ke hari, semakin ramai teman ku berkahwin. Hari ke hari, semakin ramai teman kenalan taulan ku meninggal. Antara alam perkahwinan dan alam perkuburan. Antara suatu Sunnah Rasulullah dan sunnatullah. Antara dua malam pertama yang berbeza. Antara pilihan dan kepastian. Aku memilih kepastian. Manusia datang dan pergi. Hidup suka dan duka. Hidup ini suatu ketentuan. Mati itu satu kepastian. Coraklah kehidupan kita supaya indahnya kematian kita. Masih ada waktu untuk kita menentukan cara kematian kita. Corakkanlah dari sekarang. Setiap amalan kita bergantung kepada pengakhiran dan penamat kita. Matilah dalam berusaha dan bekerja.
Ya, benar sahabat. Mati itu benar.. Saat ini, aku terkenangkan wajah comel ini,
Hamdi Rabbani
Sahabat akhwatku di luar sana, siapakah di antara kalian yang sanggup untuk membesarkan anak-anak tanpa perhatian seorang insan bergelar suami dan ayah? Namun, ingatlah bagi kalian, yang telah bergelar isteri dan ibu, kita tidak mengetahui, apakah nasib kita kelak. Bersedialah untuk menerima takdir Allah. Ada yang kehilangan suami, ada yang kehilangan anak.. Namun, sedarlah, dalam matlamat perkahwinan, perlu diambil kira, andai salah seorang pergi dulu, redhakanlah. Jadilah kalian isteri yang sentiasa membakar semangat jihad suami, dan ibu yang sentiasa memupuk semangat jihad buat anak-anak. Doakan agar kesemua mereka syahid di jalan Allah..
Pengacara :tugas hanya merapu dan mengajak peserta merapu bersama mereka Peserta : membiarkan mereka dimerapukan oleh pengacara serta produksi siri realiti ini!
contoh acara merapu : membiarkan pengacara mencabut bulu hidung di khalayak ramai (pasaraya) dan ditonton seluruh Malaysia. Harga bagi setiap bulu hidung yang dicabut, RM10 mungkin. Jadi, ada yang mendapat RM50 untuk aksi ini.
Gambar ini menunjukkan penggambaran di sebuah pasaraya terkemuka di Kuantan. Para peserta yang rata-ratanya terdiri daripada pelawat perlu memakai rambut palsu dan menunjukkan aksi 'rock kapak' terbaik! Inikah ajaran Islam??
"Awek sape tu..?? Langgani wajah awek cun di HP anda. Pasti ramai yang cemburu! Type ON AWEK dan hantarkn ke xxxx SEKARANG! Hidup pasti indah dengan awek cun baru setiap hari!"
--------------------------------------------------------------------------------------------------- Benarkah kita masih terjaga??? Benarkah dakwah kita masih berbisa?? Adakah fenomena ini hanya biasa-biasa??
Situasi satu: BANG BANG BOOM (tv3) dan situasi 2: mesej dari 68xxx..Apa peranan kita?? Saya buka isu ini kepada umum untuk beri pendapat dan cadangan bernas anda. Ingat ya, BERNAS, bukan MERAPU.
p/s: Teksi pun dah merapu. Tambang naik mengGILA. Kalau dari UIA-Tmn Melawati dulu RM6, kini RM12!
Aku meletakkan tangan pada dahi Adam..Ya Allah!! PANASNYA! Macam mana ni. Ayah tak ada di rumah..
"Adik makan ubat k? Makan panadol petang tadi k?"
"Tak nak..kite tak nak ubat biji.."
Aku mulai risau. Mata semakin berpinar menahan rasa mengantuk. Aku sangat-sangat keletihan..Tetapi, memikirkan Adam, aku sangat risau. Badannya panas sungguh. Pasti lebih 38Celcius. Adam tidak mahu bangun. Dia asyik merengek-rengek saja. Pasti dia juga mengantuk dan keletihan. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk memeluk Adam, mudah-mudahan supaya sedikit haba dari badannya dapat dialirkan padaku, dan dia berpeluh.
Tanpa sedar, air mataku mengalir. Kesian adik. Kenapa la bukan kakak yang rasa sakit ni..kenapa adik.. Aku usap-usap kepala Adam lembut sampai la kami tertidur semula. Namun, Adam kerap terjaga, dan setiap kali terjaga itu, dia akan merengek dan merintih kesakitan.. Aku menasihati Adam agar bertahan sehingga selepas subuh untuk pergi ke klinik berdekatan. Tepat jam 7.30am, aku dan Along membawa Adam ke klinik..
"Ini demam kamu yang tertinggi tau. 40 darjah celcius. Hari ini mesti mau pergi hospital ya! Kamu kena check darah.." kata doktor.
"Kak iah..kite tak nak pegi..kite tak nak cucuk.."
"Kene la pegi dik..camne nak sembuh camni.."pujukku.
"Okay, kalau hari ni tak mau pergi, esok pagi-pagi you kena datang semula, demam atau tak demam. Kita memang kena refer HKL, Hospital Selayang atau Hospital Sungai Buloh, ok!" tegas doktor lagi.
"Ini budak berapa umur? Sudah besar mesti makan ubat biji. You jangan kasi manja anak-anak dgn adik-adik tau. Kalau mau hidup, mesti makan ubat! " kali ini dalam nada yang cukup-cukup tegas. Aku terkesima. Aku pandang Adam yang semakin muram.
"Ok doktor, thank you aa..we'll come again tomorrow. Jom adik.."
Selesai semuanya, aku ke bilik rehat, memeriksa keadaan Adam dari semasa ke semasa. Sekali lagi, aku tidak dapat menahan sebak. Air mataku mengalir lagi.. Adik, cepatla sembuh...terseksa kakak tengok adik tidur macam ni... Ya, aku sangat-sangat terseksa. Aku merasakan apa yang aku buat serba tidak kena. Aku risaukan keadaan Adam.
sayang kakak..semoga beroleh kesihatan..Ameen
Alhamdulillah, Adam tidak mati selera makan, Cuma, jumlah makanan yang diambil agak sedikit. Lega melihat Adam tidak ada masalah menelan ubat biji. Selepas selesai semuanya, Adam tidur semula. Aku pula bergegas menyiapkan bubur nasi untuk Adam makan tengahari, di makan bersama Ayam Masak Halia, agar Adam mendapat semua zat-zat penting. Cukup lengkap. Bubur yang punya sedikit ubi kentang, dan hirisan ayam kecil, mudah-mudahan mampu memberi Adam sedikit tenaga. Aku juga meminta Along membeli air 100 Plus, dan Air Cap Badak. Alhamdulillah, semuanya habis diminum Adam. Selang sejam, aku akan menjeram kepalanya dengan air asam jawa. Entah dari mana aku dapat petua ini, cuma yang pasti sewaktu aku demam dulu, mak selalu berbuat demikian. Alhamdulillah, usahaku berhasil. Adam mula lencun dibasahi peluh..
Gerakerja lain perlu juga aku beri perhatian. Tepat pukul 3, aku bergegas ke UIAM, untuk sedikit dicussion. Jam 6.30pm, aku sudah tiba semula di rumah. Sesampainya di rumah, Adam menyapaku dulu. Berlari aku memeluknya..Adik...cepatla sembuh. Walaupun hanya 2 jam lebih meninggalkan Adam di rumah bersama Along dan Kuyah, tetapi aku cukup-cukup rindukan Adam..Cuma, apa yang mengecewakan aku, badan Adam masih panas.. Ya Allah, sembuhkan adikku..
Aku mengharapkan Adam akan sembuh cepat. Pengharapan ini, aku panjatkan ke hadrat Illahi Rabbi. Juga kepada sahabat-sahabat sekalian, doakan Adam cepat sembuh ya! Kalian tahukan, betapa dia amat bermakna dan paling aku sayangi dalam hidupku!
Entri ini khas buat mereka yang pernah menjadi adik-adikku, yang pernah menganggap aku sebagai kakak mereka,insyaAllah..
Buat adik-adik.. Yang kini di: Kediamanku, Taman Melawati Kediaman keduaku, Taman Jaya, Cheras IIC UIAM Nilai UIAM PJ UIAM Gombak UIAM Kuantan UTP, Perak (zatil..)
Salam ukhuwwah buat semua pembaca yang tercinta.. Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Dia Pemberi Rezeki, yang masih memberi kesempatan untuk diri ini menghela nafas dan menikmati alam ciptaanNya pada saat ini..Salam kasih sehening embun pagi terutamanya buat adik-adik yang kakak cintai sekalian.
Ini bukan surat cinta.. Ini bukan surat wasiat..
Tetapi, ini suara hati..yang berbisik selalu agar dinukilkan buat tatapan kalian semua. Inilah suara hati yang sering berbicara di dalam doa..
Adik-adikku, Telah ditetapkan Allah, lahirnya kalian di muka bumi milikNya ini sebagai hamba dan khalifah. Siapakah hamba dan khalifah? Merekalah yang akan mentadbir bumi ini, maka jadilah kalian sebagai umat yang terbaik seperti yang dikhabarkan Ar-Rahman dalam kalamNya. Siapakah umat terbaik itu? Mereka ialah yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, serta beriman kepada Allah.. Maka adik-adikku, bertebaranlah kalian agar menjadi umat terbaik ini, serulah kepada mereka yang medustakan ayat Tuhanmu, katakanlah bahawa apa yang tertulis itu benar, dan janganlah kalian gentar, kerana Allah bersamamu..
Adik-adikku, Cintai rasulmu, Muhammad s.a.w yang sememangnya perlu kita rindui selalu.. Kenanglah jasa baginda kerana menyampaikan Islam kepada kita. Kenanglah jasa baginda dengan hadirnya baginda s.a.w sebagi qudwah hasanah, sebagai penunjuk jalan dalam mencari kebenaran. Ingatilah baginda Rasulullah s.a.w dalam setiap langkahmu, dan agungkanlah kalian sunnah baginda agar kalian tidak tersesat. Janganlah kalian bertikam lidah dan bermasam muka sesama kalian hanya kerana perkara-perkara remeh berkaitan sunnah baginda s.a.w. Sebarkanlah sunnah yang sahih, dan hapuskanlah bidaah yang batil, yang hanya merugikan dan tidak berfaedah. Berhati-hatilah dengan hadith-hadith dha'if dan maudhu' yang hanya mengelirukan. Sesungguhnya, Rasulullah merindui umat yang merinduinya..
Adik-adikku, Hormatilah kalian pada kedua ibu- bapamu yang bersusah payah melahirkan dan membesarkan kalian. Taatilah perintah dan suruhan mereka selama mana tidak bertentangan dengan Tuhanmu. Berkatalah kalian dengan mereka dengan perkataan yang baik-baik, dan janganlah kalian mengasari hati mereka dengan tingkah yang menyakitkan mahupun hanya dengusan berbunyi 'ah'.. perlakukan mereka dengan kelakuan yang baik. Cintailah mereka dengan segenap hatimu, kerana selayaknya, merekalah pemilik cintamu setelah Allah dan Rasul..Hargailah setiap keringat ayah ibu yang gugur hanya kerana kita, anak-anaknya..tahulah kalian akan erti berterima kasih! Adik-adikku, Mehnah dan tribulasi, telanlah sebagai juadah. Tiada dakwah tanpa susah payah. Tiada kemenangan tanpa usaha, tiada kesenangan sebelum kesusahan.. Maka, janganlah kalian takut, dan janganlah kalian bersedih hati kerana kemenangan itu pasti! Janji Allah pada hambaNya takkan pernah dimungkiri.. Yakinlah, bahawa setiap titis keringat, dan air mata yang gugur itu tinggi nilainya di sisi Allah. Saksikanlah bahawa pertolongan Allah itu hampir bagi mereka yang bersabar, dan bangkitlah, kibarkan kembali panji-panji kebenaran!
Adik-adikku, Kaki hanya mengikut rentak tari Pena taqdir yang telah pun tercoret sejak lauh mahfuz lagi. Tiada upaya yang lebih berkuasa melaikan Qudrat dan 'IradatNya. Redhalah dengan segala ketetapan Tuhanmu yang Maha Mengetahui sedang kalian tidak mengetahui. Berlapang dadalah dengan ujian TuhanMu yang seharusnya kalian syukuri, dan lihatlah apa di sekelilingmu dengan pandangan mata hati. Pandanglah ke langit biru, dan halakanlah mata ke arah air yang mengalir..rasailah nikmat angin yang semilir dan seraplah kepanasan mentari yang memancar tanpa jemu..kerana semuanya punya tanda-tanda kekuasaan Tuhanmu yang Menciptakan, hanya bagi mereka yang berfikir..
Adik-adikku, Semailah rasa cinta pada Allah melebihi segala cinta yang cuba kalian miliki. Pejamkan matamu adik-adikku, dan rasailah kasih sayang Tuhanmu yang menciptakan siang dan malam silih berganti. Rasailah betapa hampirnya Tuhanmu yang Maha Mendengar segala isi hati yang tersembunyi, yang Maha Faham segala ratap sayumu saat jatuh tersungkur, yang Maha Kasih padamu saat kalian teresak kesedihan menghadapi pemergian insan tersayang, yang Maha Adil saat kalian merasai kekejaman dan kezaliman serta penindasan ciptaan manusia yang tidak takutkan azab SaqarNya, yang Maha Melindungi saat kalian ketakutan dihimpit amukan nafsu rakus manusia berpenyakit wahan, yang Maha Memberi saat kalian merasai asakan bebanan hutang yang semakin menimbun, dan yang Maha Penyayang andai jiwa dilanda kabut ketandusan kasih sayang daripada mereka yang kalian kasihi..
Ahh, terlalu banyak nikmat yang diberi Ar-Rahim, dan tidak terhitung andai dihimpun seluruh lautan di dunia ini jika dibandingkan dengan nikmat karuniaNya.. Janganlah kalian berjalan di muka bumi ini dengan sombong, dan beringatlah akan kalian hidup kita yang ibarat musafir lalu, singgah sebentar di bawah pohon, mencari dan mengumpul bekalan, dan akhirnya menuju ke gerbang akhirat..
Genggamlah Al-Qur'an, dan ingatlah akan kematian yang pasti akan bertamu tanpa kita ketahui saat dan waktu. Ingatlah kalian pada pemutus segala nikmat dan angan-angan dan ingatlah akan kalian hakikat kematian yang akan datang merenggut segala keindahan palsu ini. Janganlah kalian gentar menghadapinya, jika kalian hamba yang taat dan sering berbuat kebajikan. Yakinlah bahawa mati itu jalan untuk bertemu Tuhan, cinta teragung yang wajib kita bertarung jiwa dan raga demi mempertahankannya..
Adik-adikku, Berhati-hatilah kalian dengan nafsu yang tiada puas. Berwaspadalah kalian pada keindahan dunia yang menipu. Hakikat kehidupan ini hanyalah sementara. Manfaatkanlah masamu hanya untuk Sang Pemilik Waktu. Bila waktu telah terhenti, teman sejati hanyalah amal..Salurkanlah harta kekayaanmu pada jalan yang dimiliki Dia yang Memiliki segala kekayaan. Janganlah kalian menjadi insan yang merugi, kerana kelak kalian akan dibangkitkan kelak dengan penuh penyesalan! Janganlah dibiarkan diri hanyut dibawa arus duniawi, dan rendahkanlah dirimu dengan ketinggian Dia yang Maha Tinggi, agar kalian terus diangkat dijulang dikalangan hamba-hambaNya yang mencari keredhaan..
Adik-adikku, sesungguhnya, diri ini cukup-cukup berutung diberi peluang untuk bergelar kakak buat kalian..kerana kalianlah jalan-jalan yang Allah tunjukkan untuk diri ini beramal.. Namun, kakak hamba biasa, sama seperti kalian yang punya matlamat yang sama, mencari redha Illahi Rabbi..maafkanlah segala kekhilafan, keterlanjuran kata, keterlebihan tingkah yang barangkali menjelikkan, dan hadirkanlah kata-kata nasihat andai kakak tersesat.. Sesungguhnya, kalianlah mutiara hatiku, penyambung rantaian perjuanganku andai aku ditakdirkan gugur kelak dan kalianlah penerus pembawa risalah dakwah baginda Rasul s.a.w, semoga kita dibangkitkan bersama-sama syafaat baginda yang telah dijanjikan pada kita umat yang mengingatinya..
Allahumma solli 'ala muhammad ya Rabbi solli 'alaihi wa sallim..
Wallahu'alam.. Tinta Ad-Durrah 12.44pm Teratak Indah Milik Allah
Petang itu, kira-kira jam 2pm, aku bersama Akh Syazman (wakil Nasyid.com, juga mewakili Abg Razin) serta Faridah, Ina dan Sabarina memulakan perjalanan kami untuk menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Nabil bin Marwan. Perjalanan ke Sekinchan, Selangor mengambil masa kira-kira 2 jam.
Sebenarnya, hati agak berdebar kerana aku bukanlah sahabat baik arwah. Kami hanya kenalan di dalam kelas sahaja. Namun, entah kenapa aku berasa bertanggungjawab untuk mewakili beberapa sahabat baik arwah yang tiada kelapangan untuk ke sana.
"Salam dik...nta datang pengkebumian Nabil?" -aku
"Salam..ana xdpt pegi kak..klu ana pegi pn, xkan smpat dh nk tatapi wajahnya. ana nun jauh kt kelantan.."-mustaqim
Panduan untuk memudahkan kami mencari rumah arwah aku peroleh dari Madam Harlina, pensyarah Physic 2 dan Physic Lab sewaktu di Pusat Asasi dulu.
"Berdebar apenye..pegi je..Jangan risau. Kamu cakap la dekat keluarga dia, kamu rakan sekelas..takde ape nak disegankan.." -Madam Harlina.
Rumah Pak Cik Marwan
Alhamdulillah, kira-kira jam 4pm, kami tiba di kediaman arwah. Kak Nor, kakak arwah menyambut kehadiran kami dengan wajah yang cukup tenang. Setelah aku memperkenal diri sebagai rakan arwah semasa di UIA PJ, kami dijemput masuk ke ruang tamu.
Rumah Pak Cik Marwan dan Mak Cik Norida kelihatan cukup-cukup tenang namun masih dalam keadaan suram. Ruang tamu mereka bersebelahan dengan mini library. Tersusun kemas kitab-kitab agama dan beberapa buku rujukan. Seketika kemudian, Kak Nor dan adiknya tiba membawa air sirap dan roti kering. Bersusah payah mereka memuliakan tetamu walaupun masih dalam keadaan sedih. Aku diselebungi rasa bersalah.
"Adiknya semacam muka arwah.."- ujarku
"Eh, mana ada.." katanya sambil ketawa kecil.
Tidak lama kemudia, seraut wajah tenang namun masih menampakkan mendung yang bersarang tiba menyapa kami.. Barangkali ini ibu arwah, bisik hatiku. Subhanallah, wajah arwah saling tak tumpah seperti ibunya!
"Assalamualaikum..."ujarnya lembut dan terus bersalaman denganku dan sahabat yg lain.
"Wa'alaikumussalam.."
"Kawan Nabil dari UIA ya? Susah-susah saja datang dari jauh, minumlah airnya tu.." pelawa ibu Nabil. Mak Cik Norida bertutur berbunyi loghat Jawa.
"Maaflah, datang tak dijemput..tapi, hadirnya saya petang ni kerana arwah kenalan saya, juga saya mewakili sahabt-sahabat baik arwah yang tak dapat bagi penghormatan terakhir pada arwah.."
"Tak adalah..dialu-alukan..Mak cik faham. Kawan Nabil ramai..waktu di hospital dulu, doktor asyik kata, 'Eh kau ni Nabil..semua yang datang wad ni semuanya kawan kau..famous betul!'..mak cik dah biasa dah.."
"Mak cik..wajah arwah saling tak tumpah macam mak cik ye..anak emak.."
"Hmm..dia sorang saje yang ikut mak cik..sorang tu je..dan sorang tu lah yang tinggal mak cik dulu..yang lain semua ikut muka ayahnya.."
"Kalau dengan adik beradiknya yang lain, selalu diejeknya Nabil, 'Eii anak emak..hidung ikut hidung emak..' Nabil selalu saja menjawab 'Biarlah, aku memang anak emak. Hidungku ikut hidung emak, ada batangnya..kau orang tiada batangnya..'..Nabil- nabil..begitulah dia..diejeknya yang lain-lain sebagai anak emak.." sesekali kelopak air mata Mak Cik Norida berair, namun cepat-cepat disekanya agar tidak jatuh.
"Arwah memang sakit ke sebelum ni mak cik? Macam-macam cerita mengenai arwah yang saya dengar..senang sikit, dah jumpa orang yang ahli, emaknya sendiri...apa sebenarnya penyakit arwah, mak cik?"
"Eh..Nabil takde sakit apa-apa.. Mulanya, bulan 4 dia sakit. Mak cik saja belek-belek tapak tangan dia, terkejut mak cik tengok pucat. Mak cik bagitahu dia, 'Bil..pergilah kau jumpa doktor, pucat ni..tapak kaki kau pun pucat mak tengok ni..' macam biasalah Nabil, 'Mane ade mak..mane ade pucat mak..', tapi mak cik paksa juga dia pergi..pergilah dia. Doktor pun terkejut sebab meter tu dah tak boleh berhenti, maksudnya darah terlalu kurang sampai tak boleh nak ambil bacaan.. Lepas tu, 2 minggu dah ok dah...tiba-tiba dia demam pulak. Demam tu yang lama..sampai sebulan di hospital..sampailah ajalnye.." kali ini mak cik Norida semakin sebak. Namun masih sempat tersenyum dan kembali menceritakan gelagat arwah.
"mak cik sedih tengok dia..mak cik menangis..Ye la kan, anak mak cik.. Tapi setiap kali mak cik menangis, sembunyi-sembunyi pun Nabil mesti tahu.. 'Mak menangis mak..?' mak cik tak boleh nak sorok..'Mestilah mak menangis Bil..kau tu anak emak..Mak yang mengandungkan kau, melahirkan kau, membesarkan kau sampai besar panjang macam ni, mestilah mak sedih tengok anak mak macam gini..' tapi dia tenang je..dia bagitau mak cik, 'Mak..jangan menangis mak..redha mak..redha.. Redha mak... Kita hak Allah, Bil hak Allah.." akhirnya air mata Mak Cik Norida lerai jua..cepat-cepat aku tenangkan Mak Ci Norida, dan segera aku mengubah topik perbualan, tetapi belum sempat aku bersuara, Mak cik Norida mencelah lagi..
"Makcik memang akan ingat kata-kata dia.. redha mak..redha..kita semua hak Allah.. Dia tu demam teruk sangat. cecah 40 darjah. Doktor kata pada mak cik, kalau orang lain dah pengsan, tak boleh dah nak bercakap, tapi Nabil tu kuat.. Bila mak cik tanya dia, kau tak panas ke Bil.. dia cakap takde mak..Bil rasa sejuk je mak..tak panas pun.."
"Mak cik..arwah sungguh mulia..perginya arwah menghadap Allah malam jumaat. Tak da apa yang mak cik patut kesalkan..Mak cik, saya bukan sahabat baik arwah, tapi kenapa saya di sini, kerana saya merasai kewujudan arwah walaupun tak pernah saya berbual dengannya. Nak sampaikan juga salam daripada sahabat baik arwah, Mustaqim. Arwah dengan Mustaqim macam belangkas kalau dalam kelas.. Itulah mak cik..Nabil pergi tinggalkan kami ruh perjuangannya..terutama sahabat-sahabat yang satu saf kepimpinan dengannya. Arwah tinggalkan kami nasihat-nasihatnya, dan ilmunya yang akan kami manfaatkan, mak cik.. Ini semua akan tolong arwah selama arwah di alam sana.."
"Yelah.,betul tu...Terima kasih lah nak.. Mak cik pun tak sempat nak ucap terima kasih kepada kawan-kawan dia yang datang tolong di hospital sampai lah sehingga ke pengkebumian dia..tolong sampaikan pada mereka ya?"
"InsyaAllah.."
Tiba-tiba,
"Assalamu'laikum..oh, kawan-kawan Nabil ya. Patutla ada kereta di luar sana. Ingatkan siapa. Tapi pastinya kawannya Nabil..dari UIA ya? Maaflah pak cik ada hal tadi. Uruskan surat mati arwah, baru saja pulang dari Hospital Teluk Intan.." -Pak Cik Marwan. Kali ini dengan loghat Jawa yang lebih pekat. Nabil pasti mewarisi kecerahan kulit Pak Cik Marwan. MasyaAllah, dalam pada pak cik sedang mendengar perbualan kami, aku terpandang gerak jari beliau yang sedang berzikir. Patutlah Nabil mantap..ayah dan ibunya juga mantap!
"Pak cik Marwan ya? Takpe pak cik..kami pun baru je sampai.."
Pak cik Marwan banyak berbual dengan Akh Syazman. Namun sekali sekala mencelah,
"Nanti kalau mahu ke kuburnya arwah, di hujung sana saja. Dekat. Ini pun pak cik baru saja pulang dari kuburnya arwah. Ada pokok jejarum yang masih belum ditanam. Betul-betul depan pintu masuk. Hai..si Nabil punya hal, tadi baru saja Pak Cik menangis lagi..Hehe. Iyalah, selalu ke hospital adanya Si Nabil, sekarang pergi ambil surat matinya pula. Sebak juga. Hari-hari pak cik bermalam di sana, seminggu terakhir tu tak tidur pak cik.." pak cik Marwan berbicara sambil ketawa kecil, namun pak cik sendiri akui kesedihannya kepada kami.
Seketika kemudian, azan berkumandang, menandakan masuknya waktu asar.. Kami mengambil keputusan untuk beredar. Pak cik Marwan memeluk erat Akh Syazman dan Mak cik Norida memelukku. Pelukannya cukup kuat dan air mata kami sama-sama lepas di situ..
"Mak cik, saya dah takde mak. Arwah mak meninggal tahun lepas, ramadhan dan arwah ada mendoakan arwah mak saya.. tak sangka arwah juga menyusul.."
"iyalah..sudah sampai masanya.. Nak, terus doakan Nabil ya! Jangan putus-putus doakan arwah ya! Kalau ada salah silap arwah, harap dimaafkan..kalau ada hutang apa-apa, jumpalah kami terus ya..sampaikan pada kawan-kawan.." mak cik Norida mengemaskan pelukannya dan mengucup pipiku. Sayunya hatiku tak tertahan lagi, dan akhirnya aku terpaksa meleraikan jua dek kerana kesuntukan masa.
Selesai bersalaman, kami beredar ke kereta dan mereka menghantar kami dengan lambaian dan senyuman sehinggalah tidak kelihatan lagi kelibat mereka.
Akhirnya, kami tiba di Tanah Perkuburan Batu 23, Sekinchan, di mana arwah Nabil dikebumikan. Aku sebak sebaik sahaja melihat kubur yang dimaksudkan.. Di sini kau dik..bergembira di sini kau, Dik Nabil..
Tanah Perkuburan Islam Batu 23, Sekinchan Peringatan Illahi Rabbi..
Pusara Muhammad Nabil bin Marwan
Aku duduk dan bertafakur sebentar. Menghayati peringatan yang diberi Illahi. Pasti, suatu hari nanti aku di sini..
Al-Fatihah dan Yasin buat Dik Nabil
Dik Nabil, ana hadiahkan nta bacaan Al-Fatihah dan Yasin dik.. Dik Nabil..kami akan menyusul langkahmu.. Dik Nabil, nta tinggalkan kami ruh perjuangan nta yang tidak pernah padam, ana pasti dik, ramai sahabat-sahabat nta di luar sana yang akan meneruskan perjuangan nta.. Bahagialah nta di sana Dik Nabil.. Berbahagialah nta menemui kekasih nta, Dik Nabil.. Berbahagialah!
Dan, aku seolah-olah dapat melihat arwah seperti tersenyum memandang kami..
Dik Nabil..ana pergi dulu. Tinggallah nta bergembira di sini Dik Nabil.. Kami akan menyusul Bil..kami akan menyusul..
Indahnya pusara Nabil..pasti di dalamnya punya taman-taman syurga.. Akh Syazman (wakil syarikat rakaman & produksi Nasyid.com)
Sekali lagi aku menghadiahkan Al-Fatihah buat arwah, dan seketika kemudian, kami bertolak pulang ke Hulu Kelang semula.
Sesungguhnya, kembara kali ini membawa ku ke daerah baru untuk lebih dekat dengan Tuhan. Untuk aku benar-benar mencari redha Illahi yang aku sebut-sebutkan selama ini. Dik Nabil, pemergian nta benar-benar memberi kesan kepada kami semua. Sahabat yang budiman..semoga pengakhiran kita juga husnul khatimah!
2/7/09..11.51 pm, Pulau Tioman;"Give thanks to Allah..for the moon and the skies"-nada dering menandakan mesej masuk.. Bayu laut malam itu cukup-cukup membuatkan jari jemari yang menggeletar menahan sebak, semakin kesejukan..Aku kaget saat menerima mesej masuk selewat itu. Selalunya, jam 11pm sudah tiada apa-apa mesej yang masuk. Sebelum aku membaca mesej yang dikirimkan sahabat baik Arwah Nabil, aku cuba untuk husnu dzhon..'mungkin Nabil dah stabil!'..Tetapi debaran semakin kuat di dada, perutku mulai senak. Bermacam-macam tanggapan mula hinggap di kepala..dan..
"Salam. Nabil br je kembali ke Rahmatullah. Ana pohon sgt2 agr shbt2 dpt sdeqahkn Al-Fatihah utk Nabil.Syukran.Fwd"- Akh Su'aidi
Innalillahi wa innailaihi raaji'uun..Allahuakbar!! Benar..benar sangkaan burukku menjadi kenyataan. Lalu cepat-cepat aku kembali bersangka baik, 'Ya Allah mulianya arwah..malam jumaat ni!'
Terima kasih tak terhingga buat Akh Su'aidi kerana menjalankan amanah dengan baik, memaklumkan pada ana keadaan arwah..ana yakin, ana antara yang terawal yang tahu..
Mana tidaknya, sebaik sahaja mesej aku forwardkan...
"Salam kak! betul ke ni?? Takde sape2 mesej pun lagi! Akak biar betul..kite tanya Faizah, Faizah pun tak tau ape2.."- Rokiah
"Betul dik...Nabil dah pergi tinggalkan kita ruh perjuangannya...Malam jumaat Nabil diangkat bertemu Tuhan..Mulianya dia dik.."-aku..
Dan sepanjang malam itu, aku tidak henti2 dihujani mesej mengenai khabar arwah yang telah selamat kembali ke Penciptanya..
Terima kasih siti fatimah...kerana menerima amanah syira..Amanah agar meng'update'kan blog pada malam itu juga!
Bayu laut berpuput lagi...kali ini cukup-cukup tenang.. Namun jiwaku resah..Aku tidak tahu bagaimana mahu menenangkannya. Aku pandang awan gelap..tertanya-tanya, apakah Nabil Marwan di atas sana? Bunyi ombak menghempas pantai menambah lagi kesayuan kerana aku terasa seperti jiwaku kosong...
"Arwah sangat-sangat cintakan zikir dan qasidah.. Setiap kali sebelum usrah, arwah akan ingatkan kami untuk berselawat kepada Rasulullah.."-sahabat
Aku terus berlari ke chalet tempat kami menginap. Lalu, aku mengambil wudhu' agar jiwa dan perasaanku semakin tenang. Saat ini, syaitan yang menguasai diri. Dibisikkannya kepadaku supaya meratapi pemergian Nabil Marwan! Mana mungkin! Tidak..Tidak boleh bersedih, kerana aku beriman bahawa mati itu pasti...mati itu hak yang tidak mungkin dapat kita elak! Masakan aku mahu bersedih sedangkan Allah gembira menerima hambaNya yang soleh itu kembali ke dalam jagaanNya?
Segera, aku bersolat sunat, dan kali ini aku tidak dapat menyembunyikan lagi keresahan dan kesedihanku..Bukan kerana aku tidak dapat menerima kenyataan arwah telah pergi,Aku sayu kerana tidak dapat menziarahi arwah, dek kesuntukan masa. Aku mula berkira-kira untuk balik ke Kuala Lumpur, tetapi semua itu mustahil! Aku juga sedih kerana aku tertanya-tanya, mampukah aku disayangi Allah seperti mana arwah disayangi..
Sudahlah diuji dengan kesakitan luar biasa yang para doktor sendiri sudah buntu memikirkan punca, ditambah pula dengan pemergian arwah yang bertemu Tuhan dalam bulan Rejab dan malam Jumaat.. Arwah juga mampu bercakap dan tersenyum beberapa jam sebelum dijemput Izrail..
Ya Allah, berikan kekuatan kepada sahabat2 arwah agar terus gagah memperjuang agamaMu, Tuhan..
Saat tangan menadah do'a, aku kembali teresak-esak. Aku tertanya-tanya, apakah Allah sayangkan aku sepertimana Allah sayangkan Nabil? Mampukah aku menjadi hebat seperti Nabil?
Aku bukan hafizah... Aku bukan naqibah... Aku bukan hamba yang dikelilingi orang-orang soleh, mereka semua jauh di perantauan..aku di sini keseorangan, meneruskan perjalanan dakwah fardhiyah. Jauh sekali untuk berjemaah.. Aku baru sahaja mengenal siapa Tuhanku dalam tiga tahun ini..(buat mereka yang mengenali aku sebelum ini, kalian mengetahuinya...) Aku tiada jundiy yang akan meneruskan perjuanganku andai aku tiada.. Aku bukan 'arif bab-bab agama.. Aku hamba hina.. Aku cukup-cukup kerdil untuk dibandingkan dengan arwah.. Mahukah Tuhan melihatku kelak? Mahukah Tuhan menyayangiku? Mahukah Tuhan mengambilku pulang sepertimana Nabil menemuiNya?
Tuhan, tunjukkanku jalan agar dapat aku lalui kemanisan beramal sepertimana arwah Nabil melaluinya.. Tunjukkan aku jalan agar aku dapat menjadi hamba yang dicintaiMu selalu..
beginilah arwah..masih tersenyum walaupun sedang menderita..
"Marilah kita sama-sama muhasabah diri, mungkinkah Ramadhan kali ini, Ramadhan terakhir untuk kita?"-arwah Nabil sewaktu menyampaikan tazkirah pada Ramadhan tahun lepas..
Ya, itulah Ramadhan terakhir buatmu..dan ku yakini kepuasanmu dalam beramal! Aku terkenangkan pembentangan kumpulan ketika PBL Biologi 2, arwah menjadi melakonkan watak Amir Hafiz, pesakit buah pinggang.. Seolah-olah menjadi kenyataan pula sewaktu arwah 'tiba-tiba pengsan'..'hilang selera makan'...Allahu'alam..
Selesai sahaja bermunajat malam itu. aku kembali ke beranda chalet. Menikmati bayu laut dan suara ombak beralun..tenang.. Terlalu tenang. Seketika kemudian aku teringatkan lagu Layar Keinsafan nyanyian MESTICA yang juga lagu kegemaran arwah. Alhamdulillah sempat aku maklumkan pada Abg Razin MESTICA dan terima kasih buat Akh Syazman kerana membantu update pada Abg Razin. Sahabat yang budiman, ana sertakan lirik lagu Layar Keinsafan yang pasti, pada secangkir memori sahabat-sahabat baik arwah, terlakar butiran permata hikmah, dan kilauan muhasabah yang dapat kita jadikan pedoman bersama..
Al-Fatihah..
Sepi benar senja ini Bayunya semilir, menganak ombak kecil Jalur ufuk pula mengemas terang Kapal dan layar terkapar Mengapa nantikan senja Barukan terdetik, pulang ke pengkalan Gusar malam menghampiri Ku tewas di lautan Tuhan layarkanku ke arah cintaMu Tuntuniku menggapai redhaMu Rimbunan kasihMu ku berteduh KepadaMu ya Tuhan Berikan secebis keinsafan Bekalan sepanjang perjalanan Mencari ketenangan c/o Biar Kau menjadi saksi Tulus tangisku kala dini hari Kesempatan yang hanya sebentar Moga keikhlasanku terlakar Berikanlah ku hidayah Agar dikuatkan iman yang lemah Moga diberkati hidup ini Menuju bahagia yang kekal abadi PadaMu Tuhan Kan kuserahkan cinta kepadaMu Tuhan layarkanku ke arah cintaMu Tuntuniku menggapai redhaMu Rimbunan kasihMu ku berteduh KepadaMu ya Tuhan Berikan secebis keinsafan Bekalan sepanjang perjalanan Mencari ketenangan c/o Biar Kau menjadi saksi Tulus tangisku kala dini hari Kesempatan yang hanya sebentar Moga keikhlasanku terlakar Berikanlah ku hidayah Agar dikuatkan iman yang lemah Moga diberkati hidup ini Menuju bahagia yang kekal abadi Harapanku moga dikurniakan Manisnya iman berpanjangan Moga lautan hilang gelora